omniture

LyondellBasell Membuat Keputusan untuk Meneruskan Rancangan Kilang Kitar Semula yang Canggih di Wesseling, Jerman

LyondellBasell
2022-11-20 05:54 1571

ROTTERDAM, Belanda, 20 November 2022 /PRNewswire/ -- LyondellBasell hari ini mengumumkan bahawa ia telah membuat keputusan untuk meneruskan usaha dengan syarikat kejuruteraan bagi membina sebuah kilang kitar semula yang canggih di tapaknya di Wesseling, Jerman. Dengan menggunakan teknologi proprietari LyondellBasell iaitu MoReTec, kilang kitar semula berskala komersial yang canggih ini akan menukar sisa plastik yang dirawat terlebih dahulu menjadi stok suapan untuk pengeluaran plastik baharu.  Keputusan pelaburan akhir disasarkan akan diperolehi pada akhir tahun 2023.

Syarikat Usaha Sama Jerman yang diumumkan sebelum ini iaitu Source One Plastics akan menyediakan stok suapan sisa plastik  kepada kilang tersebut. Source One Plastics merancang untuk membina sebuah kemudahan yang direka untuk mengitar semula sejumlah sisa pembungkusan plastik yang dihasilkan oleh kira-kira 1.3 juta rakyat Jerman setiap tahun. Sisa plastik ini akan mengandungi bahan-bahan seperti barangan pembungkusan makanan berbilang lapisan atau bekas plastik campuran yang kebiasaannya tidak dikitar semula pada masa ini.

"Kami sedang berusaha secara aktif untuk menggerakkan ekonomi kitaran ke hadapan. Memajukan teknologi MoReTec kami merupakan satu lagi langkah yang dilakukan oleh LyondellBasell untuk mempercepat pembangunan dan pelaksanaan teknologi kitaran dan lestari yang boleh diskala," kata Yvonne van der Laan, Naib Presiden Eksekutif Penyelesaian Karbon Rendah dan Kitaran LyondellBasell. "Teknologi pembeza dengan hasil tinggi ini akan membolehkan kami menukar sisa plastik menjadi minyak pirolisis dan gas pirolisis untuk digunakan dalam pemecah kami sebagai stok suapan yang membawa kepada pengeluaran bahan plastik baharu. Sisa pepejal proses tersebut boleh digunakan semula atau digunakan dalam penggunaan lain, sekali gus menjadikan teknologi ini sebagai satu proses sisa sifar yang cekap tenaga dalam pengitaran semula sisa plastik".

Kilang kitar semula MoReTec yang canggih ini dirancang akan dimulakan pada akhir tahun 2025 dengan kapasiti sebanyak 50,000 tan setahun. Stok suapan yang dihasilkan tersebut akan ditukar di tapak Wesseling milik LyondellBasell, menjadi polimer CirculenRevive baharu untuk digunakan dalam penggunaan seperti pembungkusan makanan dan produk penjagaan kesihatan.

MoReTec - Sebuah kisah tentang inovasi 

Pada tahun 2018, LyondellBasell bersama-sama dengan Institut Teknologi Karlsruhe (KIT) di Jerman mula menjalankan penyelidikan asas tentang kitar semula kimia sisa plastik yang membuktikan kecekapan teknologi MoReTec pada skala makmal. Pada bulan Oktober 2019, syarikat tersebut telah mengumumkan pembinaan kilang rintis bagi kitar semula kimia di tapaknya di Ferrara, Itali yang mula beroperasi pada bulan Ogos 2020. Melalui operasi kilang rintis ini, hasil penyelidikan telah meningkatkan kecekapan proses kitar semula, mengenal pasti pemangkin komersial dan melakukan lebih banyak kemajuan dalam pencirian aliran stok suapan sisa. Keupayaan kilang MoReTec ini telah dipertingkatkan lagi dengan menukar status kilang rintis kepada kemudahan perindustrian berskala kecil pada tahun 2021.

Pada hari ini, teknologi MoReTec membolehkan pengitaran semula kebanyakan jenis bahan plastik seperti barangan pembungkusan makanan berbilang lapisan atau bekas plastik campuran. Sisa plastik berasaskan poliolefin diuraikan dalam unit reaktor proprietari yang menghasilkan stok suapan berkualiti tinggi yang boleh digunakan untuk pengeluaran bahan plastik baharu di kilang polimer LyondellBasell.

