omniture

Levi Strauss & Co. percepatkan pertumbuhan mampan dengan strategi pengembangan agresif

Levi Strauss and Co.
2022-04-12 10:14 109

Asia Pasifik Timur mencipta semula, menaik taraf dan membuka kedai baharu di lebih daripada 100 lokasi

SINGAPURA, 11 April 2022 /PRNewswire/ -- Levi Strauss & Co. (NYSE: LEVI) hari ini mengumumkan rancangan bercita-cita tinggi untuk mempercepatkan pertumbuhan perniagaan yang mampan dan mendorong kejayaan komersial di rantau Asia Pasifik Timur (EAP). Tumpuan kepada strategi pertumbuhan ini ialah pempelbagaian perniagaan merentas geografi, kategori pakaian dan saluran pengedaran. Levi Strauss & Co. akan melancarkan kedai baharu dan memperkenalkan penaiktarafan kedai sedia ada dan perkhidmatan dalam-kedai baharu di seluruh rantau berkenaan.


Antara kedai-kedai baharu yang akan dilancarkan pada tahun ini ialah kedai Levi's® di negara-negara termasuk Jepun, Australia, Indonesia, Singapura, Malaysia dan Thailand. Levi Strauss & Co. akan menaik taraf beberapa kedai runcit dan kedai-dalam-kedai kepada kedai NextGen Indigo, menawarkan pengalaman kedai yang dipertingkat yang menggunakan alat digital untuk melancarkan perjalanan pengguna termasuk memasang gerbang masuk portal LED dan skrin LED untuk kandungan pemasaran. Kedai-kedai terpilih di rantau berkenaan akan memperkenalkan perkhidmatan penyesuaian dalam-kedai untuk menawarkan pemperibadian yang lebih hebat. Tatkala pasaran runcit menemui keseimbangan baharunya, Levi Strauss & Co. akan memberi tumpuan kepada penglibatan omnisaluran, memanfaatkan model pengalaman pelanggan hibrid.

"Kami komited terhadap kejayaan masa depan perniagaan kami pada setiap peringkat dan memperbaharui apa yang kami lakukan dan bagaimana kami menguasai pasaran hari ini. Dalam masa yang sama, kami menerima teknologi masa depan untuk memperkasa inovasi dan menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami dan menyampaikan nilai yang lebih besar kepada pihak berkepentingan. Kami akan melakukan ini dengan menjadikan orang ramai keutamaan dalam perniagaan kami dan melalui amalan bertanggungjawab kerana penggerak kepada perubahan yang positif adalah sangat penting untuk menjadi jenama pakaian yang terbaik di dunia," kata Nuholt Huisamen, Pengarah Urusan dan Naib Presiden Kanan Levi Strauss & Co.

Tatkala memanfaatkan warisan jenama selama 169 tahun untuk memacu pertumbuhan kategori yang utama, Levi Strauss & Co. melipatgandakan usaha transformasi digitalnya. Peneraju global bagi pakaian jeans ini akan memanfaatkan digital, data dan AI untuk kekal mendahului trend, mendorong kecekapan dan inovasi dalam proses penciptaan produk, menyampaikan tawaran omnisaluran, menuntut ruangnya dalam lingkungan terus-kepada-pengguna (DTC) dan akhirnya meningkatkan pengalaman pengguna.

