omniture

Singapura Anjur Kongres Dermatologi Dunia ke-25 - Pertama di Asia Tenggara, Menarik Lebih 11,000 Delegasi untuk Membincangkan Perkembangan Baharu dalam Kajian dan Rawatan Kulit

25th World Congress of Dermatology (WCD2023)
2023-07-06 12:35 130

Bertemakan 'Dermatologi Melangkaui Sempadan', WCD2023 ialah salah satu konvensyen perubatan antarabangsa terbesar di rantau ini dan bersedia untuk menghimpunkan lebih 11,000 delegasi tempatan dan asing, termasuk doktor, saintis, ahli profesional rawatan kesihatan yang lain serta rakan kongsi industri merentas 130 negara untuk mendedahkan kemajuan baharu dalam dermatologi dan kajian kulit

SINGAPURA, 6 Julai 2023 /PRNewswire/ -- Buat julung kalinya di Asia Tenggara, Singapura menganjurkan Kongres Dermatologi Dunia, kongres dermatologi yang paling berprestij dan berpengaruh di dunia. Kongres Dermatologi Dunia ke-25 (WCD2023) berlangsung di Singapura bertempat di Pusat Konvensyen & Pameran Singapura Suntec hari ini dan akan berjalan hingga 8 Julai 2023.

Dihoskan oleh Dermatological Society of Singapore (DSS) di bawah naungan International League of Dermatological Societies (ILDS), WCD2023 telah menarik minat lebih daripada 11,000 delegasi ke Singapura dan dijangka membawa masuk S$28 juta penerimaan pelancongan untuk Republik ini. Organisasi-organisasi sokongan lain ialah National Skin Centre dan Skin Research Institute of Singapore. Sokongan industri adalah luar biasa, dengan lebih 17 penaja utama dan 95 pempamer mengambil bahagian.

Program saintifik kongres itu akan menjadi meluas dan pelbagai dengan 208 simposium, 15 ucapan dasar, 24 kursus dan 19 forum pakar, antara lain. Ia akan menonjolkan kemajuan dermatologi yang signifikan dan meninjau isu-isu perubatan dan saintifik yang berkaitan dengan seni dan sains dermatologi.

WCD telah menjadi persidangan dermatologi antarabangsa yang terkemuka selama lebih 130 tahun. Sejak penubuhannya pada tahun 1889, WCD telah merentas dunia di 19 bandar. Selaras dengan temanya 'Dermatologi Melangkaui Sempadan', WCD2023 berusaha untuk meluaskan perbatasan dermatologi, meningkatkan penglibatan pesakit dan komuniti; merentas sempadan, fizikal dan masyarakat serta menjadi persidangan inklusif yang meraikan kepelbagaian.

"Tatkala kita bangkit daripada tempoh kegawatan kesihatan dan ekonomi, WCD2023 akan menjadi jauh lebih penting dalam menyatukan semula pakar-pakar perubatan dan saintifik tatkala kami merangka laluan baharu ke hadapan. Ini merupakan kali pertama WCD2023 akan diadakan di Singapura, serta Asia Selatan dan Asia Tenggara, yang menjadi tumpuan populasi seramai 2.3 bilion orang dan lebih 30,000 pakar dermatologi," kongsi Profesor Roy Chan, Presiden Kongres Dermatologi Dunia ke-25.

Profesor Roy Chan menambah, "Diadakan setiap empat tahun, WCD sering dirujuk sebagai 'Olimpik Dermatologi'. Dengan menyediakan sebuah forum untuk pakar dari seluruh pelosok dunia, kami berharap agar WCD2023 akan berupaya memangkinkan idea, meningkatkan kolaborasi dan mewujudkan semula rangkaian yang akan meluaskan sempadan pengetahuan dermatologi dan sains kulit."

Sebagai WCD pertama yang akan diadakan di kawasan tropika, kongres itu bertujuan untuk memfokuskan pada penyakit-penyakit yang berkaitan. Akan terdapat sesi-sesi yang membincangkan tentang kesihatan kulit pendatang dan pelarian, penyakit kulit tropika yang diabaikan dan penyakit pada kulit berwarna. Sesi-sesi ini akan turut menonjolkan kepentingan penyakit kulit yang berkaitan dengan penderitaan manusia dan perubahan iklim, kesihatan kulit global dan penjagaan dermatologi di negara-negara kurang mendapat perkhidmatan serta selatan global.

