SINGAPURA, 6 Mei 2023 /PRNewswire/ -- Nanyang Business School (NBS) Nanyang Technological University, Singapura (NTU Singapura) melancarkan sebuah pusat baharu untuk menggalakkan kajian akademik terhadap kewangan mampan dan inovasi kewangan, memandangkan perubahan iklim dan kepesatan teknologi membawa cabaran baharu untuk perniagaan dan juga institusi kewangan.
From left : Associate Professor Cindy Xin Deng(NTU), Mr David Day(LSEG), Professor Simba Xing Chang (NTU), Mr Tan Chuan-Jin(Speaker of the Parliament of Singapore), and Professor Christina Soh (NTU)
Centre for Sustainable Finance Innovation (CSFI) akan menjalankan aktiviti-aktiviti akademik dan penyelidikan bagi membangunkan penyelesaian untuk masalah dunia sebenar menerusi kemampanan dan teknologi, dua daya penggerak asas yang membentuk masa depan perkhidmatan kewangan. Oleh yang demikian, Pusat berkenaan bermatlamat untuk memimpin kajian termaju dalam dua pemacu kembar masa depan ini untuk mewujudkan kumpulan bakat yang tangkas sebagai sokongan untuk membangunkan kewangan mampan dan Fintech (Teknologi Kewangan) di Singapura.
Pusat berkenaan akan mengkaji bagaimana perubahan iklim dan cabaran alam sekitar mengakibatkan syarikat-syarikat beralih kepada pertumbuhan mampan serta perubahan modal dan pelaburan yang berlaku menerusi perubahan asas kepada industri ini.
Ia juga akan meninjau sejauh mana inovasi kewangan yang dicipta oleh pembangunan teknologi boleh dilakukan dengan cara yang berhemah dan mampan memandangkan produk, perkhidmatan atau teknologi kewangan baharu yang meningkatkan produktiviti sektor kewangan mungkin turut menguji kerentanan dan kebingkasan sistem kewangan.
CSFI dilancarkan di Distinguished Speaker Series NBS Knowledge Lab Dean, yang menampilkan penceramah jemputan En. Tan Chuan-Jin, Speaker bagi Parlimen Singapura. Dalam satu sesi yang dikendalikan oleh Dekan NBS, Profesor Christina Soh, En. Tan membincangkan bagaimana pengawasan, perancangan strategik dan kemampanan adalah kritikal baik untuk kejayaan jangka panjang organisasi mahupun negara.
Profesor Soh, juga merupakan Naib Presiden NTU (Pembangunan Strategi & Kepimpinan), berkata: "Singapura sentiasa berada di barisan hadapan inovasi dan pelancaran Centre for Sustainable Finance Innovation menunjukkan komitmen NTU untuk membentuk masa depan kewangan. Di Nanyang Business School, kami percaya inovasi mampan bukan sahaja merupakan kunci untuk menangani cabaran global, tetapi juga pemacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang penting. Melalui CSFI, kami menyasarkan untuk memanfaatkan kepakaran kami dalam bidang kewangan, inovasi dan kemampanan bagi memacu perubahan positif dan mencipta dunia yang lebih baik."
Projek-projek penyelidikan yang sedang dijalankan ketika ini di CFSI termasuk analisis cukai karbon dan sistem perdagangan emisi; mengkaji bagaimana negara-negara yang mencapai pembangunan Fintech termaju mengalami lantunan kadar pertumbuhan KDNK yang lebih pantas dan pemulihan guna tenaga yang lebih tangkas semasa pandemik; dan menyelidik kesan sebab akibat capaian kredit ke atas turun naik firma.