omniture

Fenomena Ekspatriat Lesu Upaya Beri Petanda 'Cabaran Besar' untuk Majikan

Cigna
2022-06-25 16:45 702
  • Tinjauan Kesejahteraan Global Cigna 360 melibatkan 11,922 orang di seluruh dunia mendedahkan tekanan ekspatriat mencapai paras tertinggi dengan hampir semua responden mengalami simptom fenomena lesu upaya
  • Kini, gaya hidup adalah lebih penting daripada kewangan buat mereka yang merancang untuk berpindah ke luar negara, satu perempat merancang untuk berpindah untuk mengakses penjagaan kesihatan dengan lebih baik
  • Destinasi utama untuk ekspatriat sedia ada berpindah ialah Kanada, dengan Australia dan A.S. seri di tempat kedua

HONG KONG, 24 Jun 2022 /PRNewswire/ -- Sebilangan besar ekspatriat mengalami fenomena lesu upaya, tertekan dan menilai semula keutamaan kehidupan dan kerja untuk lebih kefleksibelan atau untuk berada lebih dekat dengan keluarga dan rakan-rakan, menurut laporan berdasarkan kepada edisi kelapan Tinjauan Kesejahteraan Cigna 360.

Laporan yang dikeluarkan hari ini, Burned Out Overseas – The State of Expat Life 2022 (Fenomena Lesu Upaya Luar Negara – Keadaan Kehidupan Ekspatriat 2022), mendapati 90% daripada ekspatriat berasa tertekan dan 98% telah mengalami simptom fenomena lesu upaya - berkemungkinan terdorong oleh rasa tidak mampu untuk berhenti daripada kerja. Ekspatriat mengalami rasa terasing yang amat sangat, dengan 87% melaporkan rasa tidak berdaya, terperangkap atau tewas dan 86% berasa terasing atau bersendirian. Sementara itu, lebih daripada satu pertiga (38%) juga bimbang atau tidak pasti akan keadaan kewangan mereka. Menyumbang kepada dapatan ini ialah campuran antara faktor-faktor gaya hidup, peluang dan budaya kerja. Kajian tersebut mendapati bahawa 73% daripada ekspatriat semasa, dan 75% daripada mereka yang merancang untuk berpindah ke luar negara dalam tempoh dua tahun akan datang, telah meluangkan lebih banyak masa menilai semula keutamaan kehidupan mereka sejak pandemik. Gaya hidup kini menggantikan kewangan sebagai keutamaan tertinggi buat mereka yang merancang untuk berpindah ke luar negara.

Jason Sadler, Presiden, Cigna International Markets, berkata majikan menghadapi cabaran sebenar bagi memenuhi perubahan gaya hidup ini dan memikirkan semula proposisi nilai ekspatriat. "Majikan mungkin menghadapi cabaran yang sangat besar bagi mengisi tugasan luar negara pada masa depan. Gaya hidup yang menarik, memberi ganjaran dan mudah bergerak di seluruh dunia dahulunya meringkaskan tentang 'impian ekspatriat' telah berubah dan lebih ramai orang kini mengutamakan gaya hidup, keluarga dan rakan-rakan apabila merancang untuk berpindah."

Penjagaan kesihatan telah menjadi keutamaan untuk semua kumpulan, dengan 23% daripada ekspatriat sedia ada mempertimbangkan untuk berpindah bagi mendapat akses kepada penjagaan kesihatan yang lebih baik. Keseimbangan kerja dan kehidupan juga adalah sangat penting, dengan lebih daripada satu perempat ekspatriat yang bercita-cita tinggi berkata waktu kerja yang fleksibel adalah sangat penting manakala 16% berkata mereka inginkan keupayaan untuk bekerja dari mana-mana lokasi di dunia.

"Bermula dari sekarang, berkemungkinan bahawa organisasi-organisasi akan perlu menilai semula bagaimana mereka menyusun tugasan ekspatriat. Keperluan peribadi dan keluarga kini menjadi keutamaan dalam membuat keputusan dan ini mungkin memberi kesan ke atas faedah-faedah yang diutamakan oleh ekspatriat apabila memilih peranan," tambah Sadler.

