BEIJING, 21 Februari 2022 /PRNewswire/ -- Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 telah mengubah sukan musim sejuk "secara asasnya", kata Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) Thomas Bach pada hari Sabtu, beberapa jam sebelum majlis penutupan Sukan tersebut.
Ia akan memberikan dunia satu legasi sukan musim sejuk global baharu, kata Bach kepada China Media Group (CMG).
"Sukan musim sejuk akan berubah secara asasnya selepas Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 ini, menerusi penglibatan seramai lebih daripada 300 juta rakyat Cina dalam sukan musim sejuk," kata beliau.
"Ini merupakan angka yang menakjubkan," tambah beliau.
Menurut statistik oleh Biro Statistik Kebangsaan China, lebih 346 juta rakyat Cina telah mengambil bahagian dalam aktiviti sukan musim sejuk sejak bidaan Beijing yang berjaya untuk Sukan berkenaan pada tahun 2015, menunjukkan bahawa China telah memenuhi komitmennya.
'Sukan Olimpik melangkaui perbalahan politik'
Mengambil maklum bahawa Sukan tersebut berlangsung ketika dunia menyaksikan "ketegangan politik yang tinggi," Bach berkata bahawa kejayaan Sukan berkenaan membuktikan bahawa Sukan Olimpik dapat melangkaui perbalahan politik.
Beliau memberitahu CMG apa yang paling membuatkan beliau kagum dengan Beijing 2022 ialah detik-detik apabila para atlet Ukraine dan Rusia berpelukan antara satu sama lain, apabila para atlet Cina menawarkan tanda pin kepada rakan setara Amerika mereka bagi menunjukkan layanan yang baik serta apabila para atlet memberi tepukan kepada para sukarelawan Cina Sukan berkenaan.
"Mereka telah menunjukkan Semangat Olimpik," kata beliau. "Mereka telah menjadi duta persahabatan, persefahaman dan keamanan."
Liputan CMG 'kejayaan yang belum pernah dicapai sebelum ini'
Ketua IOC turut memuji liputan oleh CMG terhadap Sukan berkenaan melalui kesemua platformnya, menyifatkannya sebagai "kejayaan yang belum pernah dicapai sebelum ini."
Liputan berkaitan Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing CMG telah mencapai sejumlah lebih 48.4 bilion tontonan, menurut data yang tersedia setakat 17 Februari, tiga hari sebelum penutupan Sukan tersebut, bilangan yang lebih tinggi daripada angka keseluruhan daripada Tokyo 2020 (dianjurkan pada tahun 2021 ekoran pandemik) yang mencecah 47.9 bilion.
IOC turut menghargai peranan yang dimainkan oleh CMG dalam menggalakkan pemahaman yang lebih besar mengenai Sukan Olimpik dalam kalangan rakyat Cina, kata Bach.
"CMG benar-benar dapat menjadikan rakyat Cina lebih bersemangat mengenai Sukan ini," kata beliau.
Pada hari Sabtu, IOC menganugerahkan Piala Olimpik kepada rakyat Cina bagi mengiktiraf sokongan mereka terhadap Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.