ALULA, Arab Saudi, 25 Oktober 2022 /PRNewswire/ -- Penyelidikan semakan rakan sebidang baharu berkenaan perangkap haiwan purba yang dibina menggunakan batu, yang dikenali sebagai 'layang-layang padang pasir', mendedahkan cara pemburuan haiwan liar yang canggih dan luas dari zaman Akhir Neolitik yang menunjukkan kepintaran dan wujud sifat kerjasama penduduk rantau ini pada zaman dahulu.
Untuk melihat Siaran Berita Multimedia, sila klik:
https://www.multivu.com/players/uk/9102251-research-supported-by-royal-commission-alula-insights-into-ancient-animal-traps/
Struktur tersebut telah dipanggil sebagai 'layang-layang' oleh juruterbang pada tahun 1920-an kerana apabila diperhatikan dari atas, bentuknya mengingatkan kepada layang-layang kanak-kanak zaman dahulu yang disertai dengan panji-panji. Walau bagaimanapun, asal-usul dan fungsi struktur monumental yang besar ini telah menjadi perdebatan.
Dr. Remy Crassard, seorang pakar yang mengetuai kajian tentang layang-layang padang pasir, menyatakan bahawa layang-layang itu merupakan beberapa struktur purba yang terbesar pada zaman tersebut. Layang-layang tertua yang terletak di selatan Jordan bertarikh 7000 SM. Usia layang-layang yang baru ditemui di barat laut Arab masih ditentukan tetapi ia kelihatan seperti berada di antara zaman peralihan antara Akhir Neolitik hingga Zaman Gangsa (5000–2000 SM). Dr. Crassard – selain terlibat dengan Pusat Penyelidikan Saintifik Kebangsaan Perancis (CNRS), beliau merupakan Pengarah Bersama Projek Arkeologi Longue Durée Khaybar yang ditaja oleh RCU dan rakan strategiknya iaitu Afalula (Agensi Pembangunan AlUla milik Perancis) – menganggarkan bahawa 700 hingga 800 buah layang-layang telah diketahui sejak 20 tahun yang lalu berbanding dengan kira-kira 6,500 buah layang-layang yang diketahui pada masa ini dan bilangannya terus meningkat.
Berdasarkan penyelidikan terkini yang dijalankan di Arab Saudi, Jordan, Armenia dan Kazakhstan, pasukan Dr. Crassard mengesahkan bahawa layang-layang tersebut telah digunakan untuk memburu dan bukan untuk pembelajinakan, malah layang-layang tersebut "menandakan perubahan besar dalam strategi manusia untuk memerangkap haiwan" dan "perkembangan perangkap mega ini telah memberikan kesan yang menakjubkan kepada manusia dalam bidang ini". Layang-layang mungkin telah menyebabkan hasil perburuan jauh melebihi tahap sara hidup, ia berkaitan dengan "peningkatan tingkah laku simbolik yang dikaitkan dengan pengeluaran makanan dan organisasi sosial". Akibatnya, beberapa spesies liar seperti gazel mungkin telah menukar laluan penghijrahan mereka dan spesies lain mungkin telah diburu sehingga pupus.
Di Arab Saudi, penyelidikan yang diketuai oleh Rebecca Repper daripada pasukan Arkeologi Udara Universiti Australia Barat yang ditaja RCU di Kerajaan Arab Saudi – AlUla, telah mengesan 207 buah layang-layang yang tidak diketahui sebelum ini di Wilayah AlUla. Layang-layang ini tertumpu terutamanya di Harrat 'Uwayrid, sebuah kawasan tanah tinggi yang mempunyai gunung berapi yang telah pupus. Pasukan ini telah menemui sejenis layang-layang berbentuk V yang unik dan merupakan bentuk dominan di kawasan kajian mereka yang berbeza dengan layang-layang yang ditemui di tempat lain di rantau ini. Layang-layang ini dikatakan mempunyai pelbagai bentuk termasuk berbentuk V, 'stoking', 'kapak kecil' dan W.
Tidak kira apa pun bentuknya, semua layang-layang di rantau ini mempunyai garisan pendorong yang terdiri daripada tembok batu yang rendah yang menumpu untuk menjurus haiwan-haiwan ke arah perangkap seperti lubang besar atau cenuram. Secara purata, panjang garisan pendorong layang-layang AlUla ialah kira-kira 200 meter. Walau bagaimanapun, panjangnya di tempat lain boleh mencecah sehingga beberapa kilometer. Cik Repper berkata ukuran garisan tersebut yang lebih pendek menunjukkan pengetahuan tempatan para pemburu yang meletakkan perangkap di kawasan di mana landskap sedia ada menyekat pergerakan haiwan secara semula jadi. Tempat layang-layang diletakkan juga mencadangkan bahawa pemburu mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang pergerakan haiwan mangsa.
