omniture

DASAR GLOBAL AKAN MEMPERMUDAH PERJALANAN ANTARABANGSA

General Authority of Civil Aviation (GACA)
2022-05-09 15:30 35

Diketuai oleh Arab Saudi, dasar Pengharmonian Perjalanan Udara akan mengubah pengalaman pengembara dengan mewujudkan satu sumber maklumat tunggal yang dipercayai tentang syarat kemasukan pengembara antarabangsa  

  • Dasar penerbangan global ini telah dibangunkan dengan kerjasama Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) PBB
  • Dasar Pengharmonian Perjalanan Udara ini berusaha untuk memacu pemulihan sektor penerbangan global
  • Rangka kerja dasar ini telah dilancarkan pada Forum Penerbangan Masa Depan Kerajaan Arab Saudi dan akan dibentangkan secara rasmi kemudian di Perhimpunan Agung ICAO ke-41 pada tahun 2022 

RIYADH, Arab Saudi, 9 Mei 2022 /PRNewswire/ -- Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi (GACA) mengumumkan dasar Pengharmonian Perjalanan Udara, suatu rangka kerja yang akan menjadikan perjalanan antarabangsa lebih ringkas, lebih mudah dan lebih menyeronokkan dengan menghapuskan kekeliruan tentang syarat keperluan yang ketika ini membantutkan niat berjuta-juta orang untuk menempah penerbangan.

Global policy, launched at the Future Aviation Forum, will remove headaches from international travel
Global policy, launched at the Future Aviation Forum, will remove headaches from international travel

Direka dengan kerjasama Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) PBB, rangka kerja yang dicadangkan ini akan menghapuskan kekeliruan perjalanan antarabangsa yang dihadapi oleh para penumpang, syarikat pengangkutan dan kerajaan dengan mewujudkan satu sumber dalam talian tunggal yang jelas dan mutakhir dalam menetapkan keperluan kemasukan ke semua negara yang mengambil bahagian.

Dasar tersebut akan dikemukakan pada Perhimpunan Agung Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dengan objektif untuk menerima kelulusan daripada Negara Anggota pada bulan Oktober tahun ini.

Presiden GACA, TYT Abdulaziz bin Abdullah al-Duailej berkata: "Pandemik yang melanda telah mendedahkan betapa terpisahnya dunia ini. Penyelidikan kami menunjukkan bahawa ramai orang memilih untuk tidak mengembara pada tahun 2021 – dan tidak akan mengembara pada tahun 2022 – kerana syarat kesihatan yang mengelirukan untuk bergerak dari satu negara ke negara lain.  Kami berbesar hati untuk melancarkan dasar Pengharmonian Perjalanan Udara ini, satu rangka kerja cadangan yang akan menyatukan dan mengukuhkan industri kami dengan membolehkannya mengendalikan krisis kesihatan pada masa hadapan.

"Penerbangan merupakan nadi kepada ekonomi global, oleh itu adalah penting untuk ia dilindungi daripada gangguan pada masa hadapan. Rangka kerja dasar Pengharmonian Perjalanan Udara menunjukkan peranan kepimpinan yang digalas oleh Arab Saudi bagi memastikan sektor tersebut berkembang maju pada tahun-tahun akan datang."

Menurut penyelidikan YouGov baru-baru ini, pada masa ini 32 peratus rakyat Amerika, 47 peratus penduduk di negara Teluk, 40 peratus penduduk di Itali dan 40 peratus penduduk di UK menyatakan kekeliruan tentang syarat kesihatan yang menghalang mereka daripada melakukan perjalanan pada tahun 2022.

Dasar ini akan mewujudkan mekanisme pelaporan antarabangsa yang harmoni untuk krisis kesihatan menggunakan alat komunikasi digital yang dibina khas, proses tadbir urus dan penyelarasan bertaraf dunia serta sistem yang akan memudahkan pematuhan sejagat, seperti sijil Kesihatan Digital yang diiktiraf di peringkat global.

Sehubungan itu, para pengembara akan mempunyai akses kepada garis panduan dan syarat yang jelas untuk bergerak dari destinasi asal hingga ke destinasi akhir. Platform universal ini akan dapat menyepadukan semua sistem komunikasi krisis kesihatan kerajaan ke kerajaan dan penerbangan antarabangsa yang sedia ada.  

Kertas kerja dasar Pengharmonian Perjalanan Udara telah dilancarkan pada Forum Penerbangan Masa Depan yang julung-julung kali diadakan di Riyadh. Dengan acara yang dihoskan oleh GACA ini, para pemimpin global, ketua penerbangan dan pengawal selia bersidang untuk mencari penyelesaian kepada cabaran terbesar dalam sektor penerbangan – termasuk pengalaman penumpang, kelestarian dan pemulihan perniagaan pasca COVID.  

Arab Saudi bercita-cita untuk menjadi hab penerbangan yang terkemuka di Timur Tengah. Sektor pengangkutan dan logistiknya yang menjadi tonggak utama pelan transformasi ekonomi Wawasan 2030, sedang mengalami perkembangan pesat. Kerajaan negara ini bermatlamat untuk menjana pelaburan sebanyak SAR356 bilion – atau tepat di bawah USD100 bilion – dalam sektor penerbangannya menjelang tahun 2030.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut atau untuk berhubung dengan pasukan media Forum Penerbangan Masa Depan, sila hubungi FAFmedia@consulum.com.

Tentang Forum Penerbangan Masa Depan: 

Forum Penerbangan Masa Depan yang julung kali diadakan ini bertindak sebagai sebuah acara perangkaian utama dan untuk memeterai perjanjian yang menghubungkan para pemimpin penerbangan global bagi membentuk evolusi perjalanan udara antarabangsa, mendorong kemajuan dalam dunia pasca pandemik serta memastikan sektor ini berkembang pesat pada tahun-tahun akan datang. Diadakan dari 9 hingga 11 Mei di Riyadh, ia menampilkan lebih 120 orang penceramah, dengan lebih 2,000 orang tetamu dan perwakilan dari setiap benua. Para perwakilan akan menghadiri 40 sesi yang memberi tumpuan kepada tiga teras bertema utama: pengalaman penumpang, kelestarian dan pemulihan perniagaan pasca Covid.

Dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam (GACA) di bawah naungan Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz, Forum ini akan mendorong kemunculan Arab Saudi sebagai hab penerbangan terkemuka di rantau ini.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.futureaviationforum.com/

Forum Penerbangan Masa Depan di media sosial: 

Twitter - https://twitter.com/FAF_Saudi

LinkedIn - https://www.linkedin.com/company/futureaviationforum/

YouTube - https://www.youtube.com/channel/UCX16r5UYLzUoWeHJ4yw8QdQ

 

Photo: https://mma.prnasia.com/media2/1813220/White_Paper_Master_Infographic.jpg?p=medium600

 

Source: General Authority of Civil Aviation (GACA)
Keywords: Airlines/Aviation Computer/Electronics Health Care/Hospital Travel New products/services Survey, Polls & Research