omniture

Minggu UEG 2023 : Bayi dengan berat lahir rendah empat kali lebih berkemungkinan menghidap penyakit hati berlemak di kemudian hari

UEG Week 2023
2023-10-16 06:01 1

COPENHAGEN, Denmark, 15 Oktober 2023 /PRNewswire/ -- Sebuah kajian baharu rintis yang dibentangkan pada hari ini di Minggu UEG 2023, telah menemui hubungan yang signifikan antara berat lahir dengan permulaan penyakit hati berlemak bukan alkohol, yang kini dikenali sebagai penyakit hati steatotik berkaitan disfungsi metabolik (MASLD) pada golongan muda.

Terutamanya, bayi yang mempunyai berat lahir rendah didapati empat kali lebih berkemungkinan untuk menghidap MASLD pada zaman kanak-kanak, remaja atau awal dewasa.

Para penyelidik telah menjalankan sebuah kajian kawalan kes berdasarkan populasi terhadap semua orang yang berusia 25 tahun dan ke bawah yang telah didiagnosis menghidap MASLD antara bulan Januari 1992 hingga April 2017 yang berjumlah 165 kes. Setiap individu yang menghidap MASLD telah dipadankan dengan lima kawalan daripada populasi umum berdasarkan umur, jantina, tahun kalendar dan daerah tempat tinggal.

Individu yang dilahirkan dengan berat lahir rendah (<2500g/5 paun 8 aun) adalah empat kali lebih berkemungkinan untuk menghidap MASLD berbanding dengan mereka yang dilahirkan dengan berat lahir normal. Mereka yang dilahirkan sebagai kecil untuk umur gestasi (SGA), iaitu di bawah persentil ke-10, juga lebih tiga kali ganda berkemungkinan untuk menghidap MASLD pada awal kehidupan berbanding dengan mereka yang mempunyai berat lahir yang mencukupi (persentil ke-10 hingga ke-90).

Selain itu, para penyelidik turut mendapati bahawa individu yang mempunyai berat lahir rendah atau mereka yang dilahirkan sebagai SGA, mempunyai risiko relatif sehingga lebih kurang 6 kali ganda lebih tinggi untuk mengalami tahap MASLD yang lebih teruk dalam bentuk sirosis atau fibrosis hati.

Dr. Fahim Ebrahimi, pengarang pertama kajian tersebut mengulas, "Walaupun penyelidikan terdahulu telah menunjukkan hubungan antara berat lahir dengan penyakit utama, namun hubungan dengan MASLD masih tidak jelas. Kajian kami kini memberikan bukti yang kukuh bahawa faktor perkembangan janin memainkan peranan penting dalam perkembangan MASLD dan penyakit hati yang progresif."

Di tengah-tengah peningkatan kadar obesiti, MASLD telah menjadi penyebab paling biasa bagi penyakit hati kronik di seluruh dunia. Di Eropah sahaja, ia dianggarkan telah menjejaskan lebih 25% orang dewasa dan kelazimannya semakin meningkat.

Dr. Ebrahimi menambah, "Adalah sangat membimbangkan kerana individu yang dilahirkan dengan berat lahir rendah menghadapi risiko relatif yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit ini pada usia muda, disebabkan permulaan awal MASLD sering berterusan sehingga dewasa dan telah dikaitkan dengan peningkatan risiko untuk menghidap sirosis dan penyakit hati peringkat akhir. Adalah penting untuk kita membangunkan strategi yang proaktif dan berkesan bagi mengenal pasti individu yang berisiko dan membantu mengurangkan beban penyakit ini."

Untuk mendapatkan maklumat lanjut atau mengatur temu bual, sila hubungi media@ueg.eu

Source: UEG Week 2023
Keywords: Computer/Electronics Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Children-related news Clinical Trials/Medical Discoveries Survey, Polls & Research