omniture

MIDA dan CREST Tandatangani MoU bersama Dassault Systèmes Bina Kesediaan Industri 4.0 PKS Malaysia

Dassault Systèmes
2022-12-13 15:59 37
  • MoU akan memacu kesediaan Industri 4.0 PKS Malaysia
  • MoU menyasarkan untuk meningkatkan penerimaan kolaborasi berasaskan awan untuk PKS
  • Kolaborasi bagi membantu perusahaan Malaysia mendapat akses kepada pasaran global

KUALA LUMPUR, Malaysia, 13 Disember 2022 /PRNewswire/ -- Dassault Systèmes (Euronext Paris: FR0014003TT8, DSY.PA) hari ini mengumumkan bahawa ia telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pusat Penyelidikan Kolaboratif Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST). Perkongsian ini bertujuan untuk menubuhkan jawatankuasa pemandu untuk membincangkan tentang skop, keperluan, peranan dan rancangan bagi menyokong perusahaan bersaiz kecil dan sederhana (PKS) Malaysia dalam perjalanan transformasi mereka menuju Industri 4.0, serta meningkatkan kolaborasi berasaskan awan dengan menerima pakai penyelesaian Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) yang bertaraf dunia.

Datuk Wira Arham Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA berkata: "Inisiatif yang tepat pada masanya ini bertujuan untuk meningkatkan PKS tempatan kami dan melengkapkan mereka dengan teknologi terkini bagi meningkatkan kecekapan perniagaan mereka dengan menerima pakai penyelesaian Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) bertaraf dunia. Kami amat berbangga dengan penglibatan MIDA dalam inisiatif ini bagi memperkasa firma-firma serta PKS Malaysia untuk memperkukuh keupayaan teknikal mereka dan menerima teknologi moden, seterusnya membolehkan mereka maju dan berkembang. Hari ini merupakan peristiwa yang penting daripada usaha Kerajaan untuk mendorong pengusaha industri, terutamanya penggiat domestik serta PKS, untuk menerima teknologi baharu dan merealisasikan potensinya dengan menggunakan penyelesaian teknologi ERP."

Penyelesaian ERP akan memanfaatkan teknologi kembar maya Dassault Systèmes melalui platform 3DEXPERIENCE, khususnya perisian reka bentuk terbantu komputernya dan penyelesaian Pengurusan Kitar Hayat Produk (PLM) yang digunakan dalam pelbagai industri termasuk pembuatan, kejuruteraan dan sains hayat.

En. Jaffri Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif CREST berkata: "MoU ini bertujuan untuk menyediakan platform yang membolehkan perniagaan Malaysia berkembang maju dalam persekitaran perniagaan yang kompetitif, pasca-pandemik. Kami sentiasa mencari peluang untuk berkolaborasi dengan Kerajaan Malaysia, pemimpin industri dan dunia akademik untuk memajukan pengetahuan saintifik di negara ini. Seterusnya, kami menyasarkan untuk mengukuhkan inovasi dan penyelidikan tempatan dan dalam masa yang sama kami membantu perniagaan tempatan mengemudi cabaran dan peluang dalam kebiasaan baharu ini."

"Di Dassault Systèmes, kami telah bekerjasama dengan banyak perniagaan yang berjaya di seluruh dunia untuk membina ekosistem terhubung yang membolehkan mereka memanfaatkan data bagi memberi pandangan yang boleh diambil tindakan dan menjadi kompetitif serta cekap dalam ekonomi digital. Dengan ketersambungan yang dipertingkat, PKS Malaysia boleh mendapat manfaat daripada pembuatan keputusan berpacu data, membina hubungan yang lebih erat bersama pelanggan dan rakan kongsi serta terus meningkatkan operasi dan proses mereka ketika mereka bersaing dalam arena perniagaan global," kata Josephine Ong, Pengarah Urusan, Asia Pasifik Selatan, Dassault Systèmes.

Memandangkan sektor pembuatan sedang menjalani transformasi yang signifikan dengan dorongan untuk menerima pakai dan menyesuaikan proses bernilai tambah serta pendigitalisan, perkongsian ini akan memanfaatkan kepakaran kolektif pihak-pihak ini bagi membantu perniagaan tempatan melalui pendekatan tiga serampang, iaitu mengupayakan kesediaan Industri 4.0, menyediakan akses kepada pasaran global dan melaksanakan kolaborasi berasaskan awan yang sebenar. Tujuannya adalah untuk membangunkan program bagi meningkatkan kecekapan dan operasi PKS di Malaysia dengan penyelesaian Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) canggih, yang menyasarkan untuk mengintegrasikan proses serta aplikasi perniagaan.

UNTUK MAKLUMAT LANJUT

Platform 3DEXPERIENCE Dassault Systèmes, perisian reka bentuk 3D, 3D Digital Mock Up dan penyelesaian Pengurusan Kitar Hayat Produk (PLM): http://www.3ds.com

Berhubung dengan Dassault Systèmes di TwitterFacebookLinkedIn dan YouTube

LATAR BELAKANG DASSAULT SYSTÈMES

Dassault Systèmes, Syarikat 3DEXPERIENCE ialah pemangkin untuk kemajuan insan. Kami menyediakan persekitaran maya 3D kolaborasi untuk membayangkan inovasi yang mampan kepada perniagaan dan orang ramai. Dengan mencipta pengalaman kembar maya dunia sebenar dengan platform dan aplikasi 3DEXPERIENCE kami, pelanggan kami menerobos sempadan inovasi, pembelajaran dan pengeluaran untuk mencapai dunia yang lebih lestari untuk pesakit, rakyat dan pengguna. Dassault Systèmes membawa nilai kepada lebih daripada 300,000 pelanggan daripada semua saiz, dalam kesemua industri, di lebih 140 negara. Untuk maklumat lanjut, kunjungi www.3ds.com

© Dassault Systèmes. Hak cipta terpelihara. 3DEXPERIENCE, ikon Compass, logo 3DS, CATIA, BIOVIA, GEOVIA, SOLIDWORKS, 3DVIA, ENOVIA, NETVIBES, MEDIDATA, CENTRIC PLM, 3DEXCITE, SIMULIA, DELMIA dan IFWE ialah tanda dagangan komersial atau tanda dagangan berdaftar Dassault Systèmes, bahasa Perancis "société européenne" (Daftar Komersial Versailles # B 322 306 440), atau subsidiari-subsidiarinya di Amerika Syarikat dan/atau negara-negara lain.

Source: Dassault Systèmes
Keywords: Internet Technology Telecommunications Contracts Small Business Services