omniture

7 trend utama untuk industri sekuriti pada tahun 2023

Hikvision Digital Technology
2023-01-19 11:08 96

HANGZHOU, China, 19 Januari 2023 /PRNewswire/ -- Industri sekuriti fizikal telah berubah dengan pantas sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pembangunan dan aplikasi teknologi canggih dalam industri yang sentiasa berkembang ini seperti AI, persepsi mesin dan IoT, menerobos sempadan sepanjang masa. Kami telah menyaksikan sistem sekuriti menjadi semakin diintegrasikan dan lebih komprehensif, berkembang dengan keupayaan yang kini menggalas lebih banyak tugas pintar untuk meningkatkan kecekapan dalam sekuriti serta fungsi-fungsi operasi yang lain. Kesemua ini berlaku merentas banyak industri dan juga jenis organisasi yang berbeza.

Top 7 trends for the security industry in 2023
Top 7 trends for the security industry in 2023

Ketika kami melangkah ke tahun 2023, Hikvision ingin berkongsi beberapa pandangan tentang tujuh trend penting yang menjadi tumpuan dalam industri sekuriti.

1.  Aplikasi AI adalah pelbagai, memerlukan lebih banyak ekosistem terbuka 

Kami telah menyaksikan produk dan aplikasi AI yang lebih pelbagai yang dapat membantu menyelesaikan masalah rumit setiap hari dan memenuhi keperluan pelanggan yang terpecah-pecah. Keupayaan akustik dan tekstual AI turut diterokai oleh industri ini, bermula dengan AI visual. Sebagai contoh, pengesanan anomali audio berkuasa AI digunakan untuk mengesan kegagalan peralatan dalam persekitaran industri demi tahap keselamatan pekerja yang dipertingkat. Di samping itu, teknologi AI itu sendiri berkembang ke tahap pembelajaran kendiri menerusi latihan dan mengoptimumkan fungsinya lebih pantas berbanding pembelajaran yang diselia.

Kesemua ini memerlukan lebih banyak ekosistem dengan teknologi terbuka, sumber terbuka, malah protokol terbuka, untuk kolaborasi dalam industri ini. Teknologi terbuka, seperti teknologi bekas dan teknologi virtualisasi mempunyai potensi yang signifikan untuk industri kami, yang menjadikan produk perkakasan lebih terbuka.

2.  AIoT terus merapatkan jurang dunia fizikal dan digital

Membawa kecerdasan buatan lebih jauh, kami percaya kombinasi antara AI dan IoT (AIoT) akan terus menjadi trend utama bagi tahun 2023, lantas membentuk semula skop industri sekuriti. Lebih banyak penyelesaian AIoT diperkenalkan yang bukan sahaja akan memberi perlindungan pintar, tetapi juga membantu memajukan kecekapan operasi dalam pelbagai industri dan juga organisasi.

AIoT akan mewujudkan laluan penting untuk merangsang transformasi digital dalam beberapa industri. Ini dapat dilakukan dengan mencipta kembar digital, merapatkan jurang antara dunia fizikal dan digital. Sebagai contoh, dalam pengurusan taman perindustrian, tapak maya boleh dicipta dengan mengaplikasikan pemodelan 3D menggunakan teknologi VR dan AR bagi mewakili dan memperlihatkan tapak sebenar, memperkasakannya dengan pandangan dinamik untuk bertindak pantas bagi menjadikan seluruh tapak berjalan lancar.

3.  Pengalaman visual meningkat dengan teknologi pengimejan 24/7

Merakam imej sekuriti dengan kejelasan dan warna tajam sepanjang masa merupakan permintaan teras untuk pengguna sekuriti video, namun cahaya malap pada waktu malam sentiasa menjadi cabaran terbesar untuk mencapai tujuan ini.

Kini, dengan pembangunan beberapa teknologi pengimejan baharu, kami dapat melihat cabaran ini terhapus. Teknologi gabungan imej spektrum-Bi yang menggunakan dua sensor digunakan untuk menggabungkan IR dan pengimejan cahaya nampak bagi menghasilkan semula warna-warna jelas dalam keadaan cahaya malap. Teknologi pemprosesan isyarat imej berasaskan Kecerdasan Buatan (AI-ISP) memanfaatkan algoritma pembelajaran mendalam untuk menambah baik pengurangan hingar visual secara radikal demi pengoptimuman imej waktu malam.

