omniture

IUCN dan Huawei Lancar Penerbitan Tech4Nature Paparkan Amalan Terbaik dalam Pemuliharaan Alam Semula Jadi berasaskan-Teknologi

Huawei
2022-10-21 16:14 228

GLAND, Switzerland, 21 Oktober 2022 /PRNewswire/ -- International Union for Conservation of Nature (IUCN) dan Huawei melancarkan bahan penerbitan PANORAMA Tech4Nature – Solutions in Focus pada hari ini, menunjukkan peranan teknologi dalam mencapai hasil pemuliharaan alam semula jadi yang efektif dalam 22 projek merentas 19 negara.

Tech4Nature – Solutions in Focus
Tech4Nature – Solutions in Focus

Kes-kes yang dirujuk dalam penerbitan ini dipilih daripada lebih 50 penyelesaian yang menangani enam cabaran pemuliharaan yang utama. Cabaran-cabaran ini termasuk pengurusan kawasan terlindung, pemantauan spesies, pemupukan penglibatan komuniti dan pembiayaan tindakan pemuliharaan.

"Terdapat momentum dan penerimaan jelas yang semakin meningkat daripada komuniti pemuliharaan untuk menggunakan lebih banyak teknologi, bahkan untuk membangunkan dan mencipta cara baharu yang membolehkannya diaplikasikan. Penggunaan teknologi yang sesuai akan membantu memastikan faedah-faedah yang lebih berterusan daripada aplikasinya untuk mencapai tindakan pemuliharan yang adil dan berkesan," kata James Hardcastle, Ketua Kawasan Terlindung dan Terpelihara IUCN.

Projek-projek yang dijalankan di Mexico dan China merupakan dua kes tipikal yang dimasukkan ke dalam penerbitan tersebut. Di Semenanjung Yucatan, Mexico, satu penyelesaian telahpun digunakan untuk memantau populasi jaguar dan mangsanya melalui sistem rangkaian perangkap kamera dan pemantauan akustik, dengan algoritma AI dilatih bagi mengesan dan mengenal pasti setiap jaguar. Data yang disediakan akan turut memberi pandangan tentang bagaimana perubahan iklim memberi kesan ke atas ekosistem keutamaan di pantai utara Semenanjung Yucatan. Satu aspek penting daripada projek ini ialah penglibatan komuniti dalam seluruh kitar projek bagi meningkatkan hasil keseluruhan.

Di China, sistem pencegahan kebakaran pintar yang direka bentuk untuk melindungi habitat panda gergasi telahpun digunakan di pelbagai lokasi termasuk kawasan simpanan alam semula jadi negara Tangjiahe, tapak yang berada dalam Senarai Hijau IUCN. Di habitat panda Sichuan, imej-imej satelit dianalisis pada waktu sebenar bagi mengesan kebakaran yang boleh berlaku. Risiko-risiko boleh disahkan dengan pantas dan amaran dihantar segera kepada renjer di lapangan. Dalam tahun 2021, sistem tersebut menghasilkan 71% pengurangan kebakaran yang serius.

Bagi menyokong pengambilan dan kebolehulangan penyelesaian berasaskan teknologi, bahan penerbitan tersebut merangkumkan deskripsi yang terperinci tentang faktor-faktor kejayaan untuk setiap kajian kes. Ia juga menyediakan kerangka seni bina penyelesaian berteknologi dan senarai semak untuk membantu pelaksana penyelesaian teknologi baharu memastikan agar pelaksanaan adalah sesuai dan dapat menangani cabaran pemuliharaan.

Bahan penerbitan tersebut turut mengetengahkan jurang yang wujud dalam memahami bagaimana teknologi memberi impak kepada hidupan liar mahupun manusia dan menegaskan keperluan terhadap ketelusan, keterangkuman dan tanggungjawab apabila menggunakan penyelesaian berasaskan teknologi.

"Teknologi digital merupakan pengupaya penting dalam memulihara alam semula jadi. Dengan semakin banyak penggunaan teknologi dan kolaborasi berbilang sektor, kami percaya bahawa kecekapan dan kesan daripada pemuliharaan alam semula jadi akan dapat ditingkatkan secara berterusan," kata Catherine Du, Ketua program TECH4ALL Huawei.

Dilancarkan oleh IUCN dan Huawei, Tech4Nature membangunkan penyelesaian digital untuk menjadi perintis di lima negara utama: Switzerland, Sepanyol, Mauritius, Mexico dan China. Program ini bertujuan untuk melindungi lebih 300 kawasan terlindung di seluruh dunia menjelang tahun 2030 dan menilai kejayaan pemuliharaan melalui Piawaian Senarai Hijau IUCN.

Bertujuan untuk memberi panduan tentang penggunaan teknologi yang sesuai terhadap pemuliharaan mengikut kawasan dan melibatkan industri ICT secara langsung dalam menyokong hasil pemuliharaan alam semula jadi, Tech4Nature – Solutions in Focus hadir sebagai penerbitan pertama di bawah perkongsian IUCN-Huawei.

Inisiatif itu sendiri juga merupakan kali pertama IUCN memulakan satu perkongsian yang besar dengan industri ICT, menggabungkan piawaian, pengetahuan dan pengalaman luas organisasi berkenaan dengan pemuliharaan menerusi inovasi yang dijayakan oleh teknologi.

Latar Belakang IUCN

IUCN ialah Kesatuan keahlian yang uniknya terdiri daripada pertubuhan-pertubuhan kerajaan dan masyarakat awam. Ia menyediakan kepada pertubuhan-pertubuhan awam, persendirian dan bukan kerajaan dengan pengetahuan dan alatan yang mengupayakan kemajuan manusia, pembangunan ekonomi dan pemuliharaan alam semula jadi berlaku secara bersama.

