omniture

Yokogawa Ambil Alih Votiva Percepatkan Pertumbuhan Perniagaan ERP di Asia Tenggara

Yokogawa Electric Corporation
2022-09-29 13:00 50

Mengukuhkan perundingan, pelaksanaan penyelesaian ERP dan sokongan teknikal untuk pelanggan di rantau yang berkembang pesat ini.

TOKYO, 29 September 2022 /PRNewswire/ -- Yokogawa Electric Corporation (TOKYO: 6841) mengumumkan bahawa ia telah menyelesaikan pengambilalihan Votiva Singapore Pte. Ltd. ("Votiva"), firma perunding IT Asia Tenggara yang menyediakan perkhidmatan pelaksanaan perisian perancangan sumber perusahaan (ERP) dan pengurusan hubungan pelanggan (CRM). Sistem ERP merupakan teras dalam penyelesaian yang disediakan oleh Yokogawa untuk menyokong pembuatan pintar dan transformasi digital (DX) buat pelanggan dalam industri pembuatan. Pemerolehan ini akan membolehkan syarikat ini memperluaskan penyediaan perkhidmatan perundingan, pelaksanaan penyelesaian ERP dan sokongan teknikal di Asia Tenggara. Menerusi pemerolehan ini, Votiva akan menukar nama syarikatnya kepada Yokogawa Votiva Solutions.

Ditubuhkan pada tahun 2007, Votiva beroperasi dalam lima negara Asia Tenggara. Selain daripada perkhidmatan penyumberluaran IT, syarikat ini menyediakan perkhidmatan perundingan dan pelaksanaan global untuk Microsoft Dynamics ERP, salah satu tawaran ERP yang utama dalam pasaran pada hari ini. Votiva mengedarkan dan melaksanakan Microsoft Dynamics ERP & CRM, Microsoft Dynamics ERP for Retail dan Dynamics 365 Cloud serta memegang rekod prestasi untuk lebih daripada 400 projek pelaksanaan Microsoft Dynamics dalam pelbagai jenis industri di Asia Tenggara.

Pada tahun 2019, Yokogawa mula menawarkan penyelesaian ERP kepada pengeluar-pengeluar di Asia Tenggara. Dengan memanfaatkan kepakaran dan sumber ERP ekstensif yang diambil alih oleh syarikat ini di Jepun, ia akan meningkatkan aktivitinya di Asia Tenggara bagi menyediakan bukan sahaja penyelesaian sistem sensor dan kawalan yang menyokong operasi kilang, tetapi juga penyelesaian IT yang menyokong penyelesaian masalah di peringkat pengurusan. Penyelesaian ERP Yokogawa adalah amat fleksibel dan boleh disesuaikan mengikut keperluan pelanggan yang tertentu dalam pelbagai jenis industri, bermula daripada bahan kimia, pulpa dan kertas, perlombongan, logam bukan ferus hinggalah makanan dan minuman, farmaseutikal dan pengilangan elektronik.

Memandangkan semakin banyak syarikat menerima DX, permintaan terhadap penyelesaian ERP di Asia Tenggara turut berkembang. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pemilik perniagaan telah mencuba untuk meningkatkan daya saing dan kecekapan dengan mengurus semua aktiviti perniagaan dengan cekap -- termasuk operasi kilang -- di peringkat perusahaan dan mengoptimumkannya dengan teknologi digital. Pemerolehan Yokogawa Votiva Solutions akan membolehkan Yokogawa memperluaskan perkhidmatan ERPnya dan mempercepatkan pelaksanaan penyelesaian ERP yang membolehkan pelanggan di Asia Tenggara mencapai matlamat pendigitalan mereka dengan lebih berkesan. Tambahan pula, dengan kemahiran teknologi maklumat (IT) mereka yang mantap serta pengetahuan dan pengalaman yang luas, golongan profesional di Yokogawa Votiva Solutions akan berupaya untuk menyokong bukan sahaja syarikat-syarikat di Asia Tenggara, tetapi juga organisasi-organisasi yang berkembang ke wilayah bermula dari Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat, bagi membantu mereka melaksanakan inisiatif DX mereka dalam persekitaran yang dinamik.

Toshinari Miyamoto, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Yokogawa Engineering Asia, ibu pejabat bagi rantau Asia Tenggara, mengulas, "Penyelesaian ERP Yokogawa Votiva dapat membantu perniagaan daripada semua saiz dalam pelbagai industri mempercepatkan pendigitalan mereka. Hari ini, operasi Yokogawa di negara-negara Asia Tenggara menyediakan pelbagai produk berkaitan teknologi DX dan perkhidmatan perundingan pelaksanaan pembuatan pintar (termasuk SIRI*) untuk industri pembuatan. Memanfaatkan kepakaran Yokogawa Votiva dalam ERP, kami akan dapat mengubah seluruh perniagaan dengan mengintegrasikan data pada semua peringkat dalam organisasi, bermula daripada pengurusan syarikat hinggalah operasi kilang."

* Indeks Kesediaan Industri Pintar (SIRI) diwujudkan oleh Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura (EDB) dengan kerjasama jaringan syarikat teknologi, firma perunding serta pakar industri dan akademik yang terkemuka. SIRI merangkumi pelbagai rangka kerja dan alatan untuk membantu pengeluar – tanpa mengira saiz dan industri – untuk memulakan, menskalakan dan mengekalkan perjalanan transformasi pembuatan mereka.

Kerangka Votiva

Ditubuhkan: 2007
Lokasi: Singapura (Ibu Pejabat), Vietnam, Thailand, Indonesia, Malaysia
Ketua Pegawai Eksekutif: Morten Bech
Perniagaan utama: Penyedia perkhidmatan pelaksanaan Microsoft Dynamics ERP & CRM, Dynamics 365 Cloud

Maklumat lanjut

https://www.yokogawa.com/sg/solutions/solutions/erp-solutions/

Latar Belakang Yokogawa

Yokogawa menyediakan penyelesaian termaju dalam bidang pengukuran, kawalan dan maklumat kepada pelanggan merentas pelbagai jenis industri termasuk tenaga, kimia, bahan, farmaseutikal dan makanan. Yokogawa menangani isu-isu pelanggan berhubung pengoptimuman pengeluaran, aset dan rantaian bekalan dengan aplikasi teknologi digital yang berkesan, lalu mendayakan peralihan kepada operasi autonomi.

Ditubuhkan di Tokyo pada tahun 1915, Yokogawa terus berusaha ke arah mencapai masyarakat mampan melalui lebih 17,000 pekerjanya dalam jaringan global dengan 122 syarikat mencakupi 61 negara.

Untuk maklumat lanjut, kunjungi www.yokogawa.com

Nama syarikat, organisasi, produk, perkhidmatan dan logo di sini adalah sama ada tanda dagangan berdaftar atau tanda dagangan Yokogawa Electric Corporation atau pemegang masing-masing.

Untuk Pertanyaan Media

Sila hantarkan surat kepada pasukan pemasaran dan komunikasi, Yokogawa Engineering Asia, di yea-sg-marketing@yokogawa.com.

Source: Yokogawa Electric Corporation
Related Stocks:
OTC:YOKEY Tokyo:6841
Keywords: Computer/Electronics Electrical Utilities Internet Technology Telecommunications Utilities Acquisitions, mergers, takeovers