DOHA, Qatar, 1 Mei 2014 /PRNewswire/ --
Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad (HIA) yang baharu di Qatar hari ini mengalu-alukan kedatangan para penumpang yang tiba buat julung kalinya di hab penerbangan terbaharu dunia ini. Sidang akhbar telah diadakan awal hari ini di terminal penumpang HIA bagi menandakan pelancaran lapangan terbang tersebut. Acara tersebut telah dihadiri oleh Tuan Yang Terutama En. Jassim Saif Ahmed Al Sulaiti, Menteri Pengangkutan, ahli Jawatankuasa Pemandu Lapangan Terbang Antarabangsa Doha Baharu (NDIA), para tetamu serta wartawan.
(Foto: http://photos.prnewswire.com/prnh/20140501/685169)
Kapal terbang Qatar Airways merupakan yang pertama untuk mendarat secara rasminya di Landasan Timur. Kapal terbang tersebut membawa Menteri Pengangkutan, ahli lembaga Jawatankuasa Pemandu NDIA serta perwakilan lain dan turut menerima Tabik Hormat oleh Jabatan Perkhidmatan Penyelamat Kebakaran Lembaga Penerbangan Awam Qatar.
Bermula pada hari ini, sepuluh syarikat pengangkutan akan memulakan operasi di luar terminal penumpang HIA, bersama syarikat pengangkutan lain termasuk syarikat pengangkutan kebangsaan Qatar Airways yang dijangka akan berpindah ke lapangan terbang baharu pada 27 Mei 2014.
"HIA merupakan hab penerbangan bertaraf dunia yang dibina dengan tujuan untuk memenuhi keperluan penerbangan dan penumpang yang terus berkembang pada abad ke-21 ini," kata Tuan Yang Terutama En. Abdul Aziz Mohammad Al-Noaimi, Pengerusi Jawatankuasa Pemandu NDIA. "Malah, kapasitinya pada hari pelancaran boleh memuatkan seramai 30 juta penumpang setiap tahun, melebihi perancangan asal. Kapasiti asalnya telah diperluas untuk menampung peningkatan transit yang berlaku di Qatar sepanjang dekad yang lalu ini," beliau berkata lagi.
Bandar Lapangan Terbang dan HIA (termasuk projek NDIA) adalah seluas 29 kilometer persegi, 60 peratus di atas tanah yang ditebus guna dari Teluk Arab. Projek tersebut merangkumi 100 bangunan dengan pelbagai kegunaan. Terminal Penumpang mempunyai kawasan dalaman yang amat luas iaitu 600,000 meter persegi dan turut mempunyai 3 ruang legar serta 33 pintu pagar dan tidak lama lagi akan ditambah kepada lima ruang legar serta 65 pintu pagar, termasuklah lapan untuk A380 dalam pembinaan akhir.
Apabila dibuka sepenuhnya, terminal itu turut mempunyai 16 ruang istirahat, 26 pameran seni, lebih 100 kedai runcit serta kedai makanan & minuman, hotel transit, kolam renang, spa mewah, gelanggang skuasy dan juga kemudahan katering empat tingkat yakni salah satu yang terbesar di dunia. Masjid awam di tapak itu juga boleh memuatkan seramai 500 jemaah pada setiap waktu solat.
"Pelancaran lapangan terbang baharu ini memperlihatkan pencapaian wawasan yang telah lama diharapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani, Bapa Amir, dan telah berjaya direalisasikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Amir Qatar," ujar Al-Noaimi. "HIA akan menjadi sumber kebanggaan dan kegembiraan seluruh rakyat Qatar untuk beberapa dekad akan datang. Ia akan turut memberikan pengalaman berharga kepada kesemua penumpang yang akan terbang menerusi pintu pagarnya; pengalaman yang mencerminkan status dan kepentingan Qatar kepada dunia perjalanan dan pelancongan."
Bagi maklumat lanjut sila hubungi:
Perhubungan Awam Memac Ogilvy
Cik JoAnn N. KHARMA
T: +974-4410-3023
B: +974-5542-4503
E-mel: joann.kharma@ogilvy.com
SUMBER Jawatankuasa Pemandu Lapangan Terbang Antarabangsa Doha Baharu (NDIA)