Ditubuhkan pada tahun 1948, kini IUCN merupakan rangkaian alam sekitar yang terbesar dan paling pelbagai di dunia, memanfaatkan ilmu pengetahuan, sumber dan menjangkau lebih 1,400 organisasi Ahli dan kira-kira 17,000 pakar. Ia merupakan penyedia yang terkemuka bagi data pemuliharaan, penilaian dan analisis. Keahliannya yang luas membolehkan IUCN memainkan peranan sebagai inkubator dan repositori dipercayai bagi amalan terbaik, alatan dan piawaian antarabangsa.

IUCN menyediakan ruang neutral yang melaluinya pelbagai pihak berkepentingan termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), saintis, perniagaan, masyarakat setempat, pertubuhan orang asli dan lain-lain dapat bekerjasama untuk membina dan melaksanakan penyelesaian terhadap cabaran alam sekitar dan mencapai pembangunan yang mampan.

Bekerjasama dengan ramai rakan kongsi dan penyokong, IUCN melaksanakan portfolio projek pemuliharaan yang besar dan pelbagai di seluruh dunia. Menggabungkan sains yang terkini dan ilmu pengetahuan tradisional masyarakat setempat, projek-projek ini berfungsi untuk mengembalikan kehilangan habitat, memulihkan ekosistem dan meningkatkan kesejahteraan orang ramai.

Latar Belakang Senarai Hijau IUCN

Inisiatif Senarai Hijau Kawasan Terlindung dan Terpelihara IUCN semakin bertambah dan mengiktiraf jumlah Kawasan Terlindung dan Terpelihara di serata dunia yang ditadbir dengan adil dan diurus dengan efektif untuk mencapai hasil pemuliharaan yang berjaya.

Aspek penting inisitif Senarai Hijau Kawasan Terlindung dan Terpelihara IUCN (Senarai Hijau IUCN) ialah satu-satunya piawaian global untuk amalan terbaik dalam pemuliharaan mengikut kawasan yang berkesan. Ia merupakan sistem pensijilan untuk kawasan-kawasan terlindung dan terpelihara – taman negara, tapak Warisan Dunia semula jadi, kawasan terpelihara komuniti, simpanan semula jadi – yang mendapat penilaian diurus dengan efektif dan saksama. Senarai penuh tapak dalam Senarai Hijau IUCN disediakan di sini

Latar Belakang Huawei

Ditubuhkan pada tahun 1987, Huawei ialah penyedia global yang terkemuka bagi infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta peranti pintar. Kami mempunyai lebih daripada 197,000 kakitangan dan kami beroperasi di lebih daripada 170 negara dan wilayah, menawarkan perkhidmatan kepada lebih tiga bilion orang di seluruh dunia. 

Visi dan misi kami adalah untuk membawa fungsi digital kepada setiap orang, kediaman dan organisasi demi dunia pintar yang terhubung sepenuhnya. Bagi mencapai tujuan ini, kami akan mendorong sambungan merata dan menggalakkan akses yang sama rata ke rangkaian; membawa infrastruktur awan dan kecerdasan buatan ke semua empat pelosok dunia bagi menyediakan kuasa pengkomputeran unggul di mana anda memerlukannya, apabila anda memerlukannya; membina platform digital bagi membantu semua industri dan organisasi menjadi lebih tangkas, cekap dan dinamik; menakrifkan semula pengalaman pengguna dengan AI, lalu menjadikannya lebih diperibadikan buat orang ramai dalam segenap aspek kehidupan mereka, sama ada ketika mereka berada di rumah, di pejabat atau semasa dalam perjalanan.

Latar Belakang Huawei TECH4ALL

TECH4ALL ialah inisiatif rangkuman digital jangka panjang Huawei yang bertujuan agar tidak meninggalkan sesiapapun di belakang dalam dunia digital ini. Dalam domain alam sekitar, TECH4ALL memfokuskan untuk melindungi biodiversiti. Setakat ini, kami telah bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi seperti IUCN dan Rainforest Connection serta ramai rakan kongsi tempatan untuk mengaplikasikan teknologi digital seperti rangkaian telekomunikasi, IoT, awan dan AI bagi melindungi hutan, lautan dan tanah lembap di lebih 15 negara.

Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi laman sesawang Huawei TECH4ALL di https://www.huawei.com/en/tech4all, atau ikuti kami di:
https://twitter.com/HUAWEI_TECH4ALL 

Latar Belakang PANORAMA

PANORAMA – Solutions for a Healthy Planet (Penyelesaian untuk Planet yang Sihat) ialah satu inisiatif perkongsian untuk mendokumentasikan dan menggalakkan contoh-contoh penyelesaian yang memberi inspirasi dan boleh diulang dalam pelbagai topik pemuliharaan dan pembangunan mampan, lalu mengupayakan pembelajaran dan inspirasi rentas-sektor.

PANORAMA membolehkan para pengamal untuk berkongsi dan merenung pengalaman mereka, meningkatkan pengiktirafan ke atas usaha yang berjaya dan untuk belajar bersama rakan setara mereka bagaimana cabaran yang serupa telah ditangani di seluruh dunia.

Disiplin dan komuniti tematik yang berbeza menyumbang kepada PANORAMA. Pada platform web, komuniti ini diwakili melalui portal. Ketika PANORAMA berkembang maju, kami mengalu-alukan tema tambahan dan juga rakan kongsi baharu.

Source: Huawei
Keywords: Computer Networks Computer/Electronics Environmental Products & Services Animal Welfare Conservation/Recycling Environmental Issues New products/services