omniture

FWD akan memasuki pasaran insurans hayat Malaysia dengan pelaburan strategik dalam Gibraltar BSN

FWD Group Holdings Limited
2023-02-20 09:24 82

KUALA LUMPUR, Malaysia, 20 Februari 2023 /PRNewswire/ -- FWD Group Holdings Limited ("FWD Group") akan memasuki pasaran insurans hayat Malaysia berikutan pemeteraian perjanjian untuk melabur dengan pegangan majoriti dalam Gibraltar BSN Life Berhad ("Gibraltar BSN"). Urus niaga itu dijangka selesai pada suku kedua 2023.

 

FWD Group, dan pelabur lain, akan bersama-sama memegang 70% saham dalam Gibraltar BSN, yang dijual oleh Prudential Insurance Company of America, anak syarikat milik penuh Prudential Financial, Inc. yang tersenarai di NYSE (NYSE: PRU). Bank Simpanan Nasional ("BSN") akan terus memegang baki 30% pemilikan saham dalam Gibraltar BSN. Setelah selesai urus niaga, FWD Group akan bekerjasama dengan BSN untuk terus membangunkan dan mengembangkan Gibraltar BSN.

Huynh Thanh Phong, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif FWD Group, berkata, "Kami akan menawarkan perkhidmatan yang komprehensif di Malaysia dan akan dapat menawarkan kedua-dua penyelesaian iaitu takaful keluarga dan insurans hayat dalam pasaran yang berkembang pesat dan mempunyai potensi pertumbuhan jangka masa panjang. Kami teruja untuk menyediakan produk dan perkhidmatan digital kepada lebih ramai rakyat Malaysia. Dengan perkembangan strategik ini, kami juga melengkapkan perniagaan kami merentasi pasaran utama di Asia Tenggara pada ulang tahun FWD Group yang ke-10. Visi kami untuk mengubah pandangan orang ramai tentang takaful dan insurans kekal sebagai visi yang membimbing kerja kami."

Malaysia adalah pasaran insurans hayat keempat terbesar berdasarkan premium di Asia Tenggara[1], dengan asas makroekonomi yang sangat menarik dan demografi yang menggalakkan. FWD Group memasuki pasaran Malaysia pada bulan Mac 2019 sebagai penyedia produk takaful keluarga, termasuk hayat bertempoh, penyakit kritikal, kanser, manfaat tunai hospital dan perlindungan perubatan.

Binayak Dutta, Pengarah Urusan FWD Group, Pasaran Baru Muncul dan Ketua Pegawai Pengedaran Kumpulan, berkata, "Kerjasama kami dengan BSN merupakan komitmen kami terhadap pasaran Malaysia dan kami berharap dapat memainkan peranan kami dalam pertumbuhan dan pembangunan sektor takaful dan insurans di Malaysia. Sejak penubuhan, perniagaan kami di Malaysia telah berkembang baik. Sumbangan bertulis kasar kami telah meningkat sebanyak 173% pada tahun penuh pertama kami beroperasi[2], menubuhkan hab teknologi dan inovasi serantau kami di Kuala Lumpur dan, bekerjasama dengan perusahaan sosial terkemuka di Malaysia untuk membangunkan Fun(d) for Life, program celik kewangan yang membantu lebih 4,200 individu[3]."

Pelanggan sedia ada dan saluran pengedaran di Gibraltar BSN tidak akan terjejas oleh perubahan pemilikan ini dan semua polisi sedia ada akan terus berkuatkuasa. Pelanggan juga boleh terus mengakses produk dan perkhidmatan syarikat menggunakan saluran perkhidmatan pilihan mereka. Di samping itu, pelanggan sedia ada dan saluran pengedaran FWD Takaful juga tidak akan terjejas. FWD Group merancang untuk menjenamakan semula perniagaan Gibraltar BSN pada masa terdekat.

[1] NMG; Swiss Re

[2] Sumbangan bertulis kasar (GWP) Malaysia meningkat kira-kira 173% dari 2020 hingga 2021. Ini berbanding dengan GWP industri di Malaysia, yang meningkat kira-kira 9% dalam tempoh yang sama, menurut NMG.

[3] Setakat 30 Sept 2022

Mengenai FWD Group

FWD Group adalah perniagaan insurans hayat Asia dengan kira-kira 10 juta pelanggan merentasi 10 pasaran, termasuk beberapa pasaran insurans yang paling pesat berkembang di dunia. Ditubuhkan pada tahun 2013, FWD menumpukan usaha untuk menjadikan insurans lebih mudah, cepat dan lancar, dengan pembaharuan yang inovatif dan pelan perlindungan yang mudah difahami, disokong oleh teknologi digital. Melalui pendekatan yang mengutamakan pelanggan ini, FWD komited untuk mengubah pandangan orang ramai terhadap insurans.

Untuk maklumat lanjut, sila layari fwd.com.

Tentang Gibraltar BSN Life Berhad

Gibraltar BSN Life Berhad ("Gibraltar BSN") adalah salah sebuah syarikat insurans hayat yang berkembang pesat di Malaysia. Selama lebih dari 60 tahun, kami telah melindungi impian dengan menyediakan penyelesaian perlindungan yang relevan dan berpatutan yang boleh diakses oleh rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat.

Sebagai Juara Perlindungan Komuniti di Malaysia, Gibraltar BSN mempunyai rangkaian pengedaran yang luas dan pelbagai yang terdiri daripada 8 lokasi di seluruh negara, pasukan agensi nasional, dan lebih daripada 400 cawangan milik rakan strategik kami: Bank Simpanan Nasional.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai bagaimana kami boleh membantu anda melindungi impian anda, sila lawati laman web kami di www.gibraltarbsn.com.

Tentang PFI

PFI, peneraju perkhidmatan kewangan global dan pengurus pelaburan global aktif utama dengan ibu pejabat di AS dan dengan kira-kira $1.4 trilion aset di bawah pengurusan setakat 31 Disember 2022, beroperasi di Amerika Syarikat, Asia, Eropah dan Amerika Latin. Pekerja PFI yang pelbagai dan berbakat membantu menjadikan kehidupan lebih baik dan mencipta peluang kewangan untuk lebih ramai orang dengan meluaskan akses kepada pelaburan, insurans dan sekuriti persaraan. Simbol ikonik PFI iaitu Rock mewakili kekuatan, kestabilan, kepakaran dan inovasi selama hampir 150 tahun. Untuk maklumat lanjut, sila layari news.prudential.com.

Prudential Financial, Inc. Amerika Syarikat tidak berkaitan dalam apa jua cara dengan Prudential plc, kumpulan antarabangsa yang diperbadankan di United Kingdom atau Prudential Assurance Company, anak syarikat M&G plc, sebuah syarikat yang diperbadankan di United Kingdom.

 
Source: FWD Group Holdings Limited
Keywords: Banking/Financial Service Health Care/Hospital Health Insurance Insurance