omniture

DoctorOnCall dan BUMITRA Malaysia bekerjasama galakkan vaksinasi dalam kalangan jemaah haji dan umrah

DoctorOnCall
2022-06-13 14:56 74

KUALA LUMPUR, Malaysia, 13 Jun 2022 /PRNewswire/ -- Platform kesihatan digital Malaysia, Health Digital Technologies Sdn. Bhd. (DoctorOnCall) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA Malaysia) untuk memudahkan dan meningkatkan proses vaksinasi kesihatan dalam kalangan jemaah Malaysia yang merancang untuk menunaikan ibadat haji atau umrah di  Arab Saudi.

BUMITRA dan DoctorOnCall di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di Kuala Lumpur
BUMITRA dan DoctorOnCall di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di Kuala Lumpur

Platform itu akan disediakan kepada jemaah yang membuat rancangan melakukan ibadat haji atau umrah dengan mana-mana agensi pelancongan di bawah BUMITRA yang mengambil bahagian. Fasa percubaan vaksinasi akan bermula bulan ini dengan memberi tumpuan kepada kawasan Kuala Lumpur dan Selangor, sebelum permulaan fasa kedua pada akhir Julai yang akan meliputi seluruh negara.

Sebagai penyedia platform yang mudah, responsif, telus dan boleh dipercayai melalui penawaran pelbagai produk dan perkhidmatan penjagaan kesihatannya, platform DoctorOnCall akan digunakan sebagai pangkalan data dalam talian bagi penyedia penjagaan kesihatan yang menawarkan perkhidmatan vaksinasi di seluruh negara. Penggunaan pangkalan data itu akan membantu jemaah haji mencari dan mengenal pasti klinik yang sesuai, bereputasi dan disahkan untuk melakukan vaksinasi.

Vaksinasi yang ditawarkan melalui DoctorOnCall meliputi vaksin untuk meningokokus, influenza dan Covid-19. Bagaimanapun, dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa jemaah haji Malaysia untuk memasukkan vaksin pneumokokal sebagai sebahagian daripada inokulasi mereka untuk meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan pneumokokal yang serius dan berpotensi membawa maut(1), DoctorOnCall akan memberi penekanan yang lebih besar kepada penyedia vaksin pneumokokal supaya memastikan lebih ramai jemaah akan mendapat akses kepada vaksin tersebut.

Pengarah dan Pengasas Bersama DoctorOnCall, Hazwan Najib berkata: "Dengan kebangkitan semula pelancongan berkaitan keagamaan ketika negara memasuki dunia pasca-pandemik, keadaan kesesakan di tempat ibadat tidak dapat dielakkan.

"Ini menjadikan jemaah haji lebih mudah dijangkiti penyakit berjangkit. Pemberian vaksinasi dengan vaksin yang diwajibkan oleh Kerajaan Arab Saudi akan memberi keyakinan dan ketenangan fikiran bagi jemaah dalam melakukan ibadat mereka, terutamanya bagi mereka yang mempunyai komorbiditi perubatan berisiko tinggi ketika terdedah kepada orang ramai.

"Platform DoctorOnCall akan menggalakkan pengambilan vaksin untuk jemaah haji yang lebih selamat dengan memudahkan proses vaksinasi. Menggunakan platform ini, proses membuat temu janji untuk melakukan vaksinasi dipermudahkan kerana jemaah haji tidak perlu lagi melakukan perjalanan dan menunggu berjam-jam dalam barisan di kemudahan perubatan.

"Sebaliknya, mereka boleh menempah temu janji fizikal, mematuhi garis panduan vaksinasi dengan lebih baik untuk mengelakkan kesan sampingan berganda dan membantu mereka merancang melakukan vaksinasi semasa perjalanan haji mereka," sambung Hazwan.

Presiden BUMITRA Malaysia, Haji Harun KC Ahmmu berkata, kesihatan dan keselamatan jemaah adalah teras dalam perkhidmatan yang ditawarkan dan mereka sentiasa secara berterusan menambah baik cara dan kaedah menjaga kesihatan jemaah haji sepanjang perjalanan ibadat mereka di Tanah Suci.

"Kami sangat gembira dapat bekerjasama dengan DoctorOnCall untuk memperluaskan perlindungan kesihatan melalui inokulasi dalam kalangan jemaah. Ketika menunaikan ibadah haji, kita sering bersentuhan dengan jemaah dari seluruh dunia yang mungkin tanpa disedari membawa penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin.

"Bersama DoctorOnCall, jemaah haji kami akan diperkasakan dengan bukan sahaja vaksinasi yang diperlukan tetapi juga kesedaran dan pengetahuan yang lebih baik mengenai penyakit berjangkit ini dan seterusnya membantu lebih ramai jemaah Malaysia menjaga kesihatan dan memberikan mereka pengalaman ziarah tanpa bimbang," katanya.

Majlis menandatangani MoU diadakan di pejabat BUMITRA Malaysia di Kuala Lumpur pada 9 Jun 2022 dengan dokumen ditandatangani oleh Hazwan Najib dan Harun KC Ahmmu. Majlis penandatanganan itu turut disaksikan oleh Leong Shook Ye dari DoctorOnCall dan Ab Rahman Mohd Ali dari BUMITRA Malaysia.

Pihak yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan vaksinasi tersebut boleh mengunjungi laman web https://www.doctoroncall.com.my dan klik pada Pakej Vaksinasi Haji & Umrah.

Rujukan:

1. Artikel 'Haj and umrah pilgrims encouraged to take pneumococcal and flu shots' - New Straits Time. Diterbitkan pada 7 November 2018.

Mengenai DoctorOnCall

DoctorOnCall merupakan platform perundingan Video Perubatan dalam talian pertama di Malaysia yang menggabungkan teknologi video dan suara termaju. DoctorOnCall menyediakan akses pantas, mudah dan kos efektif kepada doktor terkemuka dan penyedia penjagaan kesihatan di negara ini.

Pesakit boleh membuat panggilan Video Perubatan pada telefon pintar atau komputer mereka pada bila-bila masa sepanjang hari dan di mana-mana sahaja. Kami menawarkan perkhidmatan ini tanpa mengorbankan kualiti kerana profesional perubatan dan kesihatan mental yang mengendalikan perkhidmatan ini merupakan mereka yang telah dilatih dan dipilih dengan teliti.

Kami percaya bahawa masa depan penjagaan kesihatan adalah berasaskan digital dan pengamal perubatan kami akan memberikan anda perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih baik pada kos yang lebih berpatutan.

Untuk maklumat lanjut, lawati kami di https://www.doctoroncall.com.my/ 

Mengenai BUMITRA MALAYSIA

BUMITRA MALAYSIA atau Persatuan Syarikat Operasi Pelancongan Bumiputera Malaysia telah ditubuhkan pada 1981. Persatuan yang sebelum ini hanya mempunyai 40 syarikat pelancongan kini berkembang pesat dan mempunyai keahlian hampir 600 syarikat pelancongan Bumiputera.

Objektif utama BUMITRA MALAYSIA adalah untuk meningkatkan penglibatan ahli BUMITRA MALAYSIA yang berstatus 100 peratus Bumiputera dalam industri pelancongan bagi meningkatkan ekonomi mereka serta melahirkan usahawan baharu untuk terus memainkan peranan sebagai penjana pertumbuhan ekonomi negara.

Source: DoctorOnCall
Keywords: Computer/Electronics Health Care/Hospital Multimedia/Online/Internet Travel Licensing/marketing agreements