omniture

Penyokong Rawatan Cabar Paten bagi Ubat Hepatitis C Baharu

Open Society Foundations
2013-11-25 13:01 195

-- Tindakan yang diambil mampu mempercepat penghasilan ubat-ubatan generik bagi membantu jutaan pesakit mendapatkan rawatan dengan harga berpatutan

NEW YORK, 25 November 2013 /PRNewswire/ -- Open Society Foundations hari ini mengalu-alukan cabaran di India terhadap permohonan paten Gilead Science untuk ubat baharu mereka, sofosbuvir, oleh Initiative for Medicines, Access & Knowledge.

Cabarannya, yang telah difailkan minggu lalu di Pejabat Paten Kolkata akan menghalang Gilead daripada memonopoli penghasilan dan peletakan harga sofosbuvir. Ini juga akan membolehkan para pengilang di India menghasilkan versi generik bagi ubat itu yang lebih murah, sebagai langkah pertama bagi menjadikannya mudah diperoleh di negara lain yang majoriti penduduknya berpendapatan rendah dan sederhana.

Rawatan dengan menggunakan sofosbuvir adalah lebih singkat berbanding rawatan lazim, mempunyai kadar kesembuhan yang lebih tinggi, boleh diambil secara oral dan berdaya toleransi yang lebih mudah. Namun, kelebihan tersebut bukanlah syarat utama bagi mendapatkan paten. Tambahan pula di India, undang-undang menyatakan produk yang merupakan varian sebatian kimia sedia ada tidak boleh dipatenkan.

"Sofosbuvir tidak cukup berinovatif pada peringkat molekular untuk diberikan paten," kata Els Torreele, Pengarah Access to Essential Medicines Initiative, Open Society Foundations. "Sesungguhnya wujud satu perjuangan sama ada keuntungan atau nyawa pesakit akan menjadi penentu tindak balas terhadap hepatitis C."

Sofosbuvir dijangka akan diluluskan oleh Amerika Syarikat dan Eropah dalam masa terdekat ini dan mungkin berharga kira-kira $80,000 bagi setiap rawatan. Memandangkan 90% pesakit yang menghidap hepatitis C tinggal di negara berpendapatan rendah dan sederhana, harga ini bukanlah murah bagi kebanyakan mereka.

"Tanpa persaingan generik dari India, syarikat yang mempunyai paten sukar untuk menurunkan harga bagi ubat-ubatan," ujar Tahir Amin, Pengarah Initiative for Medicines, Access & Knowledge. "Ubat-ubatan ini merupakan varian sebatian yang diketahui dan undang-undang India tidak membenarkan sesuatu syarikat untuk mengaut keuntungan sehingga berbilion-bilion daripadanya."

Penyakit yang digelar sebagai "bom waktu virus" oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dianggarkan kira-kira 170 juta individu menghidap hepatitis C kronik di seluruh dunia dan 12 juta daripada mereka tinggal di India. Penyakit ini telah menjangkiti hampir 4 juta penduduk setiap tahun dan menyebabkan 350,000 kematian setiap tahun.

Open Society Foundations turut memberikan sokongan kepada kumpulan pesakit dan penyokong rawatan bagi mempertingkat capaian terhadap rawatan hepatitis C di banyak negara berpendapatan sederhana, tempat yang rawatan terkini bagi hepatitis C pun adalah sukar untuk diperoleh disebabkan harganya. Negara tersebut termasuklah Georgia, Ukraine, Vietnam, negeri Thai, Brazil dan Rusia.

Open Society Foundations berfungsi untuk membangunkan sistem demokrasi yang berdaya dan bertolak-ansur, dengan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Open Society Foundations juga bekerjasama dengan komuniti tempatan di lebih 100 negara bagi memberikan sokongan terhadap keadilan dan hak asasi manusia, kebebasan bersuara dan capaian kepada kemudahan kesihatan awam dan pendidikan.

Initiative for Medicines, Access & Knowledge (I-MAK) merupakan pasukan yang terdiri daripada peguam dan ahli sains yang mempertingkat capaian terhadap ubat-ubatan mampu milik dengan memastikan sistem paten dapat menjalankan fungsinya. Berbekalkan bukti terbaik, I-MAK menyuarakan pendapat masyarakat awam menerusi sistem yang memberikan impak terhadap kesihatan dan kehidupan mereka. Pasukan ini juga menerima geran daripada Open Society Foundations. 

Source: Open Society Foundations
Related Links:
Keywords: Health Care/Hospital Infectious Disease Control Medical/Pharmaceuticals Pharmaceuticals Survey, Polls & Research