omniture

Perjanjian Keselamatan Siber BlackBerry yang penting dengan Kerajaan Malaysia di Sidang Kemuncak Pemimpin APEC dialu-alukan oleh Perdana Menteri Malaysia dan Kanada

BlackBerry Limited
2023-11-20 22:50 53

BlackBerry akan menyediakan rangkaian lengkap penyelesaian keselamatan siber kepada Kerajaan Malaysia dalam perjanjian jangka panjang yang penting

SAN FRANCISCO, 20 November 2023 /PRNewswire/ -- Kerajaan Malaysia dan BlackBerry Limited (NYSE: BB; TSX: BB), hari ini mengumumkan perjanjian perisian dan perkhidmatan jangka panjang untuk mengukuhkan postur keselamatan siber di Malaysia. Perjanjian penting ini akan membolehkan Kerajaan Malaysia memanfaatkan rangkaian penuh penyelesaian keselamatan siber BlackBerry® yang dipercayai serta menyokong integriti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sambil meningkatkan kemahiran tenaga kerja negara ini dengan latihan dan teknologi keselamatan siber yang termaju.

Sektor awam Malaysia akan mendapat manfaat daripada akses yang selamat dan boleh dipercayai dalam masa nyata kepada perisian dan perkhidmatan BlackBerry yang dihoskan pada awan berdaulat. Ia merangkumi penyelesaian keselamatan siber yang terkemuka di dunia daripada BlackBerry yang dikuasakan oleh Cylance® AI untuk meramal dan mencegah serangan siber, BlackBerry® SecuSUITE® yang diperakui NATOuntuk komunikasi yang selamat, BlackBerry® UEM (Unified Endpoint Management atau Pengurusan Titik Akhir Bersepadu) untuk melindungi data kerajaan dalam kalangan tenaga kerja perayauan, dan BlackBerry® AtHoc® yang digunakan oleh kerajaan di seluruh dunia untuk pengurusan acara dan tindak balas insiden yang penting.

BlackBerry turut mengumumkan bahawa ia akan menubuhkan sebuah Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber (Cybersecurity Center of Excellence, CCoE) bertaraf dunia di Kuala Lumpur pada tahun 2024. CCoE ini akan menawarkan latihan khusus bagi memajukan keupayaan dan kesediaan keselamatan siber Malaysia yang bermatlamat untuk mengurangkan kekurangan ahli profesional siber di negara ini seramai 12,000 orang. Kerajaan Kanada mengalu-alukan penubuhan CCoE dan merancang untuk bekerjasama rapat dengan BlackBerry, Kerajaan Malaysia dan CCoE untuk menyampaikan bantuan pembinaan keupayaan keselamatan siber ke Asia Tenggara seperti yang dimandatkan di bawah Strategi Indo-Pasifik Kanada.

Ekonomi Malaysia yang berkembang pesat merupakan pilihan yang strategik untuk CCoE yang pertama daripada BlackBerry di rantau Asia Pasifik, yang menjadi penambahan kepada rangkaian CCoE syarikat ini yang sedia ada di Amerika, Kanada dan Eropah. CCoE ini akan menawarkan pendidikan dan latihan keselamatan siber serta pasukan risikan ancaman siber dan tindak balas insiden yang 'sentiasa aktif' untuk membantu negara ini melindungi daripada aktiviti siber berniat jahat yang menyasarkan perniagaan, kerajaan dan infrastruktur.  CCoE ini juga akan meningkatkan perkongsian risikan antara negara dan mengembangkan rangkaian risikan ancaman global BlackBerry.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, "Untuk terus berkembang, makmur serta memastikan data negara dan rakyat kami selamat, Malaysia mesti menjalin kerjasama antarabangsa yang mengamalkan teknologi termaju dan menjemput pelaburan asing untuk meningkatkan dan melatih tenaga kerja keselamatan siber bertaraf dunia dengan pantas. Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan BlackBerry bagi menyokong matlamat Malaysia untuk menjadi contoh utama bagi ketahanan siber – dengan janji menyediakan kedaulatan data untuk maklumat, data dan komunikasi kerajaan kami."

