omniture

Persidangan Organisasi Strok Eropah 2022: Kajian baharu mengaitkan strain mikrobiota usus dengan strok yang lebih parah dan pemulihan pasca strok yang lebih lemah

European Stroke Organisation
2022-05-04 06:00 53

LYON, Perancis, 4 Mei 2022 /PRNewswire/ -- Sebuah kajian baharu telah mengenal pasti strain mikrobiota usus yang dikaitkan dengan strok yang lebih parah dan pemulihan pasca strok yang lebih teruk, serta mendedahkan bahawa mikrobiom usus boleh menjadi faktor penting dalam risiko dan akibat daripada strok.

Kajian tersebut yang dibentangkan pada hari ini di Persidangan Organisasi Strok Eropah (ESOC 2022) telah mengenal pasti kumpulan bakteria tertentu yang dikaitkan dengan pemulihan neurologi yang lebih lemah daripada strok iskemia dalam fasa akut (24 jam) dan selepas tiga bulan.

Penyelidikan ini turut mengenal pasti pelbagai jenis bakteria yang dikaitkan dengan risiko strok iskemia, termasuk fusobakterium dan laktobasilus. Negativibacillus dan Lentisphaeria dikaitkan dengan strok yang lebih parah dalam fasa akut (masing-masing dalam tempoh 6 dan 24 jam) manakala Acidaminococcus berkaitan dengan hasil fungsian yang lemah dalam tempoh tiga bulan. 

Dr. Miquel Lledós, pengarang utama dari Makmal Farmakogenomik Strok dan Genetik Institut Penyelidikan Sant Pau, Barcelona, Sepanyol mengulas "Pengaruh mikrobiom usus – iaitu trilion bakteria dan mikroorganisma lain yang hidup di dalam usus – merupakan faktor risiko boleh diubah suai yang dikaitkan dengan risiko strok serta akibat neurologi pasca strok. Walau bagaimanapun, kebanyakan penyelidikan sebelum ini telah dilakukan ke atas haiwan."

"Dalam kajian ini, kami mengambil sampel najis – sampel pertama yang diambil selepas kejadian strok – daripada 89 orang manusia yang mengalami strok iskemia. Berbanding dengan kumpulan kawalan, kami dapat mengenal pasti beberapa kumpulan bakteria yang dikaitkan dengan risiko strok iskemia yang lebih tinggi."

Strok iskemia berlaku apabila terdapat bekuan atau sekatan lain yang menghalang bekalan darah ke otak dan merupakan jenis strok yang paling biasa berlaku. Di Eropah, 1.3 juta orang mengalami strok setiap tahun dan ia merupakan punca kematian yang kedua paling kerap berlaku.

"Penemuan ini membuka prospek yang menarik iaitu pada masa akan datang kita mungkin dapat mencegah strok atau meningkatkan pemulihan neurologi dengan memeriksa mikrobiota usus. Dalam bidang patologi yang lain, ujian klinikal sedang dijalankan di mana para penyelidik menggantikan flora usus melalui perubahan diet atau pemindahan najis daripada individu yang sihat dan ini perlu dikaji lebih lanjut dalam bidang strok."

Source: European Stroke Organisation
Keywords: Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Clinical Trials/Medical Discoveries