Walaupun layang-layang yang direkodkan di wilayah AlUla cenderung untuk menjurus mangsa secara tiba-tiba ke arah cenuram, namun layang-layang di tempat lain sering berakhir dalam lubang besar yang tersembunyi, di mana ratusan haiwan boleh dibunuh dalam satu perburuan sahaja. Perbezaan ini mungkin merupakan penyesuaian kepada keadaan geografi tempatan atau evolusi dalam perburuan yang menggunakan perangkap.
Penyelidikan pasukan arkeologi udara di rantau ini melengkapkan usaha Dr. Crassard yang menyumbang data tentang layang-layang di Khaybar kepada kajian yang diketuai oleh Dr. Olivier Barge (CNRS) tentang kronologi berkaitan jenis layang-layang, yang diterbitkan baru-baru ini. Dua jenis layang-layang telah dikenali di Khaybar: layang-layang padang pasir yang ditakrifkan secara tradisional dan layang-layang proto asas yang tidak mempunyai kurungan yang dikelilingi oleh perangkap atau lubang tertentu. Pasukan ini mencadangkan bahawa layang-layang proto mungkin telah menjadi pelopor kepada layang-layang padang pasir. Layang-layang yang lebih kompleks mungkin mencerminkan teknik perburuan yang kurang oportunistik dan lebih formal.
Dr. Rebecca Foote, Pengarah Penyelidikan Arkeologi dan Warisan Budaya RCU berkata: "Kajian ini menambah pemahaman kami yang semakin meningkat tentang warisan budaya penduduk barat laut Arab yang kaya, di mana penemuan ini lebih mendorong kepada amalan prasejarah. Kajian terbaharu ini telah memperluas penemuan terdahulu kami tentang zaman Neolitik di rantau ini, termasuk pembinaan struktur keagamaan berskala besar yang dikenali sebagai mustatil. Ketika kami memulakan tugasan lapangan arkeologi yang disokong RCU pada musim luruh bersama-sama dengan pasukan dari KSA, Perancis, Australia, Jerman dan lain-lain, kami berharap dapat memperoleh lebih banyak penemuan bermaklumat sebagai sebahagian daripada rancangan matlamat kami yang tinggi untuk mewujudkan sebuah hab global bagi penyelidikan dan pemuliharaan arkeologi di AlUla."
Hab tersebut iaitu Kingdoms Institute yang kini aktif sebagai sebuah organisasi penyelidikan mempunyai perancangan untuk membuka sebuah pejabat fizikal di AlUla menjelang tahun 2030. Penyelidikan di AlUla dan sekitarnya yang ditaja RCU ini menambah kepada pangkalan pengetahuan yang akan memberi maklumat kepada Kingdoms Institute. RCU menjangkakan institut ini bakal menjadi destinasi utama apabila AlUla menerima 2 juta pengunjung setahun menjelang tahun 2035.
Dr. Ingrid Périssé Valéro, Pengarah Arkeologi dan Warisan Afalula berkata: "Catatan layang-layang baharu ini di AlUla dan Khaybar menyingkap perspektif penting tentang asal usul, perkembangan dan penyebaran struktur pemburuan ini, yang menandakan suatu pencapaian penting dalam sejarah evolusi manusia dan hubungan manusia dengan persekitaran semula jadi. Penyelidikan rintis daripada pasukan antarabangsa ini, termasuk hasil kerja pakar dari Perancis, Dr. Rémy Crassard menggabungkan hasil analisis imej satelit dan tugasan lapangan yang merupakan satu-satunya cara untuk memberikan tarikh dan fungsi yang tepat dengan menganalisis bahan yang berkaitan dengan struktur ini. Tidak diragukan lagi, penyelidikan yang sedang dijalankan ini akan menjadi mercu tanda dalam kajian prasejarah."
Penyelidikan terbaharu ini diperincikan di dalam penerbitan berikut:
Untuk memuat turun lembaran fakta dan gambar rajah tentang layang-layang, sila klik di sini
Tentang Suruhanjaya Diraja AlUla
RCU telah ditubuhkan oleh dekri diraja pada bulan Julai 2017 untuk memelihara dan membangunkan AlUla, sebuah wilayah yang mempunyai alam semula jadi yang luar biasa dan budaya yang signifikan di barat laut Arab Saudi. Pelan jangka panjang RCU menggariskan pendekatan yang bertanggungjawab, lestari dan sensitif terhadap pembangunan bandar dan ekonomi yang mengekalkan warisan semula jadi dan budaya kawasan ini di samping menjadikan AlUla sebagai sebuah lokasi yang menarik untuk didiami, bekerja dan dilawati. Ini mencakupi pelbagai inisiatif termasuk arkeologi, pelancongan, pendidikan, kesenian dan banyak lagi yang mencerminkan komitmen untuk memenuhi kepelbagaian ekonomi, pemerkasaan komuniti tempatan dan keutamaan pemeliharaan warisan daripada program Wawasan 2030 Kerajaan Arab Saudi.
Foto - https://mma.prnasia.com/media2/1926110/Royal_Commission_for_AlUla.jpg?p=medium600
Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1926109/Royal_Commission_AlUla_Logo.jpg?p=medium600