Tinjauan berkenaan turut mendapati Kanada merupakan destinasi utama untuk ekspatriat sedia ada berpindah, dengan 11% ingin ditempatkan semula di sana. Australia dan A.S. seri di tempat kedua. Sebilangan besar mereka yang tinggal di Eropah dan Australia yakin bahawa mereka akan terus menetap di luar negara, namun hal yang sama tidak boleh dikatakan untuk Asia, dengan hanya 5% daripada mereka di India dan 16% daripada mereka yang berada di Tanah Besar China yakin mereka akan menetap di sana.

Profil umur ekspatriat turut berubah, dengan pekerja kanan kini lebih berkemungkinan untuk kembali atau kekal berada di negara-negara asal mereka sementara kakitangan lebih muda mencari peluang berpindah ke luar negara. Hanya 13% daripada mereka berumur lebih 50 tahun berkata mereka ingin berpindah ke luar negara, berbanding 37% daripada mereka yang berumur 18 hingga 24 tahun dan 34% daripada mereka berumur 25 hingga 34 tahun.

Memandang ke hadapan, Dr. Stella George, Ketua Pegawai Perubatan, Cigna International Markets, berkata demografi umur ekspatriat dijangka berubah.

"Beberapa tahun kebelakangan ini semasa berlakunya pandemik adalah mencabar khususnya untuk ekspatriat sedia ada dan jangka panjang," kata Dr. George. "Oleh itu, walaupun ramai yang akan berpindah lebih dekat dengan tempat asal, ramai ahli profesional lebih muda yang bercita-cita tinggi juga akan mula memanfaatkan peluang-peluang yang ditawarkan oleh penempatan luar negara seperti kenaikan pangkat yang pantas, cara kerja yang fleksibel serta insentif-insentif lain. Faedah-faedah ini menarik khususnya kepada individu yang berada di tahap awal kerjaya mereka."

Latar Belakang Tinjauan Kesejahteraan Cigna 360

Edisi kelapan Tinjauan Kesejahteraan Cigna 360 telah dijalankan oleh Cigna International Markets, dengan kerjasama Kantar, sebuah syarikat data, pandangan dan perundingan yang terkemuka. Lebih daripada 11,900 orang dari Australia, Belgium, Tanah Besar China, Hong Kong, India, Jepun, Kenya, Arab Saudi, Singapura, Sepanyol, Switzerland, Belanda, UAE, UK dan AS disoal selidik untuk kajian berkenaan pada bulan Mei tahun ini. Ia meneliti lima komponen penting – keluarga, kewangan, fizikal, sosial dan kerja – bagi mendedahkan trend dan cabaran terkini terhadap kesihatan dan kesejahteraan ekspatriat.

Pensampelan dalam talian memanfaatkan responden yang diambil daripada panel yang menjalani kawalan kualiti yang ketat dan komposisi panel mewakili populasi dewasa dalam setiap pasaran yang disoal selidik.

Latar Belakang Cigna 

Cigna Corporation (NYSE: CI) ialah sebuah syarikat perkhidmatan kesihatan global yang mengkhusus untuk meningkatkan kesihatan, kesejahteraan dan ketenangan fikiran mereka yang mendapat khidmat kami. Cigna memberi pilihan, kebolehramalan, kemampuan dan akses kepada penjagaan yang berkualiti melalui keupayaan disepadukan dan penyelesaian terhubung, diperibadikan yang meningkatkan kesihatan seluruh diri individu. Semua produk dan perkhidmatan disediakan secara eksklusif oleh atau melalui subsidiari-subsidiari kendalian Cigna Corporation, syarikat-syarikat Evernorth atau ahli-ahli gabungannya serta syarikat-syarikat Express Scripts atau ahli-ahli gabungannya. Produk dan perkhidmatan berkenaan termasuk rangkaian perkhidmatan kesihatan yang disepadukan, seperti perubatan, pergigian, kesihatan tingkah laku, farmasi, penglihatan, faedah tambahan dan produk berkaitan yang lain. Cigna mengekalkan keupayaan jualan di lebih 30 negara dan bidang kuasa serta menjalin lebih daripada 175 juta hubungan pelanggan di seluruh dunia. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Cigna®, termasuk pautan untuk mengikuti kami di Facebook atau Twitter, kunjungi www.cigna.com

 

Source: Cigna
Related Stocks:
NYSE:CI
Keywords: Health Care/Hospital Workforce Management/Human Resources Survey, Polls & Research