omniture

Roland Adjovi, Cendekiawan Tetap di Universiti Arcadia, Dipilih untuk Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

Arcadia University
2014-05-14 19:55 103

GLENSIDE, Pennsylvania, 14 Mei 2014 /PRNewswire/ -- Roland Adjovi, cendekiawan tetap di Kolej Kajian Global, Universiti Arcadia, telah dipilih untuk Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penahanan Sewenang-wenang. Mandat tiga tahun itu (2014-2016) berkuat kuasa serta-merta.

Sebagai pakar perundangan dengan pengalaman mengajar yang luas, Adjovi telah berkhidmat sebagai pengarah akademik di Pusat Arcadia di Tanzania bermula pada tahun 2009 hingga 2013 melalui Kolej Kajian Global di Universiti Arcadia. Di Arcadia, beliau mengajar kursus pengajian berkenaan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan merupakan ahli Kumpulan Kajian Seluruh Afrika di Universiti itu, yang menaja kuliah serta pembentangan di Arcadia sepanjang tahun tentang Afrika dan juga Diaspora yang berlaku di situ, yakni penyebaran penduduk yang berketurunan sama.

"Dengan latar belakang pendidikan dan undang-undang antarabangsa yang mengagumkan, Roland Adjovi mempunyai kualiti dan kekuatan tersendiri yang akan menjadikan beliau ahli Kumpulan Kerja yang sangat penting," ujar Dr. Nicolette DeVille Christensen, presiden Universiti Arcadia. "Saya yakin pengalaman ini akan meningkatkan nilai kesarjanaan, pengajaran serta perkhidmatan beliau kepada masyarakat antarabangsa. Kami amat berbangga dengan pelantikan beliau ini."

Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ini telah diwujudkan pada tahun 1991 sebagai subsidiari Majlis Hak Asasi Manusia dengan memberi tumpuan terhadap penahanan sewenang-wenang. Kumpulan Kerja ini bertugas untuk menyiasat sebarang aduan dan mengadakan misi lapangan berkenaan dengan penahanan sewenang-wenang di seluruh dunia dan turut bekerjasama dengan para individu, kerajaan serta organisasi awam bagi menangani isu pelanggaran. Baru-baru ini, Kumpulan Kerja tersebut telah menangani aduan yang diterima daripada Teluk Guantanamo, Mesir, Algeria, Israel, Iran, China, Thailand, Iraq, dan juga Uzbekistan.

Adjovi merupakan pakar dalam bidang hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, memandangkan beliau menulis serta memberikan kuliah tentang kedua-dua topik tersebut. Pada tahun 2010, beliau merupakan pembentang ucap utama ketika sesi taklimat di Pejabat PBB di Nairobi, membentangkan tentang undang-undang pentadbiran PBB. Pada tahun lalu, beliau telah menerbitkan kajian dalam jurnal African Yearbook of International Law yang mengkritik hukuman ringan dan pembebasan yang tampak tidak adil dalam kes Gumisiriza et al. (2008, 2009), melibatkan Jeneral Wilson Gumisiriza dan orang bawahan tentera yang berkaitan dengan tentera pemberontakan Presiden Rwanda Paul Kagame yang telah dituduh melakukan jenayah pada tahun 1994.

"Pelantikan En. Adjovi ini amat dinanti-nantikan oleh mereka yang kehidupan dan kebajikan telah terancam akibat penahanan sewenang-wenang ini," kata Lorna Stern, naib presiden dan pengarah eksekutif Kolej Kajian Global di Universiti Arcadia. "En. Adjovi mempunyai kepintaran dan ketajaman tanggapan dalam bidang undang-undang serta kefahaman yang mendalam tentang konteks penahanan pada peringkat global. Reputasi beliau yang unggul daripada segi integriti dan pengetahuan hak negeri dan hak individu dapat membantu beliau untuk berkhidmat menerusi jawatan penting ini."

Adjovi pernah berkhidmat sebagai pegawai undang-undang kanan di Pejabat Pendaftaran Tribunal Jenayah Antarabangsa untuk Rwanda, sebagai pembantu undang-undang bagi Pertubuhan Perpaduan Afrika dan juga sebagai peguam utama yang menang kes terhadap Tanzania di hadapan Mahkamah Afrika tentang Hak Asasi Manusia dan Rakyat bagi pihak Rev. Christopher R. Mtikila lawan Republik Tanzania Bersatu.

Adjovi beroleh ijazah sarjana muda dalam bidang undang-undang dan pentadbiran awam, ijazah sarjana dalam bidang sains politik dan juga Ijazah Sarjana Undang-undang bagi Hak Asasi Manusia di Universiti Paris. Beliau merupakan warganegara Afrika keempat yang berada dalam kumpulan kerja itu sejak penubuhannya.

Latar Belakang Universiti Arcadia

Universiti Arcadia merupakan universiti swasta yang mempunyai kedudukan teratas di bandar metropolitan Philadelphia dan juga merupakan peneraju negara daripada segi pengajian di luar negara serta pendidikan antarabangsa. Laporan Open Doors 2013 menamakan Universiti Arcadia sebagai #1 dalam negara daripada segi mahasiswa yang belajar di luar negara. U.S. News & World Report pula menyenaraikan Arcadia sebagai dalam kalangan universiti serantau terbaik di bahagian utara, selain memuji program pengajian luar negara Arcadia. Universiti Arcadia turut menjanjikan pengalaman pembelajaran bertaraf global, bersepadu dan peribadi yang memberikan persediaan kepada para pelajar untuk menyumbang serta memimpin dalam dunia yang berkepelbagaian dan dinamik ini. Layari www.arcadia.edu.

Source: Arcadia University
Related Links:
Keywords: Education Higher Education Legal issues