DUBAI, UAE, 4 April 2022 /PRNewswire/ -- Edisi kedua Cabaran Teknologi Makanan global yang bertujuan untuk mencari gelombang inovasi teknologi seterusnya bagi mengubah amalan pertanian tradisional secara cekap dan mampan, telah dilancarkan di EXPO2020 Dubai dan pada hari ini, jumlah hadiah terkumpul pertandingan tersebut yang bernilai USD2 juta, diumumkan.
Dengan sasaran terhadap syarikat pemula peringkat awal yang merangkumi pasukan penyelidikan berasaskan universiti antarabangsa hingga usahawan individu dan firma kecil, pertandingan ini mengalu-alukan inovasi berkaitan dua trek penting: 'pengeluaran makanan' untuk menangani ketersediaan dan limpahan makanan serta meneroka 'generasi seterusnya', alternatif yang kaya nutrien serta 'kerosakan dan pembaziran makanan' bagi memastikan kemampanan yang lebih meluas di seluruh rantaian bekalan makanan dan planet ini.
Dengan hadiah terkumpul sehingga USD2 juta, para pemenang akan ditawarkan peluang untuk meningkatkan model perniagaan mereka di UAE, yang disokong dengan R&D, pemecutan syarikat pemula, insentif komersial serta bimbingan untuk melaksanakan konsep yang berjaya dari makmal hingga pasaran. Permohonan dialu-alukan dari seluruh dunia dengan keutamaan terhadap negara-negara yang tertumpu kepada teknologi pertanian.
Cabaran Teknologi Makanan ini dianjurkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Perubahan Iklim UAE dan Tamkeen, sebuah entiti Abu Dhabi yang bekerjasama dengan institusi tempatan dan antarabangsa terkemuka untuk menghasilkan projek yang memperkaya landskap sosial, kebudayaan dan pendidikan UAE. Untuk edisi pertandingan ini, ia turut disertai oleh ASPIRE, tonggak pengurusan program Majlis Penyelidikan Teknologi Canggih (Advanced Technology Research Council, ATRC) yang menyelia pembiayaan R&D berkaitan teknologi di Abu Dhabi dan seluruh UAE. Setiap trek ini juga disokong oleh peneraju tempatan, dengan ADQ dan Silal menjadi rakan kongsi trek untuk meningkatkan pengeluaran makanan, manakala Emirates Foundation sebagai rakan kongsi trek untuk mengurangkan kerosakan dan pembaziran makanan.
Mengulas tentang pelancaran ini, Tuan Yang Terutama Mariam Almheiri, Menteri Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berkata: "Kepentingan jaminan makanan kini menjadi semakin penting, dengan cabaran rantaian bekalan dan perubahan iklim yang mengubah dunia seperti yang kita maklumi. Kita terdesak untuk memikirkan semula tentang makanan untuk masa depan serta amalan pertanian yang berdaya tahan dan memanfaatkan kemajuan teknologi yang terbaik untuk berbuat demikian. Cabaran Teknologi Makanan membawa kita hampir untuk memperoleh beberapa penyelesaian tersebut serta mengakui peranan penting yang perlu dimainkan oleh inovasi dalam menangani cabaran bersama yang kita hadapi".
Rima Al Mokarrab, Pengerusi Tamkeen menambah: "Menyahut seruan matlamat jaminan makanan UAE yang sukar dicapai dan berjangka panjang ini memerlukan pendekatan berani yang memupuk idea kreatif, penemuan model baharu dan tahap penyelarasan yang tinggi dengan ekosistem teknologi pertanian global. Cabaran Teknologi Makanan ini menghimpunkan konsortium rakan kongsi dari pelbagai sektor yang hebat yang memacu kemajuan – menyokong penyelesaian yang mampan, dipacu teknologi dan berdaya maju secara komersial untuk berkembang maju di UAE".
Dengan tumpuan terhadap teknologi rintis, Tuan Yang Terutama Faisal Al Bannai, Setiausaha Agung ATRC berkata: "UAE ialah salah satu tempat yang paling menarik di dunia pada masa ini apabila melibatkan inovasi dan memanfaatkan kuasa teknologi canggih untuk membantu mencari jawapan kepada beberapa isu yang paling mendesak dalam masyarakat. Cabaran Teknologi Makanan ini merupakan satu lagi contoh yang hebat dalam hal ini dengan UAE yang menjadi tuan rumah kepada para pemikir paling bijak di muka bumi, apabila mereka bersatu untuk bekerjasama, meneroka dan mendorong batas teknologi pertanian."
Pertandingan ini juga disokong oleh Abu Dhabi Global Market, Abu Dhabi Residents Office, The Catalyst Accelerator dan Khalifa Fund for Enterprise Development.
Permohonan untuk Cabaran ini akan terus dibuka sehingga bulan Jun apabila penyerahan disenarai pendek dan 10 pasukan terbaik diberi peluang untuk membentangkan model perniagaan mereka pada Majlis Penganugerahan pada bulan November. Para peserta boleh menghantar permohonan mereka melalui www.foodtechchallenge.com.
Edisi pertama Cabaran Teknologi Makanan menyaksikan sebanyak 437 permohonan dari 68 buah negara, dengan pemenang yang diumumkan berasal dari Australia, Arab Saudi, UAE dan UK.
Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1777878/FoodTech_Challenge_Logo.jpg?p=medium600