Pengunjung Kemboja ke China boleh membuat pembayaran QR UnionPay dengan e-dompet dari negara asal
SHANGHAI, 11 Julai 2023 /PRNewswire/ -- Hari ini, UnionPay International (UPI) dan National Bank of Cambodia menandatangani Memorandum Persefahaman di Phnom Penh, ibu negara Kemboja. Kedua-dua pihak bersetuju untuk mempromosikan kebolehoperasian kod QR bagi menyokong pembayaran mudah alih rentas sempadan penduduk kedua-dua negara dengan lebih baik. Menerusi kolaborasi ini, penduduk Kemboja dapat membuat pembayaran menggunakan e-dompet dari negara asal mereka melalui rangkaian QR global UnionPay termasuk di China, bagi memenuhi keperluan mereka terhadap pembayaran mudah alih apabila mereka melawat China atau tempat lain. Maklumat pembayaran UnionPay akan disepadukan ke dalam QR Kemboja supaya peniaga QR tempatan juga boleh menerima bayaran daripada UnionPay App dan aplikasi perbankan tanah besar China yang dihubungkan kepada UnionPay App Network Payment Platform.
Dengan penerimaan oleh lebih daripada 90% peniaga di Kemboja dan ratusan ribu kad dikeluarkan oleh bank-bank tempatan yang utama seperti ABA, ACLEDA dan Canadia, UnionPay menjadi alatan pembayaran pilihan bagi penduduk negara tersebut. Dalam MOU pada hari ini, UPI dan bank pusat Kemboja bersetuju untuk mengintegrasikan perkhidmatan pembayaran mudah alih UnionPay ke dalam e-dompet Bakong, sistem pembayaran mudah alih negara Kemboja. Pada masa akan datang, penduduk Kemboja hanya perlu menggunakan aplikasi pembayaran ahli Bakong bagi pembayaran yang mudah di Kemboja, China dan untuk pembelian rentas sempadan.
Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk bersama-sama mempromosikan penyepaduan pembayaran UnionPay ke dalam QR negara Kemboja yang dikenali sebagai KHQR untuk membolehkan penerimaan dompet didayakan UnionPay pada peniaga KHQR. Dibangunkan dengan sokongan daripada National Bank of Cambodia, KHQR mendapat liputan penerimaan penuh di negara ini. Pengupayaan QR UnionPay akan meningkatkan pengalaman pembayaran mudah alih pemegang kad UnionPay yang melawat Kemboja dengan ketara.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, UPI menggiatkan usaha dalam penyetempatan dan pendigitalan perniagaan bagi menawarkan perkhidmatan pembayaran yang berkualiti kepada lebih ramai pelanggan di luar tanah besar China. Ketika ini, lebih daripada 200 juta kad UnionPay telah dikeluarkan di 78 negara dan wilayah di luar tanah besar China dan kad ini boleh digunakan pada hampir kesemua terminal POS dan ATM di tanah besar China. Sejajar dengan perubahan dalam tabiat pembayaran pengguna, lebih daripada 170 e-dompet standard UnionPay telahpun dilancarkan di lebih 30 negara dan wilayah luar negara. Pemegang kad antarabangsa boleh membuat pembayaran QR atau NFC di tanah besar China terus dengan menggunakan cara pembayaran yang biasa bagi mereka, tanpa memerlukan akaun bank baharu atau aplikasi baharu.
Dengan pemulihan trafik rentas sempadan secara beransur-ansur, UPI juga menjalin kolaborasi penuh bersama rangkaian kod QR di Korea Selatan, Sri Lanka, Vietnam, Malaysia dan banyak lagi melalui penyelesaian inovatif seperti hubungan rangkaian dan penyepaduan pembayaran, bagi mengupayakan penerimaan bersama. Kolaborasi ini membolehkan pelancong Cina membayar dengan dompet UnionPay kepada peniaga QR di negara-negara ini dan dalam masa yang sama membolehkan penerimaan pantas dompet antarabangsa pada peniaga QR UnionPay global, lalu meningkatkan pengalaman pembayaran untuk pengunjung ke China serta seluruh pelosok dunia dengan ketara.