omniture

David Wang Huawei: Melangkah menuju 5.5G Ultra-Jalur-Lebar

Huawei
2022-10-29 02:27 2232

BANGKOK, 29 Oktober 2022 /PRNewswire/ -- Forum Ultra-Jalur-Lebar 2022 membuka tirainya hari ini di Bangkok, dengan David Wang, Pengarah Eksekutif Lembaga Huawei dan Pengerusi Lembaga Pengurusan Infrastruktur ICT, menyampaikan ucaptama yang bertajuk Melangkah menuju 5.5G Ultra-Jalur-Lebar (Stride to Ultra-Broadband 5.5G). Semasa ucapan ini, Wang menggariskan cabaran besar yang akan berlaku dalam bidang-bidang seperti rumah pintar, kampus pintar dan Internet perindustrian menjelang tahun 2030. Beliau juga menjelaskan bahawa 5.5G ultra-jalur-lebar akan menjadi satu kejayaan penting dalam perjalanan menuju dunia pintar dan mengesyorkan agar industri ini mengambil empat langkah bagi mempercepatkan proses ini. Beliau seterusnya menyeru semua pengusaha industri untuk saling bekerjasama dan bergerak lebih pantas menuju 5.5G ultra-jalur-lebar.

David Wang menyampaikan ucaptama
David Wang menyampaikan ucaptama

Tatkala kita menghampiri dunia pintar tahun 2030, kelajuan jalur lebar rumah akan mencecah 10 Gbit/s, menandakan satu penambahbaikan besar berbanding pengalaman 1 Gbit/s hari ini. Ketika ini, rumah mempunyai purata 5 hingga 20 peranti disambungkan ke rangkaian Wi-Fi mereka. Walau bagaimanapun, ini akan berubah apabila peranti rumah pintar menyaksikan penerimaan yang luas, yang akan mendorong angka ini meningkat kepada 150 hingga 200. Justeru itu, penting agar gentian dapat mencapai setiap bilik dalam setiap rumah.

Menjelang tahun 2030, rangkaian Wi-Fi juga akan berupaya untuk menyampaikan beberapa pengalaman 10 Gbit/s untuk kampus bersaiz sederhana dan besar dan akan perlu menyokong operasi dan pengurusan pintar. Perusahaan mikro dan kecil akan memerlukan rangkaian Wi-Fi yang dapat menyampaikan lebar jalur yang besar, pengalaman premium dan perkhidmatan intranet sehenti. Internet perindustrian akan memerlukan lebar jalur yang lebih tinggi daripada 10 Gbit/s dan kependaman lebih rendah daripada satu milisaat. Perusahaan akan menerima pakai strategi berbilang awan yang memerlukan rangkaian untuk melaraskan penghalaan secara dinamik. Dipacu oleh pembangunan hijau dan automasi, kita akan menyaksikan peningkatan 10 kali ganda dalam kapasiti rangkaian, kecekapan tenaga dan juga kecekapan O&M.

"5.5G ultra-jalur-lebar akan menjadi satu kejayaan penting dalam perjalanan kita menuju dunia pintar ini. Bagi meraih pencapaian ini, semua pengusaha industri termasuk organisasi piawaian, pengawal selia, operator dan vendor peralatan akan perlu saling bekerjasama. Saya ingin menyeru anda semua untuk terus bekerjasama. Ayuh kita manfaatkan teknologi 5.5G ultra-jalur-lebar, membina rangkaian 5.5G dan membangunkan ekosistem 5.5G. Kita akan bersama-sama membawa industri kita ke hadapan dan melangkah menuju 5.5G ulra-jalur-lebar," tegas Wang.

Empat langkah yang dinyatakan oleh Wang yang perlu diambil oleh industri ini untuk mencapai 5.5G ultra-jalur-lebar termasuk:

Pertama, menakrifkan standard generasi seterusnya dan mencapai konsensus dalam seluruh industri. 

