omniture

CGTN: China merencanakan rancangan ekonomi 2025, menjanjikan dasar makro lebih proaktif

CGTN
2024-12-14 19:15 3

BEIJING, 14 Disember 2024 /PRNewswire/ -- Persidangan Kerja Ekonomi Pusat yang dipantau rapi telahpun diadakan di Beijing mulai Rabu hingga Khamis tatkala pemimpin Cina memutuskan keutamaan untuk kerja ekonomi bagi tahun 2025.

Xi Jinping, setiausaha agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, presiden China dan pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat, menyampaikan ucapan penting di persidangan tahunan itu.

Menurut pertemuan itu, biarpun terdapat "situasi yang rumit dan teruk akibat tekanan luar yang semakin bertambah dan kesukaran dalaman yang semakin meningkat," China memastikan kestabilan keseluruhan dan kemajuan ekonomi yang mantap serta matlamat dan tugas utama untuk pembangunan ekonomi dan sosial pada tahun 2024 dijangka akan dicapai.

Ia menekankan bahawa China harus menerima pakai dasar makro yang lebih proaktif, meluaskan permintaan domestik dan menggalakkan pembangunan bersepadu bagi inovasi saintifik dan teknologi serta inovasi perindustrian untuk melaksanakan tugas dengan baik dalam kerja ekonomi pada tahun 2025.

Usaha juga harus dilaksanakan bagi menjamin pembangunan kukuh pasaran hartanah dan saham, berjaga-jaga dan meredakan risiko serta kejutan luaran dalam bidang-bidang utama, selain menstabilkan jangkaan dan merangsang kevitalan agar dapat menggalakkan pemulihan ekonomi yang mampan, menurut pertemuan berkenaan.

Daripada dasar fiskal kepada dasar monetari

Menurut pertemuan itu, China juga akan menerima pakai dasar fiskal yang "lebih proaktif", termasuk peningkatan dalam nisbah defisit dan dalam terbitan bon perbendaharaan khas yang lebih panjang serta bon tujuan khas kerajaan tempatan.

Nisbah hutang kerajaan kepada KDNK China, menurut Kementerian Kewangan, berada pada 67.5 peratus pada akhir tahun 2023, jauh lebih rendah berbanding purata 118.2 peratus antara anggota-anggota G20 dan 123.4 peratus untuk negara-negara G7 yang dianggarkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Defisit fiskal China telah lama berada di bawah paras 3 peratus, jauh lebih rendah berbanding ekonomi utama yang lain.

Dengan nisbah leveraj kerajaan yang rendah, belanjawan pusat China mempunyai ruang untuk peningkatan peminjaman dan peningkatan defisit, kata Menteri Kewangan Lan Fo'an dalam bulan Oktober.

Persidangan Kerja Ekonomi Pusat menyatakan China akan menerima pakai dasar monetari "sederhana longgar" dan menurunkan nisbah keperluan rizab dan kadar faedah apabila perlu untuk memastikan kecairan yang mencukupi.

Ia menandakan peralihan "berhemat" kepada "sederhana longgar" yang pertama dalam pendirian dasar monetari negara ini sejak tahun 2011.

Sejak awal tahun 2024, People's Bank of China, bank pusat, telah mengurangkan nisbah keperluan rizab sebanyak dua kali, sebanyak 1 mata peratusan secara keseluruhan untuk institusi kewangan, melepaskan kira-kira 2 trilion yuan (kira-kira $274.8 bilion) dalam kecairan jangka panjang.

Daripada permintaan domestik kepada keterbukaan

Persidangan Kerja Ekonomi Pusat menyenaraikan keutamaan untuk kerja ekonomi pada tahun 2025 dalam sembilan aspek, bermula daripada merangsang penggunaan dan membangunkan kuasa produktif kualiti baharu hinggalah mencegah dan menangani risiko dalam bidang-bidang utama, mengukuhkan pencapaian pembasmian kemiskinan dan merancakkan pembangunan hijau.

Pertemuan itu menekankan keperluan untuk merangsang penggunaan secara bersungguh-sungguh, meningkatkan kecekapan pelaburan dan meluaskan permintaan domestik dalam segenap aspek.

China kekal sebagai salah satu pasaran terbesar di dunia. Mulai Januari hingga Oktober tahun ini, jumlah jualan runcit barangan pengguna China menghampiri 40 trilion yuan, manakala jumlah jualan pada tahun lalu melebihi 47 trilion yuan, menurut Biro Perangkaan Kebangsaan.

Sebuah program nasional yang bertujuan untuk menggalakkan tukar beli barangan pengguna, yang diperkenalkan pada bulan Mac, menunjukkan ruang permintaan domestik China yang belum diterokai. Lebih 30 juta peserta telah tertarik dengan program ini, menyumbang jumlah jualan sebanyak lebih 400 bilion yuan.

Pertemuan selama dua hari itu juga menyeru usaha yang lebih giat untuk menggalakkan lagi keterbukaan peringkat tinggi dan menjamin pertumbuhan perdagangan asing dan pelaburan asing yang mantap.

"Pembangunan China bersifat terbuka dan inklusif," kata Xi semasa bertemu para pemimpin organisasi-organisasi ekonomi antarabangsa yang utama, termasuk IMF, di Beijing pada hari Selasa, sehari sebelum bermulanya persidangan tahunan berkenaan.

China akan menyediakan sistem baharu untuk ekonomi terbuka standard lebih tinggi, menyediakan lebih banyak peluang untuk pembangunan negara-negara lain dan berkongsi lebih banyak faedah pembangunan bersama dunia, kata Xi kepada para pemimpin di Dewan Besar Rakyat.

Mulai 1 Disember, China memberikan layanan tarif sifar untuk 100 peratus lini tarif kepada semua negara kurang maju yang menjalin hubungan diplomatik dengannya.

Hal berkenaan akan membantu lebih banyak produk dari negara-negara ini memasuki pasaran Cina, berkongsi peluang dan merancakkan pembangunan, kata Lyu Daliang, seorang pegawai daripada Pentadbiran Am Kastam China.

Untuk maklumat lanjut, sila klik: https://news.cgtn.com/news/2024-12-13/China-maps-out-2025-economic-plans-vows-more-proactive-macro-policies-1zhpqUWwpkA/p.html

Source: CGTN
Keywords: Banking/Financial Service Computer/Electronics Multimedia/Online/Internet Publishing/Information Service Economic news, trends, analysis