LONDON, 19 Oktober 2022 /PRNewswire/ -- Hari ini merupakan hari pelancaran Laporan Ancaman Ekologi (ETR) tahunan yang dihasilkan oleh Institut untuk Ekonomi dan Keamanan (IEP) yang menampilkan penyelidikan eksklusif daripada Tinjauan Risiko Dunia Lloyd's Register Foundation.
Penemuan Utama:
Setiap tahun, ETR menganalisis ancaman ekologi untuk menilai negara-negara yang paling berisiko menghadapi konflik, pergolakan dan perpindahan disebabkan kemerosotan ekologi dan bencana yang berkaitan iklim. Penemuan utama daripada ETR ini ialah tanpa tindakan kolaboratif, tahap kemerosotan ekologi yang ada pada masa ini akan bertambah teruk, meningkatkan konflik sedia ada serta memangkin konflik baharu dan meningkatkan penghijrahan secara paksa.
Laporan tersebut menganalisis risiko ekologi, daya tahan masyarakat dan keamanan 228 buah negara dan wilayah, 3,638 daerah pentadbiran dan 250 buah bandar yang menilai keupayaan masing-masing untuk mengendalikan cabaran yang dihadapi hari ini hingga ke tahun 2050. Laporan ini juga menyorot 27 buah negara 'utama'1 yang menempatkan kira-kira 768 juta orang serta menghadapi ancaman ekologi paling buruk dan mempunyai daya ketahanan masyarakat yang paling rendah. 23 daripada 27 buah negara ini terletak di rantau Afrika sub-Sahara dan MENA.
Kekurangan bekalan makanan
41 buah negara kini menghadapi ketakjaminan makanan yang teruk yang memberi kesan kepada pembangunan ekonomi, kesihatan awam dan keharmonian sosial dengan sejumlah 830 juta orang menghadapi risiko ini, 89% daripadanya tinggal di Afrika sub-Sahara, diikuti oleh MENA seramai 49 juta orang. Ketakjaminan makanan yang teruk menggambarkan keadaan di mana seseorang individu telah kehabisan bekalan makanan manakala kesihatan, nutrisi dan kesejahteraan mereka berada pada tahap risiko yang serius.
Bilangan penduduk dunia yang kekurangan zat makanan telah meningkat secara konsisten sejak tahun 2017 dengan peningkatan sebanyak 35% pada tahun 2021 kepada lebih 750 juta orang. Kekurangan zat makanan, yang ditakrifkan sebagai pengambilan makanan rutin yang tidak mencukupi untuk mengekalkan kelangsungan hidup seseorang dari sudut perubatan, dijangka akan terus merosot akibat tahap ekologi yang semakin teruk, inflasi yang semakin meningkat dan peperangan antara Rusia-Ukraine. Pada tahun 2021, hampir 92% penduduk dunia yang kekurangan zat makanan tinggal di negara-negara yang sangat bergolak.
Konflik dan Tekanan Bekalan Air
Ketakjaminan makanan dikaitkan dengan tekanan bekalan air yang ditakrifkan sebagai 'apabila lebih 20% penduduk tidak mempunyai akses kepada minuman air bersih'; tanpa air yang mencukupi, adalah mustahil untuk menyediakan makanan yang cukup. Lebih 1.4 bilion orang di 83 buah negara kini menghadapi tekanan bekalan air lampau. Beberapa buah negara di Eropah diunjurkan akan mengalami tekanan bekalan air menjelang tahun 2040, termasuk Greece, Itali, Belanda dan Portugal.
Kebanyakan negara yang dijangka mengalami tekanan bekalan air yang semakin meningkat pada masa ini hingga ke tahun 2050 terletak di Afrika sub-Sahara dan MENA. Pada masa ini, semua kecuali sebuah negara di Afrika sub-Sahara sedang menghadapi tekanan bekalan air lampau.
