omniture

Sijil Kerjaya (IBCC) International Baccalaureate Sertai Senarai Pendek untuk Anugerah WISE 2014

The International Baccalaureate
2014-04-24 01:28 128

THE HAGUE, 24 April 2014 /PRNewswire/ -- International Baccalaureate (IB) pada hari ini telah disertakan dalam senarai pendek untuk menerima Anugerah WISE (Sidang Kemuncak Inovasi Dunia untuk Pendidikan) berprestij yang mengiktiraf projek pendidikan antarabangsa inovatif yang dapat mengubah masyarakat. Sijil Kerjaya IB (IBCC) merupakan salah satu daripada lima belas peserta akhir dalam senarai pendek tersebut. Enam pemenang keseluruhan daripada senarai tersebut pula akan diumumkan pada bulan September ini.

(Logo: http://photos.prnewswire.com/prnh/20140422/683164-a)
(Foto: http://photos.prnewswire.com/prnh/20140422/683164-b)

Apabila menerima berita tersebut, Dr Siva Kumari, Ketua Pengarah IB mengulas, "Kami amat berbesar hati kerana program IB telah disertakan dalam senarai pendek oleh Juri WISE. Kami amat menghargai penghargaan berprestij ini terhadap pendekatan IB untuk menangani segala cabaran global dalam bidang pendidikan, termasuklah krisis peningkatan kadar pengangguran golongan belia dan jurang kemahiran dalam kalangan belia. Perubahan dramatik amat diperlukan terhadap pendekatan tradisi yang melibatkan kerjaya serta pendidikan industri. IBCC memastikan lebih ramai pelajar akan muncul dengan minda bercorak antarabangsa, berfikiran kritikal dan turut mempunyai kemahiran komunikasi yang lebih baik, berserta kursus akademik yang teliti. Dalam konteks ekonomi global, perspektif global, pembelajaran berterusan serta kemahiran analisis sebegitu menjadi keperluan mendesak."

Sijil Kerjaya merupakan salah satu daripada empat program yang ditawarkan oleh IB, yang telah dilancarkan pada tahun 2012 dan disasarkan terhadap para pelajar yang memilih laluan pengajian kerjaya pada dua tahun terakhir sekolah menengah. Dengan menggabungkan akademik yang teliti bersama program berkaitan kerjaya berasaskan sekolah, IBCC menyediakan para pelajar untuk mendapatkan kerjaya hebat dalam dunia yang kian berkembang pantas masa kini.

Ini juga amat berkesan dalam persekitaran yang tinggi kadar penganggurannya di dunia. Salah satu contoh ialah wilayah Kent di UK, dengan kadar pengangguran belia yang telah meningkat naik, sehingga mencecah 27 peratus di beberapa kawasan. Paul Luxmoore, Guru Besar eksekutif di Dane Court Grammar School, menjelaskan, "Kami melaksanakan IBCC sebagai wadah untuk mengubah masyarakat serta meningkatkan aspirasi setiap pelajar di kawasan berkaitan dan usaha ini sedang membuahkan hasilnya." Fakta menunjukkan kejayaan program tersebut: bagi pelajar yang telah tamat program IBCC, laporan daripada pihak sekolah menyatakan 70 peratus pelajar akan melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi atau latihan yang kebanyakannya tidak pernah menjadikannya matlamat sebelum ini, manakala 29 peratus pelajar pula akan mula membina kerjaya.

Sehingga ke saat ini, IBCC telah dilaksanakan di 73 sekolah di 14 negara. Hasil program tersebut menunjukkan para pelajar telah beroleh manfaat daripada kombinasi subjek akademik serta pembelajaran berkaitan kerjaya. "Fasa pertama program tersebut adalah amat positif," ujar Dr Kumari. "Kami terus mencari kaedah terbaik untuk mengembangkan skop ini bagi melibatkan lebih banyak sekolah serta mencapai lebih ramai pelajar. Mereka boleh mendapatkan pendidikan yang meluas dan anjal yang dapat menyediakan mereka dengan pengetahuan, latihan amali, penglibatan intelektual dan juga pemikiran antarabangsa yang agak sukar dicapai dalam program sebegitu, lalu mengasah kemahiran kognitif yang lebih tinggi dan turut memupuk tingkah laku akademik yang dapat meningkatkan peluang pekerjaan. Ini dapat mengubah persepsi mereka terhadap dunia."

http://www.ibo.org

http://www.wise-qatar.org/awards

SUMBER  The International Baccalaureate

Source: The International Baccalaureate
Keywords: Education Higher Education Awards