KUALA LUMPUR, Malaysia, 18 September 2023 /PRNewswire/ -- Sempena Hari Malaysia, SPX, pembekal perkhidmatan penghantaran kumpulan SEA dengan 118 hab di seluruh negara meraikan dua tahun memperkasakan wanita dan merapatkan jurang jantina dalam industri kurier.
Dari kiri ke kanan: Cheah Lee Sun, Ketua SPX; Siti Sakinah Yusof; Nadiah Mohd Shukor; dan Ruzita Puzi.
Sejak 2021, SPX meningkatkan pekerja wanita 40 kali ganda dalam peranan pengurusan dan operasi. Kini, sebanyak 13% penghantar dan 40% pengisih adalah wanita, selain SPX juga diterajui pengarah wanita, Cheah Lee Sun.
"Saya mengalu-alukan wanita penghantar di seluruh negara kerana tidak memandang industri ini dipelopori lelaki. Tiada pekerjaan yang terlalu berat bagi wanita di sini, sama ada tugas itu memerlukan mengangkat barang berat atau memandu kenderaan komersial. Semua orang dialu-alukan, dalam semangat keterangkuman dan memberi sokongan kepada peningkatan kemahiran bakat tempatan di komuniti yang kami beroperasi," kata Lee Sun, Ketua SPX.
Lee Sun mengakui mendapatkan kapasiti logistik tambahan pada waktu kemuncak adalah sangat kompetitif. Dia melawat hab, kemudahan pengisihan dan gudang. Malah, Lee Sun turut mengikuti penghantar lelaki dan wanita bagi memastikan setiap pekerja diberi layanan sama rata, seterusnya memberi maklum balas untuk mempertingkatkan prestasi.
SPX telah melaksanakan inisiatif Polisi Terbuka bagi pekerja melaporkan isu berkaitan integriti atau gangguan tanpa perlu mendedahkan nama pengadu.
Siti Sakinah Yusof, 33, mula bertugas sebagai penyelia kontrak di hab Kuala Terengganu Selatan. Berpegang teguh kepada integriti dan beretika melayakkan dia diserap sebagai pekerja tetap dengan SPX. Sebagai ibu kepada tiga anak, Siti Sakinah menjadi contoh mewujudkan persekitaran pekerjaan yang positif dan boleh dipercayai. "Wanita harus tahu bagaimana melindungi diri dan jangan teragak-agak menegur individu dengan tingkah laku tidak beretika," katanya.
Sebagai pelatih Program Pemangku Pengurus Kawasan, Nadiah Mohd Shukor, 34, menjaga kebajikan pekerja wanita yang mempunyai anak-anak di hab seliaan di Hulu Langat, Balakong, Serdang, dan Titiwangsa. "Sebagai ibu yang bekerja, saya memastikan mereka mengambil cuti apabila anak sakit, rehat tengahari dan makan secukupnya, walaupun pada waktu kemuncak," katanya.
Di SPX, pekerja wanita boleh bekerja dengan fleksibel dan dibenarkan menghantar anak-anak ke sekolah sambil menguruskan penghantaran bungkusan mengikut syif. Dasar pengambilan pekerja yang inklusif telah menghasilkan budaya keterangkuman, disiplin dan pembinaan komuniti di SPX.
Ruzita Puzi, 45, mempunyai 20 tahun pengalaman kerja dalam industri kurier dan dia berazam untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan bagi wanita di Kedah di hab Alor Setar. "Saya mahu wanita dari semua lapisan masyarakat untuk percaya kepada diri sendiri kerana mereka boleh berjaya dalam apa jua bidang dan menutup jurang jantina," katanya.