ETSI mula menerajui pemiawaian F5G Advanced dengan standard Release 3 mereka. Sementara itu, ETSI White Paper: Fixed 5th Generation Advanced and Beyond yang dihasilkan khusus untuk industri optik, dikeluarkan dalam bulan September 2022. Menjelang tahun 2025, kes penggunaan rumah pintar dan penderiaan gentian optik akan dikendalikan mengikut piawaian.

Dalam industri IP, Huawei turut menerbitkan kertas putih Net5.5G semasa forum ini. Mereka percaya bahawa Net5.5G akan mencapai lebar jalur yang lebih besar dan merealisasikan pengoptimuman SRv6 fleksibel, hujung-ke-hujung menjelang tahun 2023. Menjelang tahun 2025, rangkaian IP dijangkakan dapat mengesan kuasa pengkomputeran dan aplikasi, membolehkan mereka untuk menyampaikan pengalaman rangkaian yang lebih berketentuan dan jaminan perkhidmatan untuk lebih banyak senario perindustrian.

Kedua, menggalakkan secara bersama penerimaan standard yang pantas dalam seluruh kitaran hayat produk, bermula daripada kejayaan teknologi kepada pembangunan, penggunaan dan operasi produk.

Dalam akses optik, GPON, 10G PON dan 50G PON Combo akan serasi dengan rangkaian ODN sedia ada operator dan menyokong penaiktarafan mereka yang berterusan dan lancar. Seni bina C-WAN dapat diperkenalkan pada rangkaian FTTR, menyokong pengalaman Gbit/s yang stabil dalam seluruh rumah dan mengurangkan masa penyerahan perayauan kepada kurang daripada 20 milisaat.

Dalam penghantaran optik, spektrum tersedia untuk rangkaian WDM 400G akan ditingkatkan daripada 8 THz kepada 12 THz. Ini akan meningkatkan jumlah panjang gelombang tersedia sebanyak 50% dan menyediakan kapasiti penghantaran gentian-tunggal sehingga 100T. Bagi WDM metro, teknologi WDM pengumpulan panjang gelombang baharu akan berupaya untuk memudahkan perkongsian panjang gelombang metro yang fleksibel merentas pelbagai gegelang, mengurangkan TCO dan menyokong penggunaan WDM untuk mengakses tapak.

Dari segi IP, Wi-Fi 7 akan menggunakan teknologi seperti CO-SR dan CO-OFDMA untuk meningkatkan kolaborasi antara titik akses yang berbeza, seterusnya meningkatkan pengalaman dalam seluruh rangkaian. Ini akan memerlukan sokongan teknologi seperti UL OFDMA dan UL MU-MIMO, untuk menambah baik keandalan sambungan Wi-Fi. APN6 dan SRv6 juga dapat menyediakan sokongan berharga di sini dengan mengesan kuasa pengkomputeran dan keperluan aplikasi dan kemudian mengkonfigurasikan sumber awan secara dinamik agar syarikat-syarikat dapat berhubung ke awan dengan lebih cepat. Di samping itu, teknologi IP berketentuan dapat digunakan untuk mengurangkan mikroledakan trafik dan getaran hujung-ke-hujung pada rangkaian IP kepada kurang daripada 20 mikrosaat.

Ketiga, melancarkan 5.5G ultra-jalur-lebar dengan lebih cepat menggunakan dasar dan rangkaian sasaran. 

Standard dan teknologi baharu hanya dapat mencipta nilai apabila ia diaplikasikan kepada rangkaian langsung. Justeru itu, kerajaan dan pengawal selia perlu menerima pakai dasar yang lebih berkesan termasuk strategi jalur lebar negara, dasar penggunaan gentian dan piawaian pembinaan untuk mempercepatkan pelancaran rangkaian FTTH gigabit dan membantu membawa gentian ke setiap bilik di setiap rumah.

Operator juga mempunyai peranan penting untuk dimainkan. Mereka akan perlu menakrifkan seni bina rangkaian sasaran untuk tahun 2025 dan 2030. Mereka juga perlu mempercepatkan pelancaran rangkaian FTTH dan FTTR, penggunaan WDM metro untuk mengakses tapak, menaik taraf daripada rangkaian IP kepada rangkaian SRv6 dan penggunaan 400G dan 800G untuk penghantaran dan rangkaian IP.