4.   Keupayaan persepsi dilanjutkan kepada jangkauan yang lebih luas

Untuk aplikasi sekuriti, keupayaan persepsi melangkaui lebih daripada sekadar cahaya nampak, berlanjutan sepanjang spektrum electromagnet untuk meluaskan keupayaan dalam memahami dunia fizikal dengan cara baharu. Sebagai contoh, teknologi pengimejan hiperspektrum digunakan dalam menganalisis ciri-ciri sinaran optik dan eutrofikasi bagi merekodkan trend kualiti air di sungai dan tasik. Dalam jalur gelombang-milimeter, produk radar membantu pengukuran kelajuan dan jarak kenderaan. Jalur sinar-X diaplikasikan secara meluas dalam pemeriksaan sekuriti, kini memperluaskan aplikasinya dalam pengesanan kecacatan peralatan industri.

Keupayaan persepsi berbilang dimensi ini turut bertumpu untuk mencipta penyelesaian inovatif yang dapat mencapai pelbagai operasi baharu seperti sistem video terbantu radar untuk perlindungan perimeter, penyelesaian integrasi tatasusunan video dan sonar untuk pengurusan trafik dan sistem penggera dengan pelbagai jenis pengesan untuk aplikasi kediaman pintar.

5.  Lebih tumpuan pada kebolehgunaan peranti dan sistem

Kebolehgunaan peranti dan sistem memberi kesan kepada kehidupan harian golongan profesional sekuriti yang telah mencetuskan lebih banyak tumpuan ketika ini lantaran kekurangan tenaga kerja dan peningkatan kos buruh dalam industri kami. Trend ini memerlukan pengeluar untuk mengoptimumkan produk mereka dengan proses konfigurasi yang lebih mudah, memanfaatkan pengalaman interaktif dengan lebih baik yang akan mengurangkan masa pemasangan dan mengurangkan kos penyelenggaraan peralatan dan pembinaan kemahiran.

Sebagai contoh, kami melihat semakin banyak pemasang memilih untuk menggunakan aplikasi mudah alih berbanding komputer peribadi (PC) bagi tujuan pemasangan dan penyelenggaraan peranti yang mana proses yang interaktif dan dipermudah muncul dengan terbaik.

6.  Industri melangkah menuju operasi karbon lebih rendah, lebih hijau demi kelestarian 

Trend dalam pembuatan hijau dan inisiatif karbon rendah dalam industri sekuriti amat menginspirasikan. Pengeluar-pengeluar sekuriti memperkenalkan produk yang membawakan jangka hayat yang lebih lama, bahan dan pembungkusan boleh dikitar semula dan penggunaan tenaga boleh baharu. Setiap inisiatif ini mengurangkan sisa dan emisi. Sebagai contoh, permintaan kamera berkuasa solar terus meningkat ekoran keberkesanan yang begitu mantap dalam menggunakan tenaga bersih tanpa had daripada matahari.

Dalam pembuatan dan operasi harian, lebih banyak syarikat dalam industri ini menetapkan matlamat jangka sederhana hingga panjang untuk pengurusan alam sekitar, mencakupi pengeluaran karbon lebih rendah, penggunaan tenaga yang cekap dan pengurusan sisa serta bahan kimia, hinggalah persekitaran pejabat yang lebih hijau.

7.  Zero Trust terus menjadi strategi keselamatan siber pilihan

Keselamatan siber kekal menjadi isu yang amat penting dan mencabar untuk semua pihak dalam industri kami, memandangkan pelanggan dan pengawal selia menjadi semakin prihatin tentang keselamatan data dan privasi mereka serta menetapkan standard dan permintaan yang lebih tinggi terhadap isu ini. Kami melihat nilai dalam mengetengahkan idea Zero Trust (Kepercayaan Sifar) untuk semua orang membuat pertimbangan apabila melaksanakan strategi keselamatan siber.

Zero Trust ialah satu inisiatif strategik yang dibangunkan untuk mencegah ketirisan data dengan menghapuskan konsep kepercayaan daripada seni bina rantaian sesebuah organisasi. Dalam keselamatan siber, kepercayaan menjadi satu kerentanan. Zero Trust ialah satu pendekatan untuk keselamatan siber yang menentukan sistem terhubung kami harus "tidak sekali-kali percaya; sentiasa membuat pengesahan."

Ketahui lebih lanjut 

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang topik-topik yang dibincangkan di sini atau untuk mengetahui bagaimana pandangan Hikvision memajukan trend yang terkini dalam sekuriti, sila kunjungi Blog Hikvision.

Source: Hikvision Digital Technology
Keywords: Computer Software Computer/Electronics Internet Technology Telecommunications