omniture

CGTN: Mengapa China dapat melaksanakan projek pelencongan air mega?

CGTN
2023-06-02 22:47 41

BEIJING, 2 Jun 2023 /PRNewswire/ -- Kira-kira tiga perempat daripada bekalan air Beijing datangnya dari takungan di lebih 1,000 kilometer di selatan ibu negara China.

Takungan tersebut ialah Danjiangkou, titik permulaan bagi laluan tengah Projek Pelencongan Air Selatan-ke-Utara China, yang terbesar seumpamanya di dunia. Paras air takungan di Sungai Hanjiang itu telah dinaikkan 14.6 meter kepada 176.6 meter, agar air itu, didorong oleh graviti, dapat mengalir ke hilir menuju kawasan utara yang terdedah kepada kemarau. Projek besar-besaran ini memberi manfaat kepada lebih 150 juta penduduk sejak lapan tahun yang lalu, menurut Kementerian Sumber Air China.

Projek Pelencongan Air Selatan-ke-Utara ini mempunyai tiga laluan. Laluan tengah merupakan lalun yang paling penting antara ketiga-tiganya ekoran peranannya untuk membekalkan air kepada ibu negara. Bermula dari Takungan Danjiangkou di Wilayah Hubei, bahagian tengah China, ia mengalir merentas wilayah Henan dan Hebei sebelum tiba ke kawasan perbandaran Beijing dan Tianjin. Ia mula membekalkan air pada Disember 2014.

Laluan timur memulakan operasi pada November 2013, memindahkan air dari Wilayah Jiangsu, timur China untuk membekalkan air ke kawasan-kawasan termasuk Perbandaran Tianjin dan Wilayah Shandong.

Laluan barat sedang dalam peringkat perancangan dan masih belum dibina.

Bagi mana-mana negara, pembinaan projek mega sedemikian merupakan satu cabaran besar, dengan kesukaran bermula daripada kejuruteraan hingga pemuliharaan ekologi dan penempatan semula penduduk secara besar-besaran sepanjang laluan itu.

Di Daerah Xichuan, Bandar Nanyang, Wilayah Henan, seramai 367,000 orang dipindahkan untuk menampung projek tersebut.

Penduduk Kampung Zouzhuang di daerah itu, yang dahulunya menanam jagung dan gandum, kini mencari rezeki dengan mengurus dusun pokok buah kiwi. Dengan bantuan pihak berkuasa tempatan, mereka memperoleh lebih banyak wang berbanding sebelum ini, kata Zou Yuhua, seorang pegawai di kampung itu.

Bagaimana China mengatasi kesukaran ini dan menjadikan projek mega ini suatu kenyataan? Banyak faktor yang menyumbang kepada hasil yang mengagumkan itu, namun kuncinya ialah kepimpinan Parti Komunis China (CPC).

"Selagi mana prinsip-prinsip asas dijunjung, semua tugas akan terlaksana," kata Presiden Cina Xi Jinping, yang juga merupakan setiausaha agung Jawatankuasa Pusat CPC, di mesyuarat pelancaran kempen pembelajaran dan pendidikan sejarah Parti pada Februari 2021, menegaskan kepentingan menjunjung kewibawaan dan kepimpinan Jawatankuasa Pusat CPC yang terpusat dan disatukan.

Keajaiban China

"Selagi mana prinsip-prinsip asas dijunjung, semua tugas akan terlaksana."

Pepatah ini berasal daripada "Lyu Shi Chun Qiu" atau "Catatan Sejarah Musim Bunga dan Musim Luruh Mahaguru Lyu", teks klasik Cina komprehensif yang disusun sekitar 239 SM di bawah naungan Lyu Buwei, perdana menteri Kerajaan Qin. Secara literalnya ia bermaksud sebaik sahaja anda membuka tali jaring yang utama, segala-galanya terlerai, menunjukkan bahawa anda mesti memahami kunci seluruh situasi agar semuanya akan terkawal dan anda akan memperoleh hasil yang diingini.

Pepatah tersebut menunjukkan logik di sebalik sistem politik China pada hari ini dan menjelaskan mengapa negara ini dapat melaksanakan projek-projek mega seperti Projek Pelencongan Air Selatan-ke-Utara. Dalam sistem Cina, sel-sel Parti memainkan peranan penting di mana-mana sahaja dalam ekonomi dan masyarakat, bermula daripada peringkat paling atas hingga kampung. Justeru itu, di bawah kepimpinan CPC, seluruh masyarakat berusaha pada arah yang sama dan memenuhi kepentingan rakyat.

Inilah keajaiban China, yang mana solidariti antara 1.4 bilion rakyatnya menjadikan perkara yang sukar dapat dicapai.

"Kita harus mendukung dan mengukuhkan kepimpinan Jawatankuasa Pusat Parti yang terpusat dan disatukan," kata Xi semasa menyerahkan laporan kepada Kongres Kebangsaan CPC ke-20 Oktober lalu.

"Kami akan menambah baik sistem kepimpinan yang melaluinya pihak Parti akan melaksanakan kepimpinan keseluruhan dan menyelaraskan usaha oleh semua pihak," kata beliau. "Ini akan mengekalkan solidariti dan kesatuan Parti."

Kepimpinan Parti merupakan kunci kepada penempatan semula penduduk kampung yang lancar di Daerah Xichuan. Bagi membantu mereka membina kehidupan yang baharu dan lebih baik, pihak berkuasa tempatan menyediakan latihan teknikal untuk penanaman pokok buah kiwi dan menganjurkan jualan kolektif melalui koperasi. Menurut Zou Yuhua, Kampung Zouzhuang menyasarkan untuk meluaskan kebun daripada 33 hingga 40 hektar ketika ini kepada 200 hektar pada masa akan datang.

Penduduk kampung berpuas hati dengan apa yang mereka ada hari ini. "Kini, hampir setiap keluarga memiliki sebuah kereta," kata Zou, menyifatkan penempatan semula itu sebagai satu peluang yang baik untuk penduduk kampung.

https://news.cgtn.com/news/2023-06-01/Why-can-China-accomplish-a-mega-water-diversion-project--1kh6jaRlydG/index.html

https://youtu.be/U9Kl-HLDNKo

 

Source: CGTN
Keywords: Computer/Electronics Multimedia/Online/Internet Publishing/Information Service Utilities Water Utilities Public Interest