Tentang LyondellBasell 

Sebagai peneraju dalam industri kimia global, LyondellBasell berusaha setiap hari untuk menjadi syarikat yang paling selamat, dikendalikan dengan cara terbaik dan paling bernilai dalam industri kami. Produk, bahan dan teknologi syarikat ini memberikan kecanggihan dalam penyelesaian lestari dari segi keselamatan makanan, akses kepada air bersih, penjagaan kesihatan dan bahan api cekap di lebih 100 pasaran antarabangsa. LyondellBasell meletakkan keutamaan yang tinggi terhadap kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman serta Menggalakkan Kebaikan dengan penekanan kepada planet, komuniti tempat kami beroperasi serta tenaga kerja kami pada masa hadapan.  Syarikat ini berbangga dengan teknologi bertaraf dunia serta fokusnya kepada para pelanggan. LyondellBasell telah meningkatkan cita-cita dan tindakan kitaran serta iklimnya untuk menangani cabaran global dalam sisa plastik dan penyahkarbonan. Pada tahun 2022, LyondellBasell telah tersenarai sebagai salah satu daripada "Syarikat-Syarikat Paling Dikagumi di Dunia" dalam Majalah FORTUNE untuk tahun kelima berturut-turut. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.lyondellbasell.com atau ikuti @LyondellBasell di LinkedIn.

PERNYATAAN BERPANDANGAN KE HADAPAN
Pernyataan dalam siaran ini yang berkaitan dengan perkara yang bukan fakta sejarah adalah pernyataan berpandangan ke hadapan. Pernyataan berpandangan ke hadapan ini adalah berdasarkan andaian pihak pengurusan LyondellBasell yang dipercayai munasabah semasa ia dibuat dan tertakluk kepada risiko serta ketidakpastian yang ketara. Hasil sebenar mungkin berbeza secara material berdasarkan faktor-faktor berikut termasuk, namun tidak terhad kepada, keputusan pelaburan akhir yang berkaitan dengan cadangan kemudahan tersebut; keupayaan kami untuk melengkapkan urus niaga yang telah dijelaskan atau waktu urus niaga tersebut; kejayaan pembinaan dan pengendalian kemudahan yang diterangkan dalam siaran ini; keupayaan kami untuk memperoleh semua kelulusan kawal selia yang diperlukan; keupayaan kami untuk memenuhi matlamat kelestarian kami, termasuk keupayaan untuk meningkatkan pengeluaran polimer berasaskan bahan kitar semula dan boleh diperbaharui bagi mencapai sasaran dan ramalan kami; serta keadaan ekonomi secara umum di kawasan geografi atau pasaran yang dikendalikan oleh LyondellBasell dan ahli gabungannya, atau lokasi operasi syarikat ini dan ahli gabungannya. Walaupun pernyataan dan unjuran ini dibuat dengan tulus ikhlas, LyondellBasell dan pihak pengurusannya tidak dapat menjamin bahawa keputusan masa hadapan yang dijangkakan akan dapat dicapai. Faktor tambahan yang boleh menyebabkan keputusan berbeza secara material daripada yang diterangkan dalam pernyataan berpandangan ke hadapan ini boleh didapati dalam bahagian "Faktor Risiko" Borang 10-K kami untuk tahun yang berakhir pada 31 Disember 2021, yang juga tersedia di www.LyondellBasell.com pada halaman Perhubungan Pelabur dan di laman web Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa di www.sec.gov. Tiada jaminan bahawa mana-mana tindakan, peristiwa atau hasil pernyataan berpandangan ke hadapan ini akan berlaku, atau sekalipun jika ia berlaku, tiada jaminan tentang kesannya terhadap keputusan operasi atau keadaan kewangan kami. Pernyataan berpandangan ke hadapan ini hanya benar pada tarikh ia dibuat dan berdasarkan anggaran serta pendapat pihak pengurusan LyondellBasell ketika ia disediakan. LyondellBasell tidak bertanggungjawab untuk mengemas kini pernyataan berpandangan ke hadapan ini sekiranya keadaan atau anggaran atau pendapat pihak pengurusan berubah, kecuali jika dikehendaki oleh undang-undang.

Advanced recycling converts mixed plastic waste into pyrolysis oil for the production of new plastic materials (Source: LyondellBasell)
Advanced recycling converts mixed plastic waste into pyrolysis oil for the production of new plastic materials (Source: LyondellBasell)

 

Foto - https://mma.prnasia.com/media2/1951186/LYB_MoReTec_Nov22.jpg?p=medium600
Logo - https://mma.prnasia.com/media2/562522/LYB_Advancing_Possible_Logo.jpg?p=medium600

 

Source: LyondellBasell
Keywords: Chemical Conservation/Recycling