omniture

Huawei Keluarkan Laporan Tahunan 2021: Operasi Kukuh, Labur dalam Masa Depan

Huawei
2022-03-30 07:48 173

SHENZHEN, China, 30 Mac 2022 /PRNewswire/ -- Huawei mengeluarkan Laporan Tahunan 2021nya hari ini, mendedahkan bahawa syarikat ini mengekalkan operasi yang kukuh sepanjang tahun lalu. Menurut laporan tersebut, Huawei mencapai hasil sebanyak CNY636.8 bilion pada tahun 2021 dan keuntungan bersih sebanyak CNY113.7 bilion, satu peningkatan 75.9% berbanding tahun sebelumnya. Perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) syarikat ini mencecah CNY142.7 bilion pada tahun 2021, mewakili 22.4% daripada jumlah hasilnya dan menjadikan jumlah perbelanjaan R&Dnya sepanjang lebih 10 tahun yang lalu mencecah lebih CNY845 bilion. Melangkah ke hadapan, syarikat ini turut merancang untuk meningkatkan pelaburan dalam R&D secara berterusan.

Guo Ping, Pengerusi Bergilir Huawei, berkata di sidang media tersebut, "Secara keseluruhan, prestasi kami selari dengan ramalan. Perniagaan pembawa kami kekal stabil, perniagaan perusahaan kami mengalami pertumbuhan yang mantap sementara perniagaan pengguna kami berkembang pantas ke domain-domain baharu. Di samping itu, kami telah memulakan laluan pantas dalam pembangunan ekosistem."

Meng Wanzhou, Ketua Pegawai Kewangan Huawei turut berucap di acara tersebut, "Walaupun dengan penurunan hasil pada tahun 2021, keupayaan kami untuk memperoleh keuntungan dan menjana aliran tunai semakin meningkat dan kami lebih mampu untuk berhadapan dengan ketidakpastian." Hasil daripada peningkatan keuntungan perniagaan utamanya, aliran tunai syarikat ini daripada aktiviti operasi meningkat secara mendadak pada tahun 2021, berjumlah CNY59.7 bilion. Nisbah liabilitinya juga menurun kepada 57.8% manakala struktur kewangan keseluruhannya telah menjadi lebih berdaya tahan dan fleksibel.

Pada tahun 2021, perniagaan pembawa Huawei menjana hasil sebanyak CNY281.5 bilion dan membantu pembawa di serata dunia menggunakan rangkaian 5G yang utama. Keputusan ujian pihak ketiga mendapati bahawa rangkaian 5G yang dibina oleh Huawei untuk pelanggan di 13 negara, termasuk Switzerland, Jerman, Finland, Belanda, Korea Selatan dan Arab Saudi menyediakan pengalaman pengguna yang terbaik. Dengan menjalin kerjasama bersama pembawa dan rakan kongsi, Huawei menandatangani lebih daripada 3,000 kontrak komersial untuk aplikasi 5G industri. Aplikasi 5G seperti ini kini menyaksikan penggunaan komersial berskala besar dalam sektor-sektor seperti pembuatan, lombong, kilang besi & keluli, pelabuhan dan hospital.

Hasil daripada trend transformasi digital yang berterusan, perniagaan perusahaan Huawei turut berkembang pesat, menjana hasil sebanyak CNY102.4 bilion pada tahun 2021. Pada tahun lalu, Huawei melancarkan 11 penyelesaian berasaskan senario untuk sektor-sektor penting seperti kerajaan, pengangkutan, kewangan, tenaga dan pembuatan. Syarikat ini turut menubuhkan pelbagai pasukan khusus, termasuk Pasukan Lombong Arang Batu, Pasukan Jalan Pintar serta Pasukan Kastam & Pelabuhan untuk menggabungkan sumber-sumber dengan cara yang memenuhi keperluan pelanggannya dengan lebih cekap. Lebih 700 bandar dan 267 syarikat Fortune Global 500 telah memilih Huawei sebagai rakan kongsi transformasi digital mereka dan kini Huawei bekerjasama dengan lebih daripada 6,000 rakan kongsi perkhidmatan dan operasi di serata dunia.

Perniagaan pengguna Huawei memfokuskan kepada keinginan dan keperluan pengguna, membangunkan selanjutnya ekosistem global untuk era pintar, terhubung sepenuhnya, sebagai sebahagian daripada strategi Seamless AI Life (Kehidupan AI Lancar) syarikat ini untuk pengguna di serata dunia. Perniagaan ini menjana hasil sebanyak CNY243.4 bilion pada tahun 2021 untuk menyaksikan pertumbuhan jualan yang stabil dalam peranti boleh pakai pintar, skrin pintar, fon telinga stereo tanpa wayar sebenar (TWS) dan Huawei Mobile Services (HMS). Khususnya, segmen-segmen peranti boleh pakai pintar dan skrin pintar kedua-duanya menyaksikan pertumbuhan lebih 30% berbanding tahun sebelumnya. Secara keseluruhannya, HarmonyOS digunakan dalam lebih 220 juta peranti Huawei setakat tahun 2021, lalu menjadi sistem operasi peranti mudah alih yang berkembang paling pantas di dunia.

Pada tahun lalu, Huawei turut memberi tumpuan untuk membangunkan ekosistem openEuler, MindSpore dan HarmonyOS berdasarkan kepada prinsip-prinsip kolaborasi terbuka dan pertumbuhan bersama. Lebih lapan juta pembangun kini menggunakan platform terbuka, perisian sumber terbuka dan alatan pembangunan Huawei untuk meneroka senario perniagaan dan model perniagaan baharu.

Guo menegaskan, "Melangkah ke hadapan, Huawei akan memajukan perjalanan pendigitalan, transformasi pintar dan rendah karbonnya. Dengan bergantung kepada bakat, kajian saintifik dan semangat yang inovatif, kami akan meningkatkan pelaburan secara berterusan untuk membentuk semula paradigma kami untuk teori asas, seni bina dan perisian serta membina daya saing jangka panjang kami."

Semua penyata kewangan dalam Laporan Tahunan 2021 telah diaudit secara bebas oleh KPMG, sebuah firma perakaunan Big Four antarabangsa. Untuk memuat turun Laporan Tahunan 2021, sila kunjungi https://www.huawei.com/en/annual-report/2021.

Catatan: Kadar pertukaran penutup 2021 ialah USD1.00 = CNY6.3753

Source: Huawei
Keywords: Mobile Entertainment Telecommunications Telecommunications Equipment Sales reports