Bandar mega: Meningkatnya pencemaran dan populasi
Pada masa ini terdapat 33 buah bandar mega2, dengan bilangan yang dijangka meningkat kepada 47 buah bandar mega menjelang tahun 2050. Bandar mega yang paling cenderung untuk menghadapi cabaran paling sukar ialah Kinshasa, Nairobi dan Lagos. Lebih 60% daripada bandar mega terletak di negara-negara bergolak. Bandar-bandar ini mempunyai kadar pertumbuhan penduduk yang paling pesat, tahap sanitasi yang paling lemah, tahap kemiskinan dan jenayah terancang yang lebih tinggi serta pencemaran udara yang tidak terkawal. Selain itu, bandar-bandar ini juga kurang berkemampuan dari segi kewangan dan tadbir urus untuk menghadapi cabaran-cabaran ini dengan sebaiknya. Bandar-bandar yang paling banyak menghadapi cabaran mempunyai pertumbuhan penduduk yang paling pesat seterusnya menyerlahkan lagi perkaitan ini dengan kelestarian yang tidak mampu dicapai.
Pencemaran udara menelan kos seluruh dunia sebanyak $8.1 trilion setiap tahun, atau 6.1% daripada KDNK global yang mengancam 6-9 juta nyawa. Sembilan buah bandar mempunyai lebih 20 kali ganda tahap pencemaran udara maksimum yang disyorkan oleh WHO, termasuk Lahore, Kabul dan Agra.
40 buah negara paling bergolak diunjurkan akan mengalami peningkatan populasi sebanyak 1.3 bilion yang membentuk 49% daripada populasi dunia. Negara-negara yang menghadapi ancaman ekologi paling buruk akan menyaksikan peningkatan terbesar, dengan populasi negara-negara Afrika sub-Sahara yang diunjurkan akan meningkat sebanyak 95%.
Steve Killelea, Pengasas merangkap Pengerusi Eksekutif IEP berkata:
"Memandangkan kita semakin menghampiri COP27, laporan ini merupakan peringatan yang tepat pada masanya yang menunjukkan bahawa kos bagi kebanyakan cabaran ekologi sedia ada hanya dapat diperkukuhkan melalui perubahan iklim.Pendekatan seluruh dunia terhadap negara-negara yang mengalami masalah berkaitan iklim paling teruk pada masa ini tidak berkesan; ancaman ekologi semakin meningkat dengan punca sistemik yang memerlukan penyelesaian secara sistemik.
Kerajaan dan agensi antarabangsa mesti melabur demi membina daya ketahanan jangka panjang bagi mengelakkan kemusnahan ekologi pada masa hadapan yang menjadi punca penghijrahan paksa dan konflik. Peperangan antara Rusia-Ukraine menyorot kesan konflik terhadap penghijrahan paksa di mana 12 - 14 juta rakyat Ukraine kini dipindahkan ke negara-negara berdekatan. Program pembangunan perlu memberi tumpuan kepada perusahaan mikro yang berusaha mendapatkan bekalan air bersih dan menambah baik aktiviti pertanian, selain tumpuan terhadap sektor pembuatan bernilai tambah. Ini akan meningkatkan kualiti kehidupan golongan yang paling terjejas."
Kebimbangan Iklim
Sejak tahun 2019, masyarakat dunia kurang mengambil berat tentang perubahan iklim dengan penurunan sebanyak 1.5% kepada 48.7%.3 Wilayah yang terdedah kepada tahap ancaman ekologi tertinggi secara purata merupakan negara yang paling kurang mengambil berat terhadap perubahan iklim, dengan perang saudara, aktiviti pengganas, jenayah, keganasan serta mata pencarian sebagai kebimbangan yang lebih besar di negara-negara Afrika sub-Sahara dan Asia Selatan.
Singapura mencatatkan kemerosotan kebimbangan yang serius terhadap perubahan iklim paling banyak dengan peratus pengurangan hampir satu perempat antara tahun 2019 dan 2021 kepada 49.4%. 13 buah negara di Eropah mencatatkan kemerosotan kebimbangan perubahan iklim dengan penurunan paling ketara di Belgium. Penduduk di Singapura dan Belgium lebih cenderung untuk membimbangi keselamatan jalan raya dan kesihatan mereka berbanding perubahan iklim.
