SINGAPURA, 20 Januari 2015 /PRNewswire/ -- Kini memasuki tahun keduanya, Cabaran Usaha Niaga Sosial Asia (SVC Asia) DBS-NUS menawarkan dana bernilai SGD 150,000 kepada pemenang cabaran tersebut, sempena meraikan tahun ke-50 kemerdekaan Singapura. Penambahan dana itu, daripada nilai tahun lalu sebanyak SGD 55,000, turut menggalakkan peserta untuk menghantar idea yang mempamerkan kebolehskalaan dan potensi lebih besar untuk impak sosial yang lestari.
Cabaran tersebut, dianjurkan bersama oleh NUS Enterprise dan Yayasan DBS, bertujuan mengenal pasti dan menyokong usaha niaga sosial baharu serta meningkatkan kesedaran tentang keusahawanan sosial di Asia. SCV Asia pertama menyaksikan lebih 400 idea usaha niaga sosial yang inovatif daripada pasukan merentasi 20 buah negara.
Sepanjang SVC Asia 2015, usahawan sosial muda di seluruh Asia akan mendapat akses kepada portal serantau yang komprehensif sepanjang lima bulan akan datang untuk mempelajari cara membangunkan idea mereka kepada usaha niaga yang boleh skala dan lestari. Selain portal dalam talian, para peserta di pelbagai negara Asia juga dapat memanfaatkan siri bengkel dan acara rangkaian yang dianjurkan oleh SVC Asia serta rangkaian rakan tempatannya. Melalui acara ini, mereka dapat berhubung dan bekerjasama dengan rakan-rakan sepemikiran. Mereka juga akan menerima nasihat dan panduan daripada usahawan sosial yang lebih berpengalaman, pelabur impak serta pakar industri.
SVC Asia juga akan menganjurkan siri bengkel umum untuk membantu meningkatkan kesedaran tentang keusahawanan sosial dan menjana sokongan untuk perusahaan sosial.
"Tahun ini, bagi memperingati ulang tahun ke-50 Singapura, kami meningkatkan wang hadiah untuk pemenang Cabaran Usaha Niaga Sosial Asia DBS-NUS kepada SGD 150,000. Tiga pasukan teratas akan menerima SGD 100,000, SGD 30,000 dan SGD 20,000 masing-masing. Jumlah wang keseluruhan sebanyak SGD 150,000, yang akan dianugerahkan dalam bentuk dana pemula, merupakan yang tertinggi bagi pertandingan seumpama ini di Asia. Kami yakin perusahaan sosial merupakan kuasa ke arah kebaikan dan berharap SVC Asia tahun ini akan membangkitkan semangat ramai individu berpemikiran sosial serta mencetuskan minat terhadap inovasi dan juga keusahawanan," kata Karen Ngui, Ketua Pemasaran & Komunikasi Strategik DBS Group dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan DBS.
"Bagi tahun pertama cabaran ini, kami menerima banyak idea yang penuh inspirasi yang dapat membantu membentuk masa hadapan pelbagai sektor seperti penjagaan kesihatan, alam sekitar dan pendidikan. SVC Asia berfungsi sebagai platform utama bagi pembangun kapasiti di seluruh Asia untuk menyokong keusahawanan sosial. Kesemua finalis akan dihubungkan dengan rakan impak kami bagi potensi sokongan selepas pertandingan, seperti panduan mentor, inkubasi dan perjumpaan dengan pelabur impak dan sumber pembiayaan lain," kata Profesor Wong Poh Kam, Pengarah Pusat Keusahawanan NUS, yang merupakan sebahagian daripada NUS Enterprise.
Pemenang-pemenang SVC Asia akan menerima dana pemula dalam beberapa peringkat setelah pelancaran usaha niaga sosial merela. Penghantaran akan ditutup pada 25 Mac 2015, dan dua belas pasukan separuh akhir akan dipilih untuk hadir ke Singapura pada awal Jun bagi pusingan kedua bimbingan dan cadangan, dan diakhiri dengan Majlis Anugerah Akhir.
Latar Belakang Yayasan DBS
Sebagai satu-satunya yayasan korporat di Asia yang berdedikasi sepenuhnya terhadap menjuarai keusahawanan sosial, Yayasan DBS menyumbang ke arah pembinaan masyarakat yang lebih inklusif supaya mereka yang hidup di pinggir masyarakat dapat menikmati kehidupan yang produktif dan memuaskan. Yayasan DBS bekerjasama dengan Perusahaan Sosial dan Usahawan Sosial di Singapura, India, Indonesia, tanah besar China, Taiwan dan Hong Kong dengan program-program merangkumi latihan & bengkel asas kepada inkubasi intensif, sokongan geran projek, forum untuk perkongsian pengetahuan dan bimbingan pengurusan kanan. Yayasan ini merupakan ikhtiar daripada DBS Bank untuk menghasilkan impak lebih besar dalam menangani keperluan sosial Asia yang berubah.
NUS Enterprise
NUS Enterprise merupakan kelompok peringkat Universiti yang menyediakan dimensi perusahaan kepada pengajaran dan penyelidikan NUS yang melibatkan pelajar, kakitangan dan alumni Universiti tersebut. Fungsi Kelompok Perusahaan melengkapkan kelompok akademik Universiti untuk mendidik bakat dengan pemikiran keusahawanan dan global. NUS Enterprise menggalakkan semangat inovasi dan perusahaan melalui Pendidikan Melalui Pengalaman, Pelibatan & Kerjasama Industri serta Sokongan Keusahawanan. www.nus.edu.sg/enterprise
SUMBER NUS Enterprise