Penangkapan ikan secara haram, penangkapan ikan berlebihan dan perubahan iklim menyumbang kepada kadar kematian yang tinggi dalam salah satu profesion paling berbahaya di dunia
WASHINGTON, 3 November 2022 /PRNewswire/ -- Sebuah kajian baharu mendapati lebih 100,000 kematian berkaitan aktiviti perikanan berlaku setiap tahun. Hampir 300 nelayan mati setiap hari—satu anggaran yang jauh lebih tinggi berbanding semua penilaian yang pernah dilakukan sebelum ini—menurut kajian daripada FISH Safety Foundation (FSF) yang ditugaskan oleh The Pew Charitable Trusts.
Jumlah kematian yang besar ini memberi kesan yang tidak seimbang kepada para nelayan berpendapatan rendah—termasuk kanak-kanak yang dipaksa bekerja—dan kebanyakannya didorong oleh persekitaran kerja yang berbahaya dan kapal yang tidak selamat.
FSF telah mengenal pasti beberapa faktor yang bertanggungjawab ke atas kematian nelayan, termasuklah kemiskinan; konflik geopolitik; penangkapan ikan berlebihan; penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU); serta perubahan iklim. IUU ialah pemacu yang signifikan, terutamanya apabila permintaan terhadap sumber protein ikan meningkat di seluruh dunia. Pengendali haram perindustrian mengambil jalan mudah dan mengabaikan peraturan keselamatan namun menyumbang kepada eksploitasi hasil tangkapan berlebihan yang sangat menguntungkan. Hal ini seterusnya mendorong tingkah laku yang telah dikenal pasti sebagai "IUU atas sebab keperluan," di mana nelayan artisan berskala kecil terdorong untuk melanggar peraturan atau mengambil bahagian dalam aktiviti yang tidak dikawal dan berbahaya memandangkan keadaan hari ini yang semakin menyukarkan untuk mencari ikan. Keadaan ini bertambah buruk dengan perubahan iklim dan perubahan pada taburan ikan.
"Walaupun aktiviti perikanan sememangnya berisiko, realitinya adalah kebanyakan kematian yang berlaku ini sebenarnya boleh dielakkan. Dengan 3 bilion orang bergantung kepada makanan laut dan permintaan untuknya yang dijangka meningkat, dasar yang lebih kukuh diperlukan segera untuk memastikan para nelayan selamat, termasuklah dasar yang menangani punca-punca sebenar kematian ini," kata Peter Horn, pengarah projek perikanan antarabangsa Pew, yang memberi tumpuan kepada menamatkan dan mencegah penangkapan ikan secara haram.
Eric Holliday, Ketua Eksekutif FSF berkata, "Spekulasi telah tersebar luas bahawa anggaran kematian nelayan adalah lebih rendah daripada angka sebenar, sekali gus menyembunyikan betapa bahayanya aktiviti perikanan. Analisis kami merupakan yang pertama seumpamanya dan secara konklusif menunjukkan bahawa kurangnya ketelusan dalam industri perikanan boleh membahayakan nyawa dengan mengaburi apa yang sebenarnya berlaku di atas kapal atau di kawasan penangkapan ikan yang menyukarkan lagi kerajaan untuk menggubal dasar yang berkesan bagi meningkatkan keselamatan. Walaupun kami mungkin tidak dapat menentukan bilangan kematian nelayan secara tepat, hal ini seharusnya menjadi satu isyarat kepada pihak kerajaan dan memberitahu mereka bahawa untuk menyelamatkan nyawa, tindakan segera—yang dimaklumkan melalui pelaporan dan perkongsian data kematian yang lebih baik—adalah diperlukan."
Dengan mengkaji semula data yang tersedia secara terbuka dan melakukan rujuk silang dengan wartawan penyiasat dan artikel berita, media sosial serta berkomunikasi secara peribadi dengan pegawai kerajaan dan lain-lain, penulis kajian ini dapat memberikan gambaran yang paling lengkap setakat ini tentang bilangan kematian daripada aktiviti perikanan di seluruh dunia.