Di China, negara paling tercemar di dunia, hanya 20% daripada rakyatnya percaya bahawa perubahan iklim merupakan suatu masalah yang serius, dengan penurunan sebanyak 3% sejak tahun 2019, salah satu kadar kebimbangan yang paling rendah di dunia. Negara ketiga paling tercemar di dunia iaitu India, menyaksikan skor yang teruk pada kadar 39% namun telah mencatatkan peningkatan sebanyak 3.7%. AS, negara kedua paling tercemar di dunia menunjukkan kebimbangan yang tinggi sedikit berbanding purata kebimbangan global iaitu sebanyak 51.5%.
Bencana Alam & Penghijrahan Besar-besaran
Kesan bencana alam ditentukan oleh tahap daya tahan sesebuah negara. Asia Pasifik merupakan rantau yang paling terjejas oleh bencana alam, diikuti dengan Afrika sub-Sahara dan Amerika Tengah serta Caribbean. Banjir merupakan bencana alam yang paling lazim di seluruh dunia, dengan sebanyak 5,079 insiden yang direkodkan sejak tahun 1981. Sepanjang dekad yang lalu, purata kos bencana alam global telah mencecah sehingga $200 bilion setahun. Ini adalah empat kali ganda lebih tinggi daripada tahun 1980-an.
Dengan bencana alam yang semakin kerap, komuniti akan berusaha untuk pulih sebelum bencana seterusnya berulang kembali. Ini boleh menyebabkan perpindahan besar-besaran secara paksa. Negara-negara destinasi di EU, termasuk Jerman, Sweden, Austria dan Greece menerima lebih sejuta pelarian pada tahun 2021.
Pada tahun 2021, negara-negara yang mengalami perpindahan domestik tertinggi akibat konflik dan bencana alam termasuklah Syria, Ethiopia, Republik Demokratik Congo (DRC), Afghanistan dan Sudan Selatan.
Untuk maklumat lanjut, sila layari economicsandpeace.org dan visionofhumanity.org.
NOTA KEPADA EDITOR
1 Negara-negara 'utama' ETR 2022
2Bandar mega merupakan bandar yang mempunyai populasi melebihi 10 juta orang.
3 Tinjauan Risiko Dunia Lloyd's Register Foundation ialah kajian global pertama yang melibatkan persepsi dan pengalaman risiko keselamatan manusia. Penemuan Tinjauan Risiko Dunia 2021 adalah berdasarkan lebih 125,000 wawancara yang dijalankan oleh Gallup di 121 buah negara. ETR menerbitkan data eksklusif daripada Tinjauan ini – ini adalah jawapan kepada soalan "Adakah anda berpendapat bahawa perubahan iklim merupakan ancaman yang sangat serius kepada penduduk negara ini dalam tempoh 20 tahun akan datang?".
Tentang Laporan Ancaman Ekologi (ETR)
Ini adalah edisi ketiga Laporan Ancaman Ekologi (ETR) yang merangkumi 228 buah negeri dan wilayah bebas. Keunikan ETR terletak pada gabungan langkah-langkah ketahanan dengan data ekologi paling komprehensif yang tersedia untuk mendedahkan negara-negara yang paling kurang berkemampuan untuk menangani kejutan ekologi melampau pada masa ini dan akan datang.
Metodologi
ETR merangkumi penyelidikan saintifik yang paling terkini dan dikagumi dari segi pertumbuhan penduduk, kekurangan bekalan air, ketakjaminan makanan, kemarau, banjir, siklon dan peningkatan suhu. Selain itu, laporan ini menggunakan rangka kerja Keamanan Positif IEP untuk mengenal pasti kawasan yang kurang berdaya tahan dalam melakukan penyesuaian atau menangani kejutan masa depan ini. Laporan ini terdiri daripada pelbagai sumber data yang merangkumi Bank Dunia, Institut Sumber Dunia, Pertubuhan Makanan dan Pertanian, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pusat Pemantauan Perpindahan Dalaman, Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim, Pertubuhan Antarabangsa untuk Penghijrahan dan IEP.
Tentang Institut untuk Ekonomi dan Keamanan (IEP)
IEP ialah sebuah syarikat pemikir antarabangsa dan bebas yang dikhususkan untuk mengubah fokus dunia terhadap keamanan sebagai satu bentuk ukuran kesejahteraan dan perkembangan manusia yang positif, boleh dicapai dan bernilai. IEP mempunyai pejabat di Sydney, Brussels, New York, The Hague, Mexico City dan Harare.