omniture

Avantium Raih Pelaburan EUR36 Juta Daripada Swire, The Coca-Cola Company, Danone serta ALPLA

Avantium
2014-06-05 13:05 127

AMSTERDAM, 5 Jun 2014 /PRNewswire/ -- Hari ini Avantium telah mengumumkan yang ia telah memuktamadkan pusingan pembiayaan sebanyak €36 juta ($50 juta) daripada konsortium pemain strategik ikonik. Konsortium tersendiri ini terdiri daripada Swire Pacific, The Coca-Cola Company, Danone, ALPLA, serta pemegang saham sedia ada. Dengan pengumpulan modal ini, para pelabur baharu mengesahkan komitmen mereka untuk memajukan PEF, bahan pembungkusan generasi seterusnya Avantium. Dana ini akan digunakan bagi melengkapkan perakuan perindustrian PEF dan turut menyelesaikan reka bentuk & kejuruteraan loji berskala komersil yang pertama. Sebagai sebahagian daripada strateginya untuk menggunakan bahan berasaskan tumbuhan yang disumberkan secara berhemah bagi penghasilan PEF, Avantium akan memperakui penggunaan stok suapan generasi kedua.

Pelaburan susulan telah dibuat oleh pemegang saham sedia ada Sofinnova Partners, Capricorn Venture Partners, ING Corporate Investments, Aescap Venture, Navitas Capital, Aster Capital serta De Hoge Dennen Capital.

Tom van Aken, Ketua Pegawai Eksekutif Avantium menyatakan: "Dengan memuktamadkan pusingan pembiayaan ini dengan Swire, The Coca-Cola Company, Danone, ALPLA serta pelabur sedia ada kami, mereka memantapkan komitmen mereka untuk menjadikan botol PEF kejayaan komersil. PEF ialah plastik berasaskan bio sepenuhnya dengan prestasi yang jauh lebih hebat berbanding bahan pembungkusan hari ini dan mewakili peluang pasaran yang besar. Teknologi YXY milikan kami untuk menghasilkan PEF telah terbukti pada skala loji pengenalan memandangkan kami mula bergerak ke fasa penghasilan komersil."

Philippe Lacamp, Ketua Pembangunan Mampan Swire Pacific, berkata: "Kami teruja untuk melabur dalam Avantium, yang mempunyai rekod prestasi yang mengagumkan dalam membangunkan teknologi pemecah kebiasaan. Pelaburan ini sejajar dengan strategi pembangunan mampan kami untuk membina dan turut membangunkan portfolio yang terdiri daripada teknologi mampan peringkat awal yang mempunyai harapan tinggi agar mencapai skala komersil. Teknologi yang disediakan oleh Avantium mewakili jalan untuk generasi seterusnya bagi bahan pembungkusan berasaskan bio, dan mempunyai potensi aplikasi yang besar bagi perniagaan pembotolan sedia ada kami."

Yu Shi, Pengarah Bahan Generasi Seterusnya dan Penyelidikan Kemampanan di The Coca-Cola Company, memberi komen, "Dengan memajukan teknologi pintar, kami percaya prestasi dan kemampanan boleh dijalankan secara serentak agar dapat membawa perbezaan yang besar kepada para pengguna, alam sekitar serta perniagaan kami. Teknologi pemecah kebiasaan Avantium terus menawarkan jalan yang berharapan tinggi untuk menyokong usaha kami bagi memperdagangkan plastik berasaskan tumbuhan yang boleh dibaharui serta membangunkan ciri tersendiri untuk pembungkusan agar dapat memacu pertumbuhan baharu. Kami gembira dapat mengembangkan lagi perkongsian sedia ada kami dengan Avantium melalui pelaburan terbaharu ini."

Frederic Jouin, Pengarah Pusat Pembungkusan Danone Nutricia, memberi komen: "Kami turut serta dalam usaha niaga ini kerana kami meyakini masa hadapan plastik berasaskan bio untuk pembungkusan kami, dengan pengurangan signifikan berpotensi dalam jejak karbon dan sifat perisai yang dipertingkat berbanding dengan PET. Dengan pelaburan ini, kami memperkukuh matlamat kami untuk melancarkan botol berasaskan bio sepenuhnya yang bukan dalam persaingan langsung dengan makanan dan boleh dikitar semula sepenuhnya serta keinginan kami untuk mempercepat pelancaran ini sehingga ke pasaran."

Jan van der Eijk, Pengerusi Lembaga Selia Avantium, pula berkata: "Inilah tanda aras yang mengagumkan dalam industri bahan kimia berasaskan bio yang dilaburkan bersama oleh pemilik jenama besar seperti The Coca-Cola Company serta DANONE buat kali pertama dalam syarikat seperti Avantium. Bersama pelaburan Swire dan ALPLA, sudah jelas bagi kami yang pasaran sanggup menyokong teknologi dengan harapan tinggi, seperti PEF."

Nota untuk pasukan editorial, bukan untuk diterbitkan 

Latar belakang Avantium http://www.avantium.com/financing

Avantium ialah syarikat teknologi peneraju yang mengkhusus dalam bidang penyelidikan & pembangunan daya pemprosesan tinggi canggih. Syarikat itu membangunkan dan turut memperdagangkan YXY – nama jenama untuk platform teknologi berdaya saing kos bagi memangkinkan penukaran bahan berasaskan tumbuhan menjadi bahan kimia berasaskan bio dan juga plastik bio seperti PEF. PEF ialah poliester baharu berasaskan bio sepenuhnya dengan sifat perisai, termal serta mekanikal yang dipertingkat berbanding bahan pembungkusan sedia ada. Semua sifat ini membolehkan inovasi pembungkusan baharu untuk menghasilkan botol yang lebih ringan, lebih nipis, lebih kecil dan juga lebih kuat, melanjutkan jangka hayat simpanan produk dan untuk menyediakan faedah rantaian bekalan. Digabungkan dengan pengurangan jejak karbon sebanyak 50 ke 70 peratus, PEF memenuhi kriteria penting untuk menjadi plastik berasaskan bio generasi seterusnya bagi botol, filem serta serat.

Hari ini Avantium membekalkan rakan kongsi pembangunan teknologinya dengan PEF yang dihasilkan daripada bahan yang dikeluarkan di loji pengenalannya di Geleen, Belanda. Avantium sedang merancang untuk loji berskala komersil pertama mereka (50,000 tan), yang diunjurkan akan beroperasi pada tahun 2017 bagi membolehkan pelancaran komersil penuh untuk botol PEF pertama kepada para pengguna.

Sumber: Avantium

 

Source: Avantium
Keywords: Banking/Financial Service Beverages Food/Beverages