Sorotan Penting untuk 'Dermatologi Melangkaui Sempadan' WCD2023

Bidang dermatologi yang luas akan dibincangkan semasa tempoh kongres itu – bermula daripada psoriasis, ekzema, kanser kulit, dermatologi estetika dan prosedur untuk penyakit rambut dan kuku, gangguan pigmen, patologi dan jangkitan. Sesi-sesi simposium yang komprehensif akan membincangkan sains asas, epidemiologi, diagnosis dan pengurusan bidang dermatologi yang dinyatakan.

Bagi menggalakkan dialog dinamik yang berkisarkan sekitar bidang dermatologi yang penting, kongres itu akan turut menampilkan pembentangan gaya debat yang merangsang fikiran berhubung kontroversi dalam dermatologi, mencabar kenyataan yang menimbulkan perbalahan atau dipertikaikan dalam bidang ini. Forum pakar akan membolehkan perbincangan mendalam diadakan sekali gus menggalakkan penyertaan khalayak. Di samping itu, kursus-kursus didaktik akan diadakan untuk peserta yang ingin meluaskan kepakaran mereka dalam bidang dermatologi tertentu.

"Singapura berbesar hati untuk menganjurkan Kongres Dermatologi Dunia (WCD) pertama Asia Tenggara. Sebagai gerbang kepada Asia Pasifik yang berkembang pesat, tumpuan Singapura pada inovasi, sains kesihatan dan teknologi perubatan (Medtech) menjadikan kami tuan rumah yang ideal untuk WCD2023. Tatkala kami membayangkan semula industri acara perniagaan, kami berharap dapat bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi seperti International League of Dermatological Societies yang mengutamakan kongres yang mampan dan peneraju dalam bidang kemajuan perubatan di peringkat global," kata Dr Edward Koh, Pengarah Eksekutif, Konvensyen, Mesyuarat & Perjalanan Insentif, Singapore Tourism Board.

Pada tahun ini, WCD2023 turut memperkenalkan Dasar Hijau WCD2023 untuk mewujudkan garis panduan dan prinsip yang jelas untuk semua pembuatan keputusan, perancangan acara, pengeluaran dan penyertaan sepanjang persidangan itu. Sejajar dengan manifesto kemampanan ini, kongres berkenaan turut menyokong pergerakan OneMillionTrees di Singapura untuk menyumbang bagi memulihkan alam semula jadi dan menanam satu juta batang pokok tambahan sepanjang 10 tahun akan datang.

Anda boleh mengakses kit akhbar DI SINI dan mendapatkan maklumat lanjut di laman web rasmi di wcd2023singapore.org.

Latar Belakang Kongres Dermatologi Dunia ke-25

Kongres Dermatologi Dunia (WCD) ialah persidangan dermatologi antarabangsa terkemuka yang menjangkau 130 tahun sejarah. Sejak penubuhannya pada tahun 1889, WCD telah merentas dunia di 19 bandar, menghimpunkan pakar dermatologi, saintis, penyelidik dan ahli profesional industri dari serata dunia.

Diadakan di Asia Selatan dan Asia Tenggara buat julung kalinya, WCD2023 yang dianjurkan oleh Singapura bertemakan 'Dermatologi Melangkaui Sempadan'. Sebagai yang pertama diadakan di sebuah bandar tropika, kongres ini akan menumpukan untuk memberi penerangan tentang kulit berwarna, menarik perhatian tentang kepentingan penyakit kulit yang berkaitan dengan penderitaan dan morbiditi manusia, kesihatan kulit global dan penjagaan dermatologi di negara-negara yang kurang mendapat perkhidmatan serta selatan global. WCD2023 bertujuan untuk memberi tumpuan pada aspek-aspek klinikal, saintifik, sosial dan budaya terkini terhadap dermatologi dan bidang-bidang yang berkaitan sekali gus meningkatkan penglibatan pesakit dan komuniti serta menggalakkan pemahaman tentang sains asas, translasi dan pelaksanaan untuk merangka laluan baharu ke hadapan untuk industri ini secara keseluruhan.

Source: 25th World Congress of Dermatology (WCD2023)
Keywords: Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Trade show news