omniture

CGTN: Wang Yi: China mendemonstrasikan tanggungjawab antarabangsa melalui diplomasi negara besar

CGTN
2022-12-27 10:34 64

BEIJING, 27 Disember 2022 /PRNewswire/ -- Ahli Majlis Negara China dan Menteri Luar Wang Yi mengalu-alukan peranan diplomasi negara besar dalam mendorong keamanan dan kesejahteraan global ketika beliau meringkaskan tentang prestasi diplomatik negara ini sepanjang tahun ini pada Ahad lalu.

"Kami telah melaksanakan diplomasi negara besar dengan ciri-ciri Cina dengan cara yang menyeluruh, memberi sumbangan yang baharu untuk mendukung keamanan dunia dan menggalakkan pembangunan bersama," kata Wang dalam satu ucapan di Simposium mengenai Situasi Antarabangsa dan Hubungan Luar China.

Sambil memuji diplomasi ketua negara kerana menetapkan kadar untuk tugas diplomatik keseluruhan China, Wang memilih Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Musim Sejuk Beijing, mesyuarat dua hala yang diadakan antara Presiden Cina Xi Jinping dan pemimpin-pemimpin luar dari lebih 40 negara serta tiga perjalanan luar negara yang dilakukan oleh Xi sebelum dan selepas Kongres Kebangsaan ke-20 Parti Komunis China (CPC) dalam bulan Oktober.

Wang memuji upacara perasmian Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Musim Sejuk Beijing, disaksikan oleh 31 ketua negara, kerajaan dan pertubuhan antarabangsa, kerana membolehkan komuniti antarabangsa merasai pengalaman China yang "lebih yakin, berkembang maju, terbuka dan inklusif".

"Pertemuan Beijing di atas ais dan salji merupakan satu pencapaian baharu dalam usaha oleh rakyat di seluruh dunia untuk bersama-sama menggapai harapan baharu dan mengejar masa depan yang dikongsi bersama," kata Wang.

Bagi berpuluh-puluh pertemuan dua hala antara Xi dan pemimpin-pemimpin dari negara-negara luar termasuk Vietnam, Pakistan dan Jerman, selepas Kongres Kebangsaan CPC ke-20, Wang berkata mereka bukan sahaja mencapai kemuncak untuk diplomasi ketua-negara pada tahun ini, tetapi turut melakukan "permulaan yang baik untuk usaha kepimpinan pusat kolektif yang baharu daripada CPC dalam hal ehwal luar China."

Menteri luar itu turut menyebut sokongan antarabangsa untuk Inisiatif Sekuriti Global (GSI) dan Inisiatif Pembangunan Global (GDI) dalam ucapan beliau.

GSI dan GDI masing-masing dicadangkan oleh Xi di Boao Forum for Asia dalam bulan April 2022 dan pada perbahasan umum sesi ke-76 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam bulan September 2021.

Sehingga kini, lebih daripada 70 negara telah menyatakan sokongan unutk GSI dan lebih daripada 100 negara dan sejumlah pertubuhan antarabangsa, termasuk PBB, telah menyatakan sokongan untuk GDI dan hampir 70 negara menyertai Group of Friends of the GDI, kata Wang.

Hubungan dengan negara-negara serta wilayah-wilayah utama turut ditekankan dalam ucapan Wang.

Bermula daripada dua panggilan telefon kepada pertemuan secara bersemuka di Bali antara X dan rakan sejawat A.S. beliau Joe Biden, Wang berkata komunikasi yang jujur dan mendalam antara kedua-dua presiden bersifat membina dan strategik.

"Melakukan persaingan mendatangkan mudarat dan tiada manfaat dan menjalin kerjasama merupakan satu keperluan, bukan pilihan," kata Wang, menambah bahawa China menyeru A.S untuk saling bekerjasama bagi meletakkan tiang dan asas yang kukuh demi pertumbuhan hubungan China-A.S. yang sihat dan stabil.

Mengambil maklum mengenai dua pertemuan peribadi antara Xi dan rakan sejawat Rusia beliau Vladimir Putin masing-masing di Beijing pada bulan Februari dan di Samarkand dalam bulan September, Wang berkata kedua-duanya memberi panduan yang strategik terhadap hubungan China-Rusia untuk melangkah ke hadapan di bawah keadaan yang baharu.

Menyebut tentang krisis Ukraine yang masih berterusan, Wang berkata China telah mengekalkan hala tuju yang betul untuk menggalakkan rundingan damai, mencari penyelesaian yang menangani punca isu berkenaan dan berdiri teguh sebagai pendukung keamanan dan bukannya yang menyemarakkan api konflik.

Sambil kekal komited untuk meningkatkan jalinan persahabatan dan kerjasama dengan kedua-dua negara maju dan sedang membangun itu, Wang menyatakan kehadiran Xi di Sidang Kemuncak China-Negara-negara Arab pertama dan Majlis Kerjasama Teluk-China telah membuatkan hubungan China-Arab mengorak langkah ke hadapan yang bersejarah.

"Sebagai dua kuasa signifikan dan tamadun utama, China dan dunia Arab telah berganding bahu dan menyokong satu sama lain dalam memajukan usaha penggiatan semula negara masing-masing dan mendorong keamanan dan pembangunan serantau," kata Wang.

Memandang ke arah tahun 2023, Wang berkata China akan terus mendorong diplomasi negara besar dengan ciri-ciri Cina tatkala negara sedang membangun yang terbesar di dunia ini memulakan perjalanan baharu untuk membangunkannya menjadi sebuah negara sosialis moden dalam segenap aspek.

"Kami akan mengekalkan visi global, mara ke hadapan dengan keazaman yang lebih tinggi dan menulis lembaran baharu serta meraih kejayaan yang baharu dalam diplomasi negara besar dengan ciri-ciri Cina dari perspektif yang lebih luas dan melalui tindakan yang lebih padu," kata Wang.

Pautan: https://news.cgtn.com/news/2022-12-25/Wang-Yi-China-demonstrates-responsibility-via-major-country-diplomacy-1g2Z46xcK3u/index.html

 

Source: CGTN
Keywords: Computer/Electronics Multimedia/Online/Internet Publishing/Information Service Advocacy Group Opinion