omniture

East Ventures lancar East Ventures - Digital Competitiveness Index 2023

East Ventures
2023-04-07 13:21 61

Daya saing digital semakin menjadi lebih sama rata, lalu merealisasikan negara digital yang saksama

  • East Ventures bersama-sama Katadata Insight Center (KIC) dan PwC Indonesia melancarkan East Ventures – Digital Competitiveness Index (EV-DCI) 2023 dengan tema "Negara digital saksama". Laporan tahun ini mengukur daya saing digital di 38 wilayah dan 157 bandar/kabupaten di Indonesia, telah menjadi laporan edisi keempat sejak ia mula dilancarkan pada tahun 2020.
  • Sejak pelancarannya, daya saing digital di seluruh wilayah di Indonesia terus menunjukkan trend positif. Walau bagaimanapun, pada tahun 2023, spread atau jurang antara skor wilayah tertinggi mengalami peningkatan ekoran pembahagian antara Wilayah Papua dan Papua Barat.
  • Laporan penyelidikan EV-DCI turut dilengkapi dengan keputusan tinjauan daripada 39 syarikat digital, analisis terhadap 8 sektor dan perspektif daripada 22 tokoh, selain mengukur daya saing digital di Indonesia.

JAKARTA, Indonesia, 7 April 2023 /PRNewswire/ -- East Ventures, sebuah firma modal teroka agnostik-sektor perintis yang telah menyokong lebih 300 syarikat teknologi di seluruh Asia Tenggara, bersama-sama Katadata Insight Center dan PwC Indonesia melancarkan East Ventures - Digital Competitiveness Index (EV-DCI, Indeks Daya Saing Digital) 2023 yang merupakan edisi ke-4 sejak ia mula dilancarkan pada tahun 2020. Laporan EV-DCI 2023 menunjukkan pengukuran daya saing digital Indonesia dengan tema "Negara digital saksama".

Pelancaran East Ventures - Digital Competitiveness Index 2023
Pelancaran East Ventures - Digital Competitiveness Index 2023

"Umumnya, penerimaan digital telah menjadi semakin sama rata di semua wilayah (kecuali wilayah-wilayah baharu) yang telahpun dipetakan oleh East Ventures selama empat tahun berturut-turut. Ia akan menjadi asas kukuh untuk infrastruktur digital Indonesia pada masa akan datang dan akan memupuk inovasi baharu di seluruh Indonesia. Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Indonesia yang mana pembangunan digital yang pesat dan sama rata berlaku di bawah kepimpinan Presiden Joko Widodo berserta semua peringkat kerajaan yang terlibat. Dengan infrastruktur digital yang kukuh dan saksama, pertumbuhan inovasi baharu dalam semua sektor adalah inklusif serta mampan dan sokongan daripada semua pihak berkepentingan, bermula daripada pelabur, pengasas, syarikat pemula, pengguna, syarikat swasta hinggalah Perusahaan Milik Negara Indonesia (SOE), kami bergerak dengan lebih pantas dan lebih hampir untuk mencapai sebuah negara yang saksama," kata Willson Cuaca, Pengasas Bersama dan Rakan Pengurusan di East Ventures.

EV-DCI 2023 menyediakan data berhubung daya saing digital merentas 38 wilayah dan 157 bandar/kabupaten di Indonesia. Daya saing digital di seluruh rantau di Indonesia terus menunjukkan trend positif. Ini boleh dilihat melalui skor EV-DCI 2023 38.5 yang meningkat berbanding tahun sebelumnya, iaitu 35.2 (2022) dan 2 tahun sebelumnya, iaitu 32.1 (2021).

Pengarah Katadata Insight Center, Adek Media Roza berkata peningkatan daya saing digital turut dialami di wilayah-wilayah di luar senarai 10 teratas. "Peningkatan nilai median selama 4 tahun berturut-turut menggambarkan peningkatan dalam daya saing digital, terutamanya di wilayah-wilayah berkedudukan pertengahan dan lebih rendah," kata Adek.

Nilai spread atau jurang antara skor wilayah tertinggi (DKI Jakarta - 76.6) dan terendah (Papua Tengah - 23.3) untuk EV-DCI 2023 ialah 53.2, turun berbanding tahun sebelumnya, iaitu 48.3 pada tahun 2022. Walau bagaimanapun, peningkatan dalam spread ini bukanlah ekoran ekuiti pendigitalan yang semakin memburuk, sebaliknya pembahagian antara Wilayah Papua dan Papua Barat.

