omniture

GARNIER MALAYSIA LANCAR PROGRAM PENDIDIKAN SEKOLAH DI SELURUH NEGARA DI BAWAH INISIATIF 'GREEN BEAUTY'

Garnier Malaysia
2022-06-29 16:53 83

KUALA LUMPUR, Malaysia, 29 Jun 2022 /PRNewswire/ -- Garnier Malaysia hari ini mengumumkan pelancaran program pendidikan sekolah di seluruh negara sebagai sebahagian daripada inisiatif hijaunya di bawah kempen 'Green Beauty'. Pelancaran tersebut diadakan di SMK Darul Ehsan di Selayang Baru dan dihadiri oleh Puan Hajah Marpuaton binti Sastero, Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan I.S.Shanmugaraj Subramaniam, Pengarah Eksekutif Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS). Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen Garnier Malaysia untuk memupuk generasi Hero Hijau yang seterusnya melalui pendidikan.

GARNIER MALAYSIA lancar program pendidikan di seluruh negara di bawah inisiatif  ‘'Green Beauty'
GARNIER MALAYSIA lancar program pendidikan di seluruh negara di bawah inisiatif ‘'Green Beauty'

Green Beauty adalah inisiatif global Garnier melibatkan pendekatan menyeluruh ke arah kelestarian. Komitmen ini mempunyai sasaran besar menjelang 2025 untuk mengurangkan impak keseluruhan Garnier terhadap alam sekitar secara menyeluruh. Matlamat kelestarian 2025 termasuklah memastikan produk tidak dihasilkan daripada plastik baharu, dan menukar bungkusan bagi memastikan semua bahan boleh diguna semula, dikitar semula dan boleh dikompos. Dengan mengambil langkah-langkah hijau dalam setiap perjalanan operasi jenamanya, Garnier juga komited memastikan tapak industrinya adalah neutral karbon menjelang 2025. Garnier juga berhasrat memperkasa 1,000 komuniti melalui program Penyumberan Perpaduan (Solidarity Sourcing).

Bagi mengukuhkan lagi pelaksanaan inisiatif ini di peringkat tempatan, Garnier Malaysia bekerjasama dengan MNS untuk menjalankan program pendidikan sekolah yang bermatlamat mendidik 1,000 guru dan beribu-ribu lagi pelajar tentang kitar semula, guna semula dan cara-cara untuk menangani pencemaran plastik. Para pelajar juga turut diperkasa untuk mengamalkan pengetahuan kitar semula yang dipelajari melalui tong sampah kitar semula yang disediakan oleh Garnier.

Inisiatif ini dimulakan dengan pameran bergerak jelajah yang interaktif, dipenuhi pelbagai aktiviti dan bengkel pendidikan yang menyeronokkan di SK Subang Bestari 2 dan SMK Seksyen 4, Bandar Kinrara. Acara ini menerima banyak maklum balas positif daripada pelajar dan guru.

Chris Chan selaku pemimpin Garnier Malaysia berkata, "Pencemaran plastik terus menjadi isu di Malaysia. Melalui inisiatif Green Beauty, kami ingin memainkan peranan sebagai sebuah jenama kecantikan yang lestari dalam mewujudkan impak, tidak kiralah kecil atau besar, ke arah kesejahteraan alam sekitar dalam jangka masa panjang. Kami percaya terhadap kuasa pendidikan dan program pendidikan sekolah ini akan memupuk pencinta alam sekitar yang akan menjadi generasi Hero Hijau yang seterusnya demi Malaysia yang lebih bersih dan lebih hijau."

"Garnier sangat berbesar hati dapat berganding bahu dengan MNS untuk melaksanakan inisiatif ini memandangkan mereka mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang meluas bagi mengukuhkan lagi pelaksanaan dan kesan inisiatif, sekaligus membolehkan kami sama-sama mencapai keseluruhan matlamat yang ditetapkan," tambah Chan.

SMK Darul Ehsan telah dipilih untuk pelancaran ini memandangkan sekolah tersebut cukup dikenali dengan pelaksanaan inisiatif hijau yang pelbagai di kalangan pelajar dan komuniti. Antara inisiatif hijau yang dilaksanakan di sekolah ini termasuklah membina rumah hijau, sistem tadahan air hujan, menyediakan kelas agrikultur dan hortikultur, dan juga hab pengumpulan untuk minyak masak dan fabrik terpakai. Sekolah tersebut juga dikenali dengan pelaksanaan 'Eco-Brick', dimana botol plastik diisi padat dengan sisa buangan plastik untuk digunakan sebagai bahan binaan bagi menghasilkan dinding penebat atau perabot luar.

I.S.Shanmugaraj Subramaniam, Pengarah Eksekutif Persatuan Pencinta Alam Malaysia berkata, "Program pendidikan sekolah di seluruh negara ini bertepatan dengan matlamat dan tujuan kami ke arah mendidik pelajar bagi mewujudkan minat mereka terhadap kitar semula dan pengurusan sisa buangan plastik. Bengkel interaktif dan menyeronokkan adalah cara untuk memperkenalkan topik sebegini kepada kanak-kanak sekolah dan kami sangat gembira dapat bekerjasama dengan Garnier Malaysia untuk merealisasikan masa hadapan yang lestari dan alam sekitar yang lebih hijau."

Selain menjalankan program sekolah di seluruh negara ini, Garnier Malaysia dan MNS juga dalam perancangan untuk melaksanakan aktiviti pembersihan di lima pantai terpilih di negara ini. Aktiviti pembersihan pantai yang pertama telah diadakan pada 25 Mei lalu di Pantai Remis, Kuala Selangor dengan kehadiran 80 peserta.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen Green Beauty oleh Garnier, sila layari www.garnier.com.my/green-beauty atau ikuti Garnier Malaysia di Facebook atau Instagram.

Source: Garnier Malaysia
Keywords: Education Environmental Products & Services Higher Education Household Products Household/Consumer/Cosmetics Retail New products/services