Namun walaupun disokong oleh semua alat yang tersedia ini, jurang data tetap berlaku dan jumlah keseluruhan hampir mustahil untuk dikira. Data yang tidak mencukupi dan tidak tepat telah menyukarkan pembuat keputusan untuk melaksanakan perubahan dasar sewajarnya, yang dapat memastikan keselamatan para nelayan berskala industri dan persendirian di peringkat antarabangsa, negara dan tempatan.
Berdasarkan hasil kajian ini, Pew menggesa tindakan diambil dalam pelbagai aspek. Secara domestik, banyak lagi yang perlu dilakukan untuk melaksanakan langkah-langkah keselamatan nelayan dan menangani pemacu utama. Memandangkan tahap kematian yang tidak seimbang dalam kalangan komuniti berpendapatan rendah, sokongan kewangan dan tambahan kapasiti amat diperlukan. Usaha pengumpulan data, ketelusan dan perkongsian maklumat yang lebih baik di peringkat antarabangsa akan membantu badan pentadbir untuk lebih memahami masalah yang dihadapi para nelayan, menilai risiko tambahan yang berpunca daripada penangkapan ikan secara IUU dengan lebih tepat dan mengguna pakai dasar untuk melaksanakan langkah-langkah keselamatan kapal yang lebih kukuh.
Terdapat juga rangka kerja kawal selia sedia ada yang direka untuk menghentikan penangkapan ikan secara haram dan melindungi para nelayan. Secara khususnya, Negara-negara perlu menyokong dan melaksanakan Perjanjian Cape Town yang diterima pakai oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa pada tahun 2012, yang menetapkan standard keselamatan untuk pembinaan dan reka bentuk kapal nelayan; melaksanakan Perjanjian FAO untuk Penilaian Keadaan Pelabuhan, yang berfungsi untuk mencegah ikan yang ditangkap secara haram daripada memasuki rantaian bekalan makanan laut; dan meneruskan pelaksanaan Usaha ILO dalam Konvensyen Perikanan C188 2007, yang menetapkan standard untuk keadaan hidup di atas kapal yang belayar di laut. Negara-negara Anggota organisasi pengurusan perikanan serantau juga perlu menetapkan dasar yang jelas yang mengukuhkan usaha untuk memerangi penangkapan ikan secara IUU dan penangkapan ikan berlebihan.
"Mujurlah terdapat beberapa alat tersedia yang boleh membantu menghentikan IUU dan penangkapan ikan berlebihan pada peringkat perindustrian dan meningkatkan tahap keselamatan salah satu profesion yang paling berbahaya di dunia ini," tambah Horn. "Walaupun tidak dapat menangani kesemua isu tersebut, negara-negara anggota menunjukkan dengan jelas akan hasrat untuk menangani masalah ini. Pihak berkuasa antarabangsa juga mesti mengutamakan pengiraan bilangan kematian ini. Dengan gambaran yang lebih jelas tentang apa yang berlaku di perairan, para pemimpin boleh mengetahui bila—dan di mana—tindakan yang lebih padu diperlukan. Kajian ini harus menjadi satu seruan yang lantang kepada pihak berkuasa antarabangsa, kerajaan negara dan pengurus perikanan di seluruh dunia untuk memikul tanggungjawab dalam menangani masalah ini. Para nelayan tidak seharusnya terkorban lagi tanpa sebarang pembelaan dan kerajaan tidak lagi boleh mengabaikan ketidakadilan dan diskriminasi manusia yang teruk akibat tindakan yang tidak mencukupi dalam menangani penangkapan ikan secara IUU, penangkapan ikan berlebihan dan perubahan iklim."
Hubungan: Leah Weiser, lweiser@pewtrusts.org, +1-202-591-6761
Foto - https://mma.prnasia.com/media2/1934287/Cycle_of_IUU_Infographic.jpg?p=medium600