Laporan EV-DCI turut dilengkapi dengan keputusan daripada tinjauan terhadap 39 syarikat digital, analisis 8 sektor serta perspektif daripada 22 tokoh. Perspektif ini melibatkan penggubal dasar kerajaan, termasuk Naib Presiden Republik Indonesia, Menteri Penyelaras untuk Hal Ehwal Ekonomi, Menteri Penyelaras untuk Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Menteri Koperasi dan PKS, Menteri Kesihatan dan lain-lain. Di samping itu, ia turut melibatkan perspektif daripada pengasas-pengasas syarikat pemula seperti Presiden Traveloka, Ketua Pegawai Eksekutif KoinWorks, Ketua Pegawai Eksekutif Nusantics dan sebagainya.

Tokoh-tokoh ini memberi perspektif dalam mengukuhkan usaha untuk meningkatkan ekonomi digital ke arah menjadi sebuah negara digital yang saksama. Tokoh-tokoh ini menekankan langkah-langkah serta strategi-strategi yang diambil oleh mereka untuk mencapai matlamat ini.

Menteri Penyelaras untuk Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan berkata bahawa kerajaan terus menggalakkan pengusaha telekomunikasi untuk membina infrastruktur rangkaian dengan aktif ke kawasan terpencil. Melalui projek Palapa Ring dan satelit berbilang fungsi Satria, kerajaan turut terlibat dalam menyediakan rangkaian tulang belakang. Dari segi hiliran, kerajaan berkolaborasi dengan beberapa rakan kongsi untuk menyediakan latihan kemahiran teknologi digital.

Kerajaan turut menjalankan latihan literasi dan bimbingan perniagaan agar PMKS celik dalam pemasaran digital melalui program Bangga Buatan Indonesia. Perkara yang paling penting, kerajaan memerlukan dasar yang berkaitan dengan isu-isu penyelarasan antara kerajaan Tengah dan Serantau, yang seringkali tidak sejajar.

Menteri Penyelaras untuk Ekonomi, Airlangga Hartarto berharap agar pertumbuhan digital dapat dinikmati oleh semua rakyat Indonesia. "Ekonomi digital dijangka mempunyai ekonomi yang inklusif, tangkas, mampan serta dapat memastikan agar rakyat Indonesia dapat memanfaatkan pertumbuhan digital ini. Dalam kerangka untuk membangunkan ekonomi digital 2022-2030, ini pastinya dapat menyumbang untuk mencapai visi Indonesia pada tahun 2045."

KOLABORASI KE ARAH NEGARA DIGITAL YANG SAKSAMA

Ekonomi digital Indonesia sedang mengalami pertumbuhan yang disokong oleh penggunaan yang kukuh dan pendigitalan yang semakin meluas. Hal ini tidak dapat dipisahkan daripada kolaborasi pelbagai pihak berkepentingan dalam pelbagai sektor. Kerajaan dan sektor swasta saling bekerjasama untuk mengekalkan pembangunan pendigitalan dalam sektor-sektor penting seperti teknologi kewangan (fintech), logistik, teknologi pendidikan (edutech) dan teknologi kesihatan (healthtech).

Kolaborasi bersama sektor swasta sebagai satu komitmen untuk merealisasikan keadilan digital dijelaskan melalui beberapa wawancara yang dijalankan dalam penyediaan laporan ini. Menteri Koperasi dan PKS, Teten Masduki yang menggalakkan transformasi digital PMKS melalui kolaborasi dengan e-dagang. Di samping itu, Menteri Penyelaras Ekonomi, Airlangga Hartarto, menggalakkan sebuah persekitaran untuk inovasi buat pengusaha-pengusaha syarikat pemula. Sementara itu, bagi Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Sandiaga Uno, kolaborasi bersama syarikat pemula merupakan satu keperluan.

Pertumbuhan ekonomi digital terus menunjukkan trend positif, yang mana untuk menghadapi tahun 2023, strategi yang tepat untuk mengekalkan pembangunan ekonomi digital di Indonesia ialah: (1) pengagihan pendigitalan yang sama rata, (2) mengukuhkan asas-asas perniagaan, (3) meningkatkan kolaborasi dan (4) pelaksanaan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

"Usaha Indonesia untuk mencapai digital yang saksama memerlukan kolaborasi daripada semua pihak berkepentingan. Pihak berkepentingan dalam ekosistem ekonomi digital terdiri daripada syarikat pemula dan juga syarikat konvensional, kerajaan, pelabur serta orang awam. Bentuk kolaborasi boleh diarahkan untuk menyamakan usaha pendigitalan, mengukuhkan asas-asas perniagaan dan melaksanakan strategi kemampanan melalui ESG. Tindakan ini dijangka dapat meningkatkan kecekapan dalam mencipta nilai tambahan yang menyokong pewujudan kesamarataan ekonomi digital yang akan membawa kepada peningkatan dalam ekonomi negara secara keseluruhan," kata Radju Munusamy, Rakan Kongsi dan Pemimpin NextLevel PwC Indonesia.