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berkata, "Keselamatan Siber ialah tonggak utama Strategi Indo-Pasifik Kanada yang bertujuan untuk memajukan keamanan, keselamatan dan kerjasama di rantau ini. Keselamatan siber ialah satu cabaran bersama yang memerlukan kerjasama antarabangsa dan itulah sebabnya kami amat menyokong Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber BlackBerry di Malaysia, yang merupakan rakan kongsi dua hala yang penting buat Kanada. Dengan menyokong pertahanan siber masa depan Malaysia dan mewujudkan rangkaian serantau yang lebih kukuh untuk perkongsian kepakaran antara Kanada dan Asia Tenggara, kami boleh mengukuhkan lagi ketahanan dan keupayaan kedua-dua negara kami dan rantau yang lebih luas untuk menentang, menghalang dan bertindak balas terhadap ancaman siber."

"Dengan pengalaman selama hampir 40 tahun dalam melindungi kerajaan dan perusahaan di seluruh dunia, BlackBerry berbangga untuk bekerjasama dengan Kerajaan Malaysia dan Kanada bagi meningkatkan postur keselamatan siber Malaysia - melindungi komunikasi misi kritikal dan data negara ini secara proaktif serta menyediakan sokongan untuk pengurusan insiden yang penting," kata John Giamatteo, Presiden Keselamatan Siber BlackBerry. "Saya juga amat berbangga dengan penubuhan Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber BlackBerry di Malaysia yang direka untuk menyokong matlamat strategik Perdana Menteri bagi mengembangkan tenaga kerja keselamatan siber yang mahir dan meletakkan Malaysia sebagai sebuah hab risikan ancaman serantau yang penting."

Encik Giamatteo akan mengawasi penggunaan penyelesaian Keselamatan Siber BlackBerry di Malaysia dan penubuhan CCoE BlackBerry. Turut menyertai En. Giamatteo pada majlis menandatangani perjanjian tersebut ialah Ketua Pegawai Dasar Awam dan Hal Ehwal Kerajaan BlackBerry, Marjorie Dickman yang bertanggungjawab untuk pengawasan strategik operasi dasar awam dan perhubungan kerajaan global BlackBerry, T.Y.T Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, Menteri Komunikasi dan Digital, Tan Sri Mohamad Salim bin Fateh Din, Pengerusi Eksekutif SKMM dan ahli delegasi Malaysia yang lain di Sidang Kemuncak Pemimpin APEC di San Francisco.

Tentang BlackBerry

BlackBerry (NYSE: BB; TSX: BB) menyediakan perisian dan perkhidmatan keselamatan pintar kepada perusahaan dan kerajaan di seluruh dunia. Syarikat ini memperoleh lebih 500 juta titik akhir termasuk lebih 235 juta jentera. Berpangkalan di Waterloo, Ontario, syarikat ini memanfaatkan AI dan pembelajaran mesin untuk menyampaikan penyelesaian inovatif dalam bidang keselamatan siber, keselamatan dan privasi data serta merupakan peneraju dalam bidang keselamatan titik akhir, pengurusan titik akhir, penyulitan dan sistem terbenam. Visi BlackBerry adalah jelas - untuk menjamin masa depan yang terhubung yang boleh anda percayai.

BlackBerry. Keselamatan Pintar. Di mana-mana sahaja. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari BlackBerry.com dan ikuti @BlackBerry.

Tanda dagangan, termasuk tetapi tidak terhad kepada BLACKBERRY dan Reka Bentuk LAMBANG ialah tanda dagangan atau tanda dagangan berdaftar bagi BlackBerry Limited, dan hak eksklusif untuk tanda dagangan tersebut adalah terpelihara dengan nyata. Semua tanda dagangan yang lain merupakan hak milik pemilik masing-masing. BlackBerry tidak bertanggungjawab untuk sebarang produk atau perkhidmatan pihak ketiga.

Hubungan Media:
Hubungan Media BlackBerry
+1 (519) 597-7273
mediarelations@BlackBerry.com

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/726868/BlackBerry_Logo.jpg?p=medium600

Source: BlackBerry Limited
Related Stocks:
NYSE:BB Toronto:BB
Keywords: Computer Software Computer/Electronics High Tech Security Telecommunications Contracts