Keempat, meneroka aplikasi baharu dan membina ekosistem yang sejahtera.

Pengusaha industri dan rakan ekosistem perlu bekerjasama untuk meneroka apa yang akan dibawa oleh 5.5G ultra-jalur-lebar. 5.5G ultra-jalur-lebar akan dapat menyokong aplikasi berpotensi tinggi yang baharu dan sebaik sahaja 10 Gbit/s di mana-mana direalisasikan, aplikasi seperti permainan MetaVerse dan interaksi waktu sebenar akan menyaksikan penerimaan yang lebih luas. Di samping itu, penerokaan akan diteruskan untuk senario kampus baharu seperti pejabat imersif dan pejabat yang dibantu oleh robot serta untuk perkhidmatan perusahaan mikro dan kecil seperti rangkaian Wi-Fi sehenti. Huawei percaya bahawa industri telekomunikasi akan perlu bekerjasama dengan syarikat-syarikat Internet perindustrian tatkala mereka terus mengusahakan pengalaman berketentuan dan perayauan fleksibel bagi menyokong Internet perindustrian. Ini akan dapat membantu menginkubasikan aplikasi untuk kawalan perindustrian automatik dan sambungan perusahaan ke berbilang awan.

Sudahpun berlaku, pemiawaian yang berterusan ini terus memacu perubahan dalam industri ultra-jalur-lebar. Sejak 10 tahun yang lalu, dunia telah menyaksikan 790 juta pengguna FTTH baharu manakala sejak lima tahun yang lalu, 100 juta pengguna telah mula menggunakan perkhidmatan gigabit. Sejak tahun lalu, tambahan satu juta pengguna telah mula menggunakan perkhidmatan FTTR.

Terdapat juga kira-kira 50.000 talian persendirian OTN berkualiti tinggi digunakan oleh perusahaan, 600,000 talian perusahaan persendirian awan dan lebih 27 juta titik panas Wi-Fi 6 kini tersedia di seluruh dunia. Ini semua sebagai tambahan kepada daripada 130 rangkaian WDM 400G, lebih daripada 15,000 ROADM silang-sambung, optik sepenuhnya dan lebih 100 rangkaian IP disokong oleh SRv6 yang telahpun dilancarkan di seluruh dunia.

Latar Belakang Huawei 

Ditubuhkan pada tahun 1987, Huawei ialah penyedia global yang terkemuka bagi infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta peranti pintar. Kami mempunyai lebih daripada 197,000 kakitangan dan kami beroperasi di lebih daripada 170 negara dan wilayah, menawarkan perkhidmatan kepada lebih tiga bilion orang di seluruh dunia. 

Visi dan misi kami adalah untuk membawa fungsi digital kepada setiap orang, kediaman dan organisasi demi dunia pintar yang terhubung sepenuhnya. Bagi mencapai tujuan ini, kami akan berusaha ke arah sambungan merata dan akses rangkaian yang inklusif, meletakkan asas untuk dunia pintar; menyediakan kuasa pengkomputeran terpelbagai di mana anda memerlukannya, apabila anda memerlukannya untuk membawa awan dan kecerdasan ke segenap pelosok bumi; membina platform digital untuk membantu semua industri dan organisasi menjadi lebih tangkas, cekap dan dinamik; serta menakrifkan semula pengalaman pengguna dengan AI, lalu menjadikannya lebih pintar dan lebih diperibadikan untuk orang ramai dalam segenap aspek kehidupan mereka, sama ada ketika mereka berada di rumah, dalam perjalanan, di pejabat, sedang berseronok atau sedang bersenam.

Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi Huawei dalam talian di www.huawei.com atau ikuti kami di:

http://www.linkedin.com/company/Huawei 
http://www.twitter.com/Huawei 
http://www.facebook.com/Huawei 
http://www.youtube.com/Huawei

 

Source: Huawei
Keywords: Computer Networks Computer/Electronics Internet Technology Telecommunications Wireless Communications Trade show news