omniture

Human Longevity Inc. (HLI) Dilancarkan bagi Menggalakkan Penuaan Sihat Menggunakan Kemajuan dalam Terapi Sel Stem dan Kajian Genom

Human Longevity Inc.
2014-03-05 12:42 198

-- HLI sedang Membina Pangkalan Data Genotip/Fenotip Terbesar Dunia dengan Menjujukan sehingga 40,000 Genom Manusia/Tahun Digabungkan dengan Mikrobiom, Metabolom dan juga Data Klinikal bagi Membangunkan Terapi yang Menambah baik Kehidupan

-- HLI telah Membeli Dua Sistem Penjujukan Illumina HiSeq X Ten

SAN DIEGO, 5 Mac 2014 /PRNewswire/ -- Human Longevity Inc. (HLI), syarikat terapeutik dan diagnostik berasaskan terapi sel dan kajian genom yang bertumpu terhadap usaha untuk melanjutkan jangka hayat manusia yang sihat dan berprestasi tinggi, telah diumumkan pada hari ini oleh pengasas bersama J. Craig Venter, Ph.D., Robert Hariri, M.D., Ph.D., serta Peter H. Diamandis, M.D.

Logo - http://photos.prnewswire.com/prnh/20140304/LA76169LOGO

Syarikat itu, yang beribu pejabat di San Diego, California menerima modal dengan pembiayaan pelabur permulaan sebanyak $70 juta.

Pembiayaan HLI sedang digunakan untuk membina pengendalian penjujukan manusia terbesar di dunia bagi mengumpulkan pangkalan data genotip, mikrobiom dan juga fenotip manusia paling menyeluruh dan lengkap yang wujud, bagi menangani penyakit yang dikaitkan dengan kemerosotan biologi manusia yang disebabkan penuaan. HLI juga sedang menerajui pembangunan terapeutik berasaskan sel bagi menangani kemerosotan disebabkan penuaan daripada segi fungsi sel stem endogen. Aliran hasil akan diterbitkan daripada pelesenan pangkalan data kepada organisasi farmaseutikal, bioteknologi dan akademik, penjujukan, serta pembangunan diagnostik dan terapeutik lanjutan.

"Dengan menggunakan gabungan kuasa bidang kepakaran teras kami – kajian genom, sains maklumat, serta terapi sel stem, kami sedang menangani salah satu cabaran perubatan/saintifik dan masyarakat yang terbesar – penuaan dan penyakit disebabkan penuaan," kata Dr. Venter. "HLI bakal mengubah cara ilmu perubatan diamalkan dengan membantu anjakan ke arah model perubatan yang berasaskan kajian genom dan lebih bersifat mencegah. Kami percaya ini akan mengurangkan kos penjagaan kesihatan. Matlamat kami tidak semestinya untuk memanjangkan hayat manusia, tetapi melanjutkan lagi jangka hayat yang lebih sihat, berprestasi tinggi dan juga lebih produktif."

HLI pada mulanya telah membeli dua Sistem Penjujukan Illumina HiSeq X Ten (dengan pilihan untuk membeli tiga sistem tambahan) untuk menjujukan sehingga 40,000 genom manusia setiap tahun, dengan rancangan untuk menaikkan skala dengan pantas sehingga 100,000 genom manusia setiap tahun. HLI akan menjujukan pelbagai jenis manusia – kanak-kanak, orang dewasa dan juga warga emas dan mereka yang berpenyakit serta mereka yang sihat.

HLI berada dalam kedudukan yang tersendiri untuk mengenal pasti penyelesaian terapeutik bagi mengekalkan tubuh yang sihat dan berprestasi tinggi dengan bertumpu terhadap bidang yang paling tersebar luas dan boleh diambil tindakan. HLI sedang memberi tumpuan terhadap kanser, diabetes dan juga obesiti, penyakit jantung dan hati, serta dementia dengan pasukannya yang terdiri daripada ahli sains dan doktor. Syarikat itu telah mewujudkan kolaborasi strategik dengan Metabolon Inc., Universiti California, San Diego, dan Institut J. Craig Venter (JCVI).

HLI sedang menumpukan usaha penjujukan klinikal awalnya terhadap kanser. Walaupun banyak pihak sedang menangani penyakit ini dengan menggunakan penjujukan gen dan teknologi maju lain, tiada usaha klinikal menyeluruh yang pernah dilakukan bagi menggabungkan titisan germa, penjujukan genom manusia dan penjujukan genom tumor berserta maklumat biokimia menyeluruh daripada setiap pesakit.

HLI dan UC San Diego telah menandatangani persetujuan penyelidikan kolaboratif bagi membangunkan protokol dan prosedur bagi membolehkan penjujukan dan analisis keseluruhan genom, mikrobiom dan juga tumor bagi pesakit penyelidikan UC San Diego yang telah memberi kebenaran. Matlamatnya adalah untuk menganalisis, menggunakan dan turut berkongsi data yang dihasilkan dengan objektif untuk meningkatkan kemampuan diagnostik serta menambah baik hasil kesihatan pesakit. Kolaborasi ini telah bermula dengan Pusat Kanser Moores UC San Diego yang diketuai Pengarah Scott Lippman, M.D. Syarikat itu ingin melanjutkan lagi persetujuan dan program sebegini dengan UC San Diego kepada pusat klinikal lain di seluruh dunia.

Pembangunan Pangkalan Data Genotip dan Fenotip Manusia: Data Mikrobiom dan Metabolom

Di samping data kajian genom yang didapati daripada penjujukan genom manusia lengkap, HLI juga akan menghasilkan data mikrobiom bagi kebanyakan individu ini melalui divisyen Penjagaan Kesihatan Biom mereka, di bawah pimpinan Karen Nelson, Ph.D. Nelson dan pasukan beliau mengetuai kajian mikrobiom manusia pertama ke atas usus manusia yang telah diterbitkan dalam jurnal Science pada tahun 2006.

Mikrobiom terdiri daripada semua mikrob yang tinggal di dalam dan atas badan manusia yang menyumbang kepada status kesihatan dan penyakit seseorang individu. Dengan memahami mikrobiom (usus, mulut, kulit, peparu dan tempat lain pada tubuh manusia) seseorang manusia dengan lebih mendalam, syarikat itu menjangka dapat membangunkan probiotik yang lebih baik dan pendekatan diagnostik serta terapeutik canggih yang lain bagi menambah baik kesihatan dan kesejahteraan.

Bersama data mikrobiom ini, HLI akan mendapatkan dan turut menganalisis data metabolom setiap individu. Metabolom ialah pelengkap penuh yang terdiri daripada metabolit, bahan biokimia dan juga lipid yang beredar di dalam tubuh manusia. HLI telah menandatangani persetujuan dengan Metabolon Inc., syarikat produk dan perkhidmatan diagnostik yang menawarkan platform pemprofilan biokimia, bagi mendapatkan maklumat ini daripada setiap sampel genom yang dikumpulkan oleh HLI. Kajian metabolom adalah penting kerana dengan mengkuantitikan dan memahami peredaran bahan kimia di dalam tubuh manusia, ini boleh membantu para penyelidik untuk mendapat gambaran yang lebih jelas tentang status kesihatan seseorang individu, dan turut menyediakan penanda dan laluan yang berkait dengan tindakan ubat.

Terapi Sel Stem

Syarikat itu bakal memulakan usaha berbilang penjuru yang bercita-cita tinggi dengan menggunakan kemajuan terapi sel stem bagi meningkatkan dan turut menambah baik jangka hayat sihat. Usaha HLI adalah berdasarkan premis teori yang mengatakan sambil tubuh manusia menua, banyak perubahan biologi turut berlaku, termasuk perubahan besar serta kemerosotan genom bagi sel khusus dan dibezakan yang ditemui di dalam semua tisu tubuh. Terdapat juga pengurangan dan kemerosotan populasi sel stem tumbuh semula yang sihat di dalam tubuh sambil masa berlalu. HLI akan memantau perubahan genom yang berlaku sewaktu pembezaan sel stem, penuaan normal, dan yang dikaitkan dengan pencetusan penyakit.

"Pasaran global untuk pemanjangan usia manusia sihat adalah sangat besar dengan jumlah perbelanjaan penjagaan kesihatan bagi mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas sudah pun meningkat sebanyak lebih $7 trilion," kata Dr. Hariri. "Kami percaya yang sains dan teknologi HLI yang tersendiri, bersama kepimpinan perniagaan kami, akan memberi impak positif ke atas pasaran penjagaan kesihatan dengan kaedah diagnostik dan terapeutik yang tidak pernah dicuba sebelum ini."

Kolaborasi Strategik Lain

HLI sedang menetapkan persetujuan perkhidmatan penyelidikan dan kolaborasi dengan JCVI yang merangkumi penentuan proteom, diagnosis penyakit berjangkit, dan juga mikrobiom manusia. Dr. Venter ialah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif JCVI yang merupakan peneraju dalam kajian genom manusia, mikrob serta sintetik. HLI akan melesenkan harta intelek daripada JCVI.

"Antara tahun 1910 dan 2010, kemajuan dalam perubatan dan penjagaan kesihatan awam telah memanjangkan jangka hayat manusia sebanyak 50 peratus daripada 50 tahun menjadi 75 tahun," kata Dr. Diamandis. "Kini, dengan kemunculan teknologi eksponen seperti yang dirintiskan dan dimajukan oleh HLI, kita mempunyai potensi untuk memanjangkan lagi jangka hayat manusia dengan lebih bermakna."

Latar belakang Human Longevity Inc. (HLI)

HLI, syarikat milikan swasta yang beribu pejabat di San Diego, California, telah diasaskan pada tahun 2013 oleh para perintis dalam bidang kajian genom dan terapi sel stem. Menggunakan kemajuan dalam penjujukan genom, mikrobiom manusia, penentuan proteom, sains maklumat, pengkomputeran, dan juga teknologi terapi sel, HLI sedang membina pangkalan data paling menyeluruh di dunia. Pangkalan data ini terdiri daripada genotip dan fenotip manusia sebagai asas untuk pelbagai peluang pengkomersilan untuk membantu menyelesaikan kemerosotan biologi manusia dan penyakit yang berkaitan dengan penuaan. HLI akan melesenkan akses kepada pangkalan datanya, dan turut membangunkan pendekatan diagnostik serta terapeutik baharu sebagai sebahagian daripada tawaran produk mereka. Bagi maklumat lanjut sila lawati www.humanlongevity.com

Source: Human Longevity Inc.
Keywords: Biotechnology Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Hispanic-oriented news