Sebagai sebuah syarikat yang diterajui oleh nilai-nilai terasnya iaitu empati, keaslian, integriti dan keberanian serta mempunyai tumpuan kukuh terhadap kepelbagaian, kesaksamaan dan rangkuman (DE&I), Levi Strauss & Co. sentiasa menjadi destinasi untuk bakat terbaik. Sepanjang pandemik ini, syarikat ini memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk menyokong pekerja di pejabat, kedai runcit, pusat pengedaran dan kilang pembuatan termasuk menyediakan susunan kerja yang fleksibel, sumber tambahan dan bantuan kewangan. Melalui Red Tab Foundation, tabung kesusahan pekerja yang pertama seumpamanya, syarikat ini menyediakan kira-kira $2.4J bantuan kewangan kepada lebih daripada 1,800 individu pada tahun 2021. Dibiayai terutamanya oleh pekerja, pemegang saham dan pesara, konsep unik ini membantu komuniti kami yang mengalami kesusahan harian, bencana alam dan impak kewangan akibat pandemik COVID-19. Sebagai sebahagian daripada strategi DTCnya, syarikat ini turut menyediakan peluang pembelajaran kepada kakitangan sedia ada untuk meningkatkan kemahiran diri mereka sendiri melalui program latihan dan pembangunan seperti Machine Learning Bootcamp untuk melengkapkan pekerja dengan alat yang diperlukan oleh mereka untuk berkembang maju dalam ekonomi yang berubah-ubah dan semakin didigitalkan ini.

Dari segi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), Levi Strauss & Co. meletakkan sasarannya kepada metrik yang boleh diukur dan kekal komited terhadap amalan yang bertanggungjawab dan mampan yang digariskan dalam Laporan Kemampanan 2020. Syarikat ini berada di landasan untuk mencapai sasaran Strategi Tindakan Air dan Iklim 2025. Inisiatif-inisiatif termasuk teknik kemasan Water<Less® yang membolehkan berbilion-bilion liter air dijimatkan; mengurangkan emisi dalam seluruh rantaian bekalan; memacu inovasi dalam bahan dan reka bentuk mampan melalui Wellthread™; dan memperjuangkan kepenggunaan beretika melalui kempen Buy Better, Wear Longer (Beli Lebih Baik, Pakai Lebih Lama) Levi's®, inisiatif-inisiatif ini merangkumkan langkah syarikat untuk membangunkan dan melaksanakan produk dan amalan pusingan.

Levi Strauss & Co. juga terus menjadi penyokong kuat terhadap isu keadilan sosial dan kesamaan untuk wanita, kumpulan etnik terpinggir dan pekerja di rantau berkenaan. Bagi menyokong individu yang memerlukan, Levi Strauss & Co. menyumbang sebahagian daripada pendapatannya untuk memperbaiki keadaan dalam komuniti tempatan. Legasi memberi ini bermula dengan derma sebanyak $5 daripada keuntungan sederhana lebih 160 tahun yang lalu. Di samping itu, Levi Strauss Foundation menyumbang sebanyak lebih daripada $340 juta dalam bentuk hasil dan program yang dianjurkan, kesukarelawanan pekerja dan sokongan awam. Pada tahun 2021, pekerja menderma lebih US$1.5 juta dan melengkapkan 12,871 jam sukarelawan.

Latar Belakang Levi Strauss & Co. 

Levi Strauss & Co. (Levi Strauss & Co.) ialah salah sebuah syarikat pakaian berjenama terbesar di dunia dan peneraju global dalam pakaian jeans. Syarikat ini mereka bentuk dan memasarkan jeans, pakaian santai serta aksesori berkaitan untuk lelaki, wanita dan juga kanak-kanak di bawah jenama Levi's®, Signature by Levi Strauss & Co.™, Denizen®, Dockers® dan Beyond Yoga®. Produknya dijual di lebih daripada 110 negara di seluruh dunia melalui kombinasi pekedai rantaian, gedung serbaneka, laman dalam talian serta jejak global meliputi kira-kira 3,100 kedai runcit dan kedai-dalam-kedai. Hasil bersih tahun 2021 Levi Strauss & Co. yang dilaporkan ialah $5.8 bilion. Untuk maklumat lanjut, sila ke http://levistrauss.com dan untuk berita kewangan dan pengumuman, sila ke http://investors.levistrauss.com.

 

 

 

Source: Levi Strauss and Co.
Keywords: Fashion Household/Consumer/Cosmetics Retail Textiles Workforce Management/Human Resources Corporate Social Responsibility