Willson menambah: "Masih terdapat banyak lagi 'kerja rumah' untuk disiapkan dan cabaran yang harus ditangani oleh semua pihak berkepentingan. Kami akan terus menyokong pengagihan yang sama rata bagi daya saing digital di Indonesia dan mengambil bahagian dalam membangunkan ekonomi digital Indonesia melalui pelbagai pelaburan dan inisiatif atau program kami."

LATAR BELAKANG SKOR EAST VENTURES - DIGITAL COMPETITIVENESS INDEX 2023

EV-DCI ialah pemetaan daya saing digital serantau yang terbentuk daripada tiga sub-indeks, sembilan tonggak dan 50 penunjuk. Sub-indeks konstituennya ialah input, output dan sokongan, dengan tonggak yang terdiri daripada sumber manusia, penggunaan ICT, perbelanjaan ICT, ekonomi, keusahawanan dan produktiviti, tenaga kerja, infrastruktur, kewangan serta peraturan dan kapasiti kerajaan serantau.

Wilayah dengan skor EV-DCI 2022 tertinggi masih dipegang oleh DKI Jakarta, dengan skor 76.6. Sementara itu, kedudukan kedua dan ketiga pula diduduki oleh Jawa Barat dan DI Yogyakarta dengan skor 62.2 dan 54.2. Di samping itu, Jawa Tengah kembali ke dalam senarai 10 teratas yang berada di kedudukan ke-6 dengan peningkatan skor sebanyak 10.1, dengan skor EV-DCI 2023 48.1. Sementara itu, Sumatera Utara turut menyertai senarai 10 teratas dengan peningkatan skor 5.7.

Beberapa wilayah di luar Jawa turut mengalami peningkatan yang agak bagus dari segi daya saing digital. Sebagai contoh, Jambi mengalami peningkatan tertinggi dalam penilaian EV-DCI 2023 berbanding tahun sebelumnya, mendaki kedudukan dari tangga ke-30 kepada ke-14. Jambi mengalami peningkatan skornya iaitu daripada 8.0 kepada 39.8. Kepulauan Bangka Belitung dan Kalimantan Barat turut menunjukkan peningkatan yang signifikan dalam daya saing digital; masing-masing meningkat 12 kedudukan.

Laporan EV-DCI 2023 boleh dimuat turun di east.vc/DCI.

Latar Belakang East Ventures

East Ventures ialah sebuah firma modal teroka agnostik-sektor perintis dan terkemuka. Ditubuhkan pada tahun 2009, East Ventures telah berubah menjadi platform holistik yang menyediakan pelaburan pelbagai peringkat, pelaburan peringkat Benih hingga Pertumbuhan untuk lebih 300 syarikat teknologi di seluruh Asia Tenggara

Sebagai sebuah syarikat yang percaya di peringkat awal mengenai ekosistem syarikat pemula di Indonesia, East Ventures merupakan pelabur pertama dalam syarikat-syarikat unikorn Indonesia, iaitu Tokopedia dan Traveloka. Syarikat-syarikat terkemuka lain dalam portfolio East Ventures termasuk Ruangguru, SIRCLO, Kudo (diperoleh oleh Grab), Loket (diperoleh oleh Gojek), Tech in Asia, Xendit, IDN Media, MokaPOS (diperoleh oleh Gojek), ShopBack, KoinWorks, Waresix dan Sociolla.

East Ventures dinamakan sebagai dana modal teroka (VC) berprestasi terunggul yang paling konsisten di peringkat global oleh Preqin dan pelabur yang paling aktif di SEA dan Indonesia oleh pelbagai media. Tambahan pula, East Ventures ialah firma modal teroka pertama di Indonesia yang menandatangani Prinsip-prinsip Pelaburan Bertanggungjawab (PRI) yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). East Ventures komited untuk mencapai pembangunan mampan dan membawa impak positif kepada masyarakat melalui inisiatif dan amalannya yang diterapkan dengan ESG.

Pelancaran East Ventures - Digital Competitiveness Index 2023
Pelancaran East Ventures - Digital Competitiveness Index 2023

 

Source: East Ventures
Keywords: Banking/Financial Service Computer/Electronics