omniture

Sebuah Badan Akreditasi Penjagaan Kesihatan Terkemuka di Malaysia, Malaysian Society for Quality in Health (MSQH) Mendapat Pengiktirafan Global bagi Pensijilan Akreditasi Organisasi dan Program Latihan Penilai

The Malaysian Society for Quality in Health (MSQH)
2025-01-14 08:00 3

KUALA LUMPUR, Malaysia, 14 Januari 2025 /PRNewswire/ -- Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia atau lebih dikenali sebagai Malaysian Society for Quality in Health (MSQH) merupakan badan akreditasi kesihatan nasional yang berdedikasi untuk memastikan piawaian keselamatan dan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan di tahap optimum. MSQH dengan bangganya mengumumkan pensijilan semula bagi akreditasi Organisasi dan Program Latihan Surveyor (2024–2028) oleh International Society for Quality in Health Care External Evaluation Association (IEEA), cabang pengakreditasi global terkemuka International Society for Quality in Health Care (ISQua). MSQH juga telah menjalani pensijilan semula bagi Akreditasi Standard untuk tempoh 2022–2026.

Ini merupakan kitaran kelima berturut-turut bagi mengukuhkan lagi kedudukan MSQH sebagai peneraju nasional dan antarabangsa dalam peningkatan kualiti penjagaan kesihatan. ISQua, yang ditubuhkan pada tahun 1985, diiktiraf sebagai "pengakreditasi kepada badan pengakreditasi" menawarkan penilaian luaran kepada badan-badan akreditasi untuk memenuhi penanda aras antarabangsa.

Pencapaian ini membuktikan komitmen MSQH yang tidak berbelah bahagi dalam menyediakan perkhidmatan akreditasi yang cemerlang dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Ia memberikan jaminan kepada pihak berkepentingan penjagaan kesihatan termasuk pesakit, pemain industri dan kementerian kesihatan bahawa fasiliti kesihatan yang diakreditasi oleh MSQH memenuhi piawaian global tertinggi.

Sejak penubuhannya pada tahun 1997, MSQH komited dalam mempromosikan penambahbaikan berterusan dalam kualiti penjagaan kesihatan melalui kerjasama strategik dengan badan-badan kerajaan, organisasi penjagaan kesihatan, dan pemain industri. Dalam tempoh 25 tahun, MSQH telah menerajui program-program akreditasi dan membangunkan piawaian (Standard) Akreditasi Hospital Edisi Keenam, bersama-sama dengan edisi terkini untuk Rawatan Dialisis Kronik, Klinik Pergigian, dan Klinik Perubatan. Sehingga Disember 2024, MSQH telah mengakreditasi 123 hospital di seluruh Malaysia, merangkumi kemudahan penjagaan kesihatan awam dan swasta, serta pusat dialisis dan klinik pergigian.

Datