omniture

Agility: Pegawai Logistik Berwaspada terhadap Kemelesetan 2024 dan Terlebih Kebergantungan kepada China

Agility
2024-02-06 18:00

Majoriti merancang pengembangan di Afrika walaupun wujud jangkaan berwaspada terhadap pasaran memuncul

DUBAI, UAE, 6 Februari 2024 /PRNewswire/ -- Eksekutif logistik global, masih bimbang tentang kemelesetan, berkata bahawa mereka sedang bergelut dengan kos yang lebih tinggi, mengurangkan kebergantungan kepada sumber dari China, dan merancang untuk meningkatkan pelaburan di Afrika walaupun melihat pelaburan pasaran memuncul secara keseluruhannya sebagai agak berisiko.

Separuh daripada 830 profesional industri yang ditinjau untuk Indeks Logistik Pasaran Memuncul Agility 2024 menjangkakan kemelesetan global pada tahun akan datang - turun daripada hampir 70% setahun yang lalu.

Lebih daripada 63% responden menyatakan bahawa syarikat mereka meneruskan baik pulih rantaian bekalan dengan memecahkan pengeluaran ke beberapa lokasi atau memindahkannya ke pasaran dalam negeri dan negara berdekatan. China, peneraju pengeluar dunia, merupakan yang paling terjejas: Sebanyak 37.4% profesional industri menyatakan bahawa mereka merancang untuk memindahkan pengeluaran/penyumberan keluar dari China atau mengurangkan pelaburan di sana.

"Perkapalan dan pengangkut sedang bergelut untuk meminimumkan risiko rantaian bekalan dan mencari peluang pertumbuhan baharu. Risiko inflasi dan kemelesetan telah berkurangan, namun industri masih bergelumang dengan kesan susulan wabak COVID. Pada masa yang sama, sektor perniagaan bimbang tentang keadaan geopolitik -- hubungan perdagangan yang bermasalah antara China dan A.S. dan Eropah, dan sekatan yang ketat terhadap semakin banyak negara", menurut Tarek Sultan, Naib Pengerusi Agility.

Tinjauan dan Indeks itu ialah gambaran tahunan ke-15 Agility tentang sentimen industri dan kedudukan untuk 50 pasaran memuncul terkemuka di dunia. Indeks itu menyenaraikan negara-negara berkenaan untuk daya saing keseluruhan berdasarkan kekuatan logistik, iklim perniagaan dan ketersediaan digital mereka -- faktor yang menjadikan mereka menarik kepada penyedia logistik, penghantar barangan, pengangkut udara dan lautan, pengedar dan pelabur.

Tinjauan itu mendapati bahawa kos penghantaran dan logistik yang meningkat semasa wabak COVID dan kesannya masih meningkat tetapi pada kadar yang lebih perlahan. Salah satu cara yang dijangkakan untuk penghantar mengatasinya ialah dengan meningkatkan penggunaan penghantaran secara digital daripada 37.8% pada masa kini kepada 52% dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam pada itu, industri juga sedang bersiap sedia untuk lonjakan pelaburan di Afrika. Hampir 62% daripada para profesional menyatakan bahawa syarikat mereka merancang untuk melakukan pelaburan tambahan atau melabur untuk pertama kalinya di Afrika, berbanding hanya kira-kira 7% yang menyatakan akan keluar atau mengurangkan aktiviti di sana.

China dan India, dua negara terbesar di dunia, menduduki tempat mereka di No. 1 dan 2 dalam ranking keseluruhan. UAE, Malaysia, Indonesia, Arab Saudi, Qatar, Vietnam, Mexico dan Thailand melengkapkan kedudukan 10 teratas. Afrika Selatan yang berada di berada di kedudukan ke-24 dan Kenya di kedudukan ke-25 adalah yang tertinggi dalam kalangan negara di Afrika Sub-Sahara.

Tiga daripada empat negara yang menawarkan keadaan perniagaan pasaran memuncul terbaik terletak di Teluk Arab: UAE (1), Arab Saudi (3) dan Qatar (4). Malaysia (2) dan Jordan (5) kedua-duanya naik dalam kedudukan asas perniagaan.

China dan India adalah teratas untuk logistik domestik dan antarabangsa. Daripada segi ketersediaan digital, China melonjak tiga anak tangga ke No. 1, diikuti UAE, Malaysia dan Qatar. India jatuh dari tempat teratas setahun yang lalu kepada No. 5 pada tahun ini.

Di luar kedudukan 10 teratas, banyak perubahan terbesar dalam kedudukan dari tahun ke tahun melibatkan negara yang mengalami konflik, menghadapi sekatan ekonomi antarabangsa atau mengalami ketidakstabilan ekonomi yang kronik. Antaranya: Ukraine, Rusia, Iran, Ethiopia, Argentina, Lubnan, Tunisia.

Sorotan Indeks 2024

TINJAUAN

  • Penstrukturan semula rantaian bekalanIndia, Eropah dan Amerika Utara berada di hadapan China dengan eksekutif destinasi menjangkakan untuk memindahkan pengeluaran ke wilayah berkenaan pada 2024 dan seterusnya.
  • China – 40% menjangkakan perniagaan mereka menjadi kurang bergantung kepada China dalam tempoh lima tahun. Faktor utama dalam keputusan untuk menyahrisiko di China: kesukaran menjalankan perniagaan; geseran perdagangan A.S.-China; ekonomi yang perlahan; sekatan COVID China yang terlalu ketat.
  • Perubahan iklim – 66% menyatakan bahawa mereka telah membuat perancangan untuk menghadapi perubahan iklim, atau sudah pun menjejaskan perniagaan mereka.
  • Pasaran memuncul – peratusan terbesar menyaksikan peningkatan risiko/penurunan ganjaran dalam pasaran memuncul.
  • India – ramai melihat India semakin penting sebagai pengeluar dan pasaran, namun menyebut bahawa kekurangan infrastruktur dan rasuah sebagai halangan terbesar di sana.

KEDUDUKAN NEGARA

  • Di TimurTengah dan Afrika Utara, kedudukan keseluruhan ialah: UAE (3); Arab Saudi (6); Qatar (7); Turki (11); Bahrain (16); Oman (15); Jordan (17); Mesir (20); Kuwait (21); Maghribi (22); Tunisia (37); Lubnan (38); Iran (40); Algeria (42); Libya (50).
  • Kedudukan di Sub-Sahara Afrika: Afrika Selatan (24); Kenya (25); Ghana (31); Nigeria (36); Tanzania (41); Uganda (43); Ethiopia (45); Mozambique (46); Angola (47).
  • Kedudukan indeks di Asia: China (1); India (2); Malaysia (4); Indonesia (5); Vietnam (8); Thailand (10); Filipina (18); Kazakhstan (23); Sri Lanka (26); Pakistan (29); Kemboja (32); Bangladesh (33); Myanmar (49).
  • Kedudukan untuk Amerika Latin: Mexico (9); Chile (12); Brazil (14); Uruguay (19); Peru (28); Colombia (27); Argentina (30); Ecuador (35); Paraguay (39); Bolivia (44); Venezuela (48).
  • Di Eropah: Rusia (13); Ukraine (34).

Transport Intelligence (Ti), firma analisis dan penyelidikan terkemuka untuk industri logistik, telah menyusun Indeks ini sejak dilancarkan pada 2009.

John Manners-Bell, Ketua Eksekutif Ti, berkata: "Pengurus rantaian bekalan masih akur dengan ketidakstabilan politik dan ekonomi yang menjadi ciri ekonomi global pasca-COVID. Hubungan geopolitik berubah dengan pantas, dan ini memberi kesan besar pada perdagangan antarabangsa dan profil risiko. Perniagaan perlu kekal beroperasi dengan pengetahuan tentang peluang dan ancaman yang wujud dalam pasaran memuncul dan menggunakan data, seperti Indeks Logistik Pasaran Memuncul Agility untuk melakukan keputusan dengan tangkas."

Indeks Logistik Pasaran Membangun Agility 2024: agility.com/2024index

Tentang Agility 

Agility ialah peneraju global dalam perkhidmatan rantaian bekalan, infrastruktur dan inovasi dengan 45,000+ pekerja di enam benua. Sebagai pengendali dan pelabur berbilang perniagaan, Agility pakar dalam mengembangkan dan meningkatkan perniagaan yang beroperasi. Agility memiliki beberapa syarikat termasuk syarikat perkhidmatan penerbangan terbesar di dunia (Menzies Aviation); perniagaan logistik bahan api global (Tristar); pemimpin pasaran dalam taman logistik di seluruh Timur Tengah, Asia Selatan dan Afrika (Agility Logistics Parks); serta syarikat hartanah komersial yang membangunkan pusat beli-belah mega di Emiriah Arab Bersatu (UPAC). Syarikat-syarikat lain di bawah kumpulan Agility menawarkan perkhidmatan pendigitalan kastam, perkhidmatan infrastruktur luar bandar, perkhidmatan pertahanan dan kerajaan, serta kemudahan e-dagang dan logistik digital. Agility melabur dalam inovasi rantaian bekalan, kelestarian dan ketahanan serta memiliki pegangan minoriti dalam portofolio yang berkembang mengandungi syarikat yang tersenarai dan tidak tersenarai.

Laman web: www.agility.com 

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1739997/Agility_Logo.jpg?p=medium600

Source: Agility
Keywords: Banking/Financial Service Computer/Electronics Multimedia/Online/Internet Publishing/Information Service Transportation Survey, Polls & Research Supply Chain/Logistics