PHNOM PENH, Kemboja, 2 May 2022 /PRNewswire/ -- Hong Leong Bank (Cambodia) Plc ('HLBCAM' atau 'Bank') menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan PKS Malaysia bagi mengupayakan perkongsian ilmu pengetahuan dan kepakaran, menyediakan khidmat nasihat dan peluang pemadanan perniagaan bagi menyokong pertumbuhan perusahaan kecil-kecilan dan sederhana (PKS) di Kemboja, sekali gus melancarkan perniagaan dan pelaburan yang berpotensi antara negara-negara tersebut.
Penandatanganan antara Terrence Teoh, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLBCAM dan Ding Hong Sing, Presiden Kebangsaan bagi Persatuan PKS Malaysia telah disaksikan oleh T.Y.T. Eldeen Husaini, Duta Malaysia ke Kemboja dan T.Y.T. Cheuy Vichet, Duta Kemboja ke Malaysia.
Memandangkan PKS memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi Kemboja, Teoh mengesahkan lagi komitmen HLBCAM bagi menyokong PKS untuk memperkukuh kebingkasan perniagaan dalam fasa pemulihan pandemik melalui peluang perdagangan dan pelaburan.
"Kami berkongsi matlamat yang sama seperti Kemboja untuk menyemarakkan semangat perusahaan dan meningkatkan pembangunan ekonomi. Melalui MoU ini, saya percaya keupayaan bersama kami dan tinjauan mendalam terhadap kedua-dua pasaran ini dapat membantu pelanggan PKS Kemboja dan Malaysia kami mengemudi peluang pemadanan perniagaan bersama, serta membantu mereka berhubung dengan rangkaian penyelesaian perniagaan dan kewangan yang lebih luas, terutamanya dalam inovasi digital untuk memacu prestasi perniagaan dan kemampanan yang lebih besar," kata Teoh.
Mewakili komuniti PKS Malaysia, Ding Hong Sing berkata MoU tersebut akan memupuk kolaborasi. "Matlamat kami adalah untuk berkongsi kepakaran dan pengetahuan industri melalui lawatan sambil belajar, bengkel dan seminar bersama rakan niaga yang relevan. Dengan bergabung tenaga, kami dapat membantu PKS merealisasikan potensi penuh mereka dan memanfaatkan peluang antara sektor-sektor PKS Kemboja dan Malaysia yang semakin berkembang."
T.Y.T. Cheuy Vichet, Duta Kemboja ke Malaysia berkata bahawa MoU tersebut selaras dengan aspirasi negara Kemboja untuk mendorong pembangunan industri melalui pempelbagaian ekonomi, meningkatkan daya saing dan mengukuhkan produktiviti seperti yang digariskan dalam Dasar Pembangunan Industri 2015-2025 yang diluluskan oleh Kerajaan Diraja Kemboja.
"MoU ini akan membantu PKS Kemboja meluaskan ekosistem keusahawanan, menyokong matlamat pembangunan sosio-ekonomi Kemboja, memacu pertumbuhan ekonomi tinggi yang mampan dan inklusif serta meningkatkan sektor-sektor perindustrian," kata Tuan Yang Terutama.
T.Y.T. Eldeen Husaini, Duta Malaysia ke Kemboja, mengesahkan semula hubungan erat selama 65 tahun antara negara-negara berkenaan, memetik MoU sebagai cerminan komitmen mereka untuk mempererat hubungan, terutamanya dalam perdagangan dua hala.
"MoU ini akan membuka jalan untuk kerjasama dan peluang yang saling memberi manfaat kepada PKS dari kedua-dua negara untuk mengukuhkan landskap PKS dan menyumbang kepada peningkatan daya saing di rantau ini," kata Tuan Yang Terutama.