omniture

Lao Holdings N.V. Memohon Bantuan Bank Dunia dalam Pertikaian berhubung Pelaburan AS$400 Juta

Republik Demokratik Rakyat Lao: Didakwa Tidak Selamat Bagi Pelaburan Asing
Sanum Investments Limited
2012-08-15 17:59 652

WASHINGTON, 15 Ogos, 2012 /PRNewswire-Asia/ -- Kedua-dua Lao Holdings NV dan anak syarikat miliknya sepenuhnya, Sanum Investments Limited, memfailkan saman terhadap Kerajaan Republik Demokratik Rakyat Lao untuk menghentikan pengambilan secara haram pelaburan AS$400 juta oleh Kerajaan Lao. Tuntutan itu akan dikendalikan oleh Pusat Antarabangsa bagi Penyelesaian Pertikaian Pelaburan Bank Dunia yang menggunakan perjanjian yang ditandatangani oleh Lao di mana ia berjanji untuk melindungi pelaburan asing.

"Kami melabur dengan niat yang baik di PDR Lao. Kami mempercayai bekas Perdana Menteri apabila beliau memberitahu kami bahawa Kerajaan Lao akan mendukung kedaulatan undang-undang. Kami menubuhkan sebuah perniagaan yang menguntungkan yang telah mewujudkan beribu-ribu peluang pekerjaan untuk rakyat Lao," kata Jody Jordahl, Presiden Sanum. "Ketika kami menjadi semakin berjaya, mereka mengambil tindakan untuk merampasnya daripada kami. Ini adalah kes mudah yang menyaksikan kerajaan melanggar janji untuk melindungi pelabur asing terhadap ketamakan dan eksploitasi."

Aset-aset ini diwujudkan dengan cara pelaburan langsung sebanyak lebih AS$85 juta yang dibuat di negara ini oleh Sanum Investments. Menurut Encik Jordahl, nilai pelaburan itu pada hari ini bernilai sekurang-kurangnya AS$400 juta.

Sanum Investments tertarik untuk melabur dalam PDR Lao atas dasar janji kerajaan mengenai suasana ekonomi dan undang-undang yang selamat dan stabil, di mana pelaburan asing telah dijanjikan dengan perlindungan dan keselamatan melalui pematuhan teguh oleh pegawai-pegawai tempatan untuk mendukung kedaulatan undang-undang. Pelaburan itu dibuat kira-kira lima tahun lalu. Sekarang Sanum mendakwa bahawa kerajaan telah berpaling tadah ke atas syarikat itu, dengan menggunakan kesemua kemudahan kerajaan yang ada untuk merampas pelaburan Sanum itu.

Satu contoh mengenai salah laku kerajaan ialah bagaimana kedua-dua cabang kehakiman dan pihak berkuasa percukaian mereka telah mengambil tindakan untuk membenarkan sebuah keluarga Lao yang berpengaruh dan syarikat-syarikat mereka untuk mengambil alih aset utama Sanum, iaitu Thanaleng Slot Machine Club, yang terletak berdekatan dengan ibu negara Lao, Vientiane, berhampiran "Jambatan Persahabatan No 1." Lao-Thai. Lao Holdings kehilangan AS$1.8 juta setiap bulan jika pengambilan ini dibenarkan berterusan, kata Encik Jordahl.

Tindakan yang melanggar undang-undang oleh PDR Lao ini ternyata mencabul pelbagai perjanjian dan termasuk:

  1. Mengenakan cukai dan penalti lebih AS$23 juta secara retroaktif untuk sekian lama ke atas perniagaan Sanum, sekali gus telah mengingkari janji bertulis dan perjanjian yang dibuat;
  2. Mengancam untuk menggunakan dakwaan cukai yang tidak berasas ini sebagai alasan untuk menyita dan melelong pelaburan syarikat itu;
  3. Memaksa perusahaan itu untuk melalui perbicaraan di mahkamah dalam tuntutan bernilai berjuta-juta dolar yang samannya dibawa oleh seorang rakan perniagaan tempatan dengan memberi notis hanya 48 jam, dan kemudian memberi masa hanya satu jam untuk menyiapkan keseluruhan kesnya;
  4. Menggunakan pengaruh agar mahkamah Lao mengenakan denda AS$5 juta yang tidak pernah didengar sebelum ini, sebelum kes itu habis didengar dan keputusannya diumumkan;
  5. Membatalkan dengan sewenang-wenangnya beberapa lesen dan konsesi, bagi projek-projek yang bernilai beratus-ratus juta dolar, tanpa sebab yang sah dan dengan tiada pampasan dibayar.

"Kerajaan Lao mahu dan memerlukan pelaburan langsung asing. Mereka mahu menjadi anggota Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WHO). Mereka mahu menjadi ahli yang dihormati di kalangan komuniti perundangan antarabangsa. Ia tidak akan berlaku sehingga mereka dapat menguatkuasakan kedaulatan undang-undang di negara mereka. Layanan yang kami terima menunjukkan bahawa mereka tidak boleh dipercayai," kata Jordahl.

Maklumat mengenai Sanum Investments

Sanum Investments Limited merupakan sebuah syarikat pelaburan dan pembangunan yang berpangkalan di Macau, China. Sanum memberi tumpuan kepada projek-projek pembangunan di Republik Demokratik Rakyat Lao, tetapi pada masa ini ia juga terlibat dalam beberapa pembangunan kondominium di Macau.

Sanum adalah sebuah rakan kongsi dalam dan pengurus bagi beberapa projek hotel dan kasino di seluruh Lao termasuk Savan Vegas di Savannakhet. Syarikat itu juga mengkaji peluang-peluang lain di rantau ini.

Maklumat mengenai Timbang Tara Perjanjian Pelaburan

Timbang tara perjanjian pelaburan adalah satu proses yang bebas dan berkecuali yang disediakan dalam lebih 3,000 perjanjian di seluruh dunia. PDR Lao telah memeterai 14 perjanjian seumpama itu, yang bermatlamat untuk menggalakkan pelaburan asing dengan menjanjikan kepada pelabur bahawa kerajaan tempatan akan menyediakan "layanan yang adil dan saksama" dan "perlindungan dan keselamatan penuh" kepada pelabur asing. Dalam perjanjian ini PDR Lao juga telah berjanji untuk tidak membatalkan konsesi yang bernilai dan lesen yang diberikan kepada orang asing tanpa sebab yang munasabah dan tanpa pembayaran segera bagi pampasan nilai pasaran yang adil.

Pusat Antarabangsa bagi Penyelesaian Pertikaian Pelaburan, satu cabang bebas bagi Bank Dunia, akan mengendalikan kes Lao Holdings ini. Kes Sanum Investments akan dikendalikan oleh tribunal ad hoc seperti yang diperuntukkan di bawah perjanjian yang terpakai. Kedua-dua tribunal akan terdiri daripada tiga orang penimbangtara, yang diberi kuasa untuk mengeluarkan perintah terhadap negara-negara yang bersalah.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung timbang tara perjanjian pelaburan, sila layari laman sesawang:

http://icsid.worldbank.org/ICSID/ICSID/ICSIDOverview.jsp

Dokumentasi tambahan:
http://bit.ly/RdXu7N

Hubungan Media:
Jeff Eller
E-mel: jeff.eller@hkstrategies.com
Telefon: +1-512-432-1910

Hubungan Media Asia:

John Morgan
E-mel: john.morgan@hkstrategies.com
Telefon: +852-2894-6399

May Chan Rhodes
E-mel: may.chanrhodes@hkstrategies.com
Telefon: +852-2894-6242

SUMBER:  Sanum Investments Limited

 

Source: Sanum Investments Limited
Keywords: Banking/Financial Service Legal issues