omniture

Pakatan global organisasi pesakit jantung memperkenalkan Pelan Tindakan Kolesterol Global baharu untuk mengutamakan kolesterol tidak sihat sebagai isu kesihatan awam utama

Global Heart Hub
2022-12-01 20:06

GALWAY, Ireland, 1 Disember 2022 /PRNewswire/ -- Global Heart Hub hari ini melancarkan Pelan Tindakan Kolesterol Global untuk mengurangkan kesan tahap kolesterol tidak sihat. Dibentangkan pada Sidang Kemuncak UNITE tahunan mereka, Pelan Tindakan ini mengikuti dan dibangunkan berdasarkan Pelan Hala Tuju Kolesterol Persekutuan Jantung Dunia yang dikeluarkan pada bulan Oktober.

Penyakit kardiovaskular aterosklerotik (ASCVD) menyumbang kepada 85% kematian yang berkaitan dengan kardiovaskular dan merupakan penyebab utama kematian di seluruh dunia yang bertanggungjawab ke atas lebih 15 juta kematian setiap tahun. Salah satu faktor risiko utama ASCVD ialah lipoprotein berketumpatan rendah (LDL-C) – yang juga dikenali sebagai 'kolesterol jahat'.

Walaupun 80% daripada peristiwa kardiovaskular pramatang yang berkaitan dengan ASCVD boleh dicegah, ramai orang yang mempunyai tahap LDL-C yang tinggi tidak didiagnosis sehinggalah mereka mengalami peristiwa kardiovaskular utama seperti serangan jantung atau strok. Merokok, aktiviti fizikal dan diet pemakanan merupakan faktor penyumbang kepada berlakunya penyakit kardiovaskular, namun hampir 40% daripada populasi dewasa adalah berisiko terhadap tahap LDL-C yang tinggi disebabkan oleh penyakit genetik yang diwarisi.

Sehingga kini, tindakan di peringkat tempatan terhadap ASCVD adalah terhad walaupun terdapat penerbitan garis panduan pencegahan antarabangsa.  Global Heart Hub bermatlamat untuk melaksanakan perubahan agar tahap kolesterol tidak sihat dapat dicegah dan diuruskan di peringkat tempatan bagi mengurangkan ASCVD.

Pelan Tindakan baharu ini menggariskan empat matlamat yang jelas untuk memastikan tahap kolesterol tidak sihat dapat ditangani sebagai keutamaan untuk kesihatan awam: membina pakatan, meningkatkan kesedaran awam, mengaktifkan pakatan serta menambah baik pengesanan dan pengurusan kolesterol yang tinggi.

Dr. Shaun Goodman, Ketua Bersekutu Kardiologi di Hospital St. Michael di Toronto, Kanada berkata: "Meningkatkan pemahaman awam tentang risiko serius bagi tahap kolesterol tidak sihat yang berkaitan dengan pembentukan ASCVD adalah sangat penting. Apa yang turut diperlukan untuk mengubah haluan bagi masalah yang semakin meningkat ini ialah pendekatan pelbagai pihak berkepentingan yang merangkumi pihak kerajaan dan penggubal dasar untuk melaksanakan strategi bagi menambah baik pengesanan kolesterol yang tinggi serta menyokong usaha yang dilakukan oleh ahli profesional penjagaan kesihatan."

Neil Johnson, Pengarah Eksekutif Global Heart Hub berkata: "Walaupun kita telah bergerak ke hadapan dalam bidang sains dan rawatan, ASCVD masih kekal sebagai pembunuh nombor satu di dunia, dengan kolesterol sebagai punca utamanya. Pelancaran Pelan Tindakan Kolesterol Global kami ini merupakan seruan kolektif komuniti pesakit kepada pihak kerajaan untuk mengoptimumkan dasar yang menyasarkan pengurusan dan pencegahan kolesterol tidak sihat bagi membantu mengurangkan beban penyakit kardiovaskular aterosklerotik yang sangat berat terhadap individu, masyarakat dan sistem penjagaan kesihatan."

Sokongan komuniti pesakit global

Mewakili suara komuniti pesakit global, Pelan Tindakan ini telah dihasilkan dengan sokongan Invisible Nation, sebuah program yang dicipta bersama-sama oleh Global Heart Hub dan Novartis untuk mendedahkan realiti ASCVD. Pelan Tindakan ini telah disahkan oleh organisasi pesakit dari seluruh Amerika, Eropah dan Australia termasuk WomenHeart dan The Mended Hearts, Amerika Syarikat; Heart Valve Voice Canada, Heartlife Canada dan Canadian Heart Patient Alliance; Instituto Lado a Lado pela Vida, Brazil; Pacientes de Corazón, Mexico; FH Europe; Croí, Ireland; Associazione Italiana Scompensati Cardiaci, Itali; dan Hearts4Heart, Australia.

Source: Global Heart Hub
Keywords: Food/Beverages Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Trade show news