omniture

Institut SANS ke Singapura untuk Latihan dan Sidang Kemuncak Keselamatan ICS Asia Pasifik

SANS Institute
2013-09-30 10:00 223

-- Pakar Keselamatan SCADA Teratas dari Seluruh Dunia Kongsi Teknik Terkini bagi Melindungi Sistem Kawalan Perindustrian dan Prasarana Kritikal

SINGAPURA, 30 September 2013 /PRNewswire/ -- Bagi membantu golongan profesional keselamatan memahami dan mempertahankan diri dengan lebih baik terhadap ancaman sistem kawalan dan SCADA, Institut SANS akan menjadi tuan rumah Latihan dan Sidang Kemuncak Keselamatan ICS Asia Pasifik di Singapura pada Disember ini. Pada 2 hingga 3 Disember 2013, peserta Sidang Kemuncak akan mendengar daripada pakar SCADA teratas, kakitangan kerajaan penting, para penyelidik dan pemilik aset tentang teknik terkini dalam perlindungan terhadap serangan ini. Kursus pasca teknikal amali yang terperinci akan turut berlangsung pada 4 hingga 8 Disember.

Menurut Dr. Eric Cole, yang merupakan Pengajar dan Felow Fakulti SANS bagi ICS410: Kursus Asas Keselamatan SCADA/ICS yang serba baharu, "Bagi melindungi sistem pengautomatan dan kawalan perindustrian daripada ancaman keselamatan siber, sangat penting bagi para profesional keselamatan sentiasa berwaspada dengan ancaman terkini. Siri Latihan dan Sidang Kemuncak Keselamatan ICS SANS mengumpulkan pakar keselamatan SCADA teratas dari seluruh dunia untuk mendapatkan maklumat terkini tentang ancaman yang berlaku dan cara terbaik untuk melindungi sistem terhadapnya."

Dr. Cole akan menyediakan set asas dipiawaikan yang terdiri daripada asas kemahiran, pengetahuan dan kebolehan bagi para profesional keselamatan siber perindustrian sepanjang kursus ICS410 itu, yang merupakan salah satu topik yang ditawarkan semasa latihan itu. Kursus ini direka untuk memastikan tenaga kerja yang terlibat dalam menyokong dan mempertahankan sistem kawalan industri dilatih untuk melakukan setiap tugasan dengan baik bagi memastikan persekitaran operasi selamat, terkawal dan bingkas terhadap ancaman siber yang terkini dan memuncul.

Peserta sidang kemuncak juga akan berpeluang untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang Pensijilan Profesional Keselamatan Siber Perindustrian Global, pensijilan baharu yang menumpukan terhadap pengetahuan asas yang perlu dimiliki oleh para profesional yang bertanggungjawab mempertahankan aset prasarana kritikal untuk melindungi persekitaran mereka. Pemegang GICSP akan memperlihatkan tahap kecekapan yang diiktiraf di peringkat global dalam aspek seni bina, reka bentuk, pengurusan, risiko dan kawalan yang menjamin keselamatan prasarana kritikal. GICSP ialah "jambatan" untuk menghubungkan profesional IT, kejuruteraan dan keselamatan siber untuk mencapai keselamatan bagi ICS daripada peringkat rekaan hinggalah persaraan dan dijangka akan diterima pakai di peringkat global sebagai pensijilan pintu masuk bagi para profesional sistem kawalan perindustrian prasarana kritikal.

Lebih 1,200 penganalisis keselamatan dan jurutera kawalan proses daripada sektor kerajaan dan industri telah menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan ICS di seluruh dunia. Sidang Kemuncak ICS SANS berfungsi sebagai satu-satunya tempat yang mengumpulkan individu yang bertanggungjawab membentuk masa depan keselamatan sistem kawalan untuk berkongsi pengalaman yang telah diperoleh.

Sidang Kemuncak Keselamatan ICS Asia Pasifik akan menampilkan pembentangan, panel, perbincangan kajian kes, latihan amali dan peluang rangkaian bersama para profesional keselamatan ICS teratas dalam industri. Pembentang bagi sidang kemuncak itu termasuklah Graham Speake, Arkitek Keselamatan, Evangelist, Yokogawa; Muhammad Reza Shariff, Penganalisis Kanan, CyberSecurity Malaysia; Charles Liang, Pengurus Dasar Keselamatan – Keselamatan Siber, CLP Power Hong Kong Limited; Christina Kubecka, Aramco Luar Negera, Daisuke Noguchi, Perunding Keselamatan, NRI SecureTechnologies Ltd.; Justin Searle, Pengajar Sah, Institut SANS & Rakan Urusan, UtiliSec; Matthew E. Luallen, Pengajar Sah, Institut SANS & Presiden & Pengasas Bersama, CYBATI; dan Tim Conway, Pengarah Teknikal – ICS dan SCADA, Institut SANS.

Sorotan agenda bagi sidang kemuncak itu termasuklah:

  • Pendekatan Komuniti terhadap Mempertahankan Ruang Siber untuk Meningkatkan Kebingkasan Nasional
  • Kebaikan dan Keburukan: Pensijilan terhadap Individu, Proses dan Peranti
  • Metodologi Penilaian Keselamatan SCADA: Pengalaman di Malaysia
  • Keadaan Keselamatan Sistem Kawalan Kritikal di Jepun
  • Keselamatan Pintar: Mengukuhkan Perlindungan Maklumat dalam ICS Anda

Bagi maklumat lanjut tentang Sidang Kemuncak Keselamatan ICS Asia Pasifik SANS, termasuk gambaran keseluruhan perbincangan dan panel serta senarai lengkap pembentang industri, atau untuk mendaftar bagi acara itu, sila layari: http://www.sans.org/info/140195

Tentang Institut SANS

Institut SANS telah ditubuhkan pada tahun 1989 sebagai organisasi pendidikan dan penyelidikan kerjasama. SANS adalah sumber yang paling andal dan, setakat ini, merupakan sumber terbesar di dunia bagi pensijilan keselamatan dan latihan keselamatan maklumat bertaraf dunia, yang turut menawarkan lebih 50 kursus latihan setiap tahun. GIAC, sekutu Institut SANS pula merupakan badan pensijilan yang memaparkan lebih 25 pensijilan teknikal amali dalam bidang keselamatan maklumat. Selain menawarkan pelbagai sumber percuma kepada komuniti InfoSec termasuk projek konsensus, laporan penyelidikan, dan surat berita, SANS juga mengendalikan sistem amaran awal Internet yang dikenali sebagai Pusat Ribut Internet. SANS benar-benar penting bagi para pengamal keselamatan yang mewakili pelbagai organisasi global daripada syarikat kepada universiti, yang bekerja bersama-sama untuk membantu seluruh komuniti keselamatan maklumat. (www.SANS.org)

Source: SANS Institute
Related Links:
Keywords: Computer/Electronics Construction/Building High Tech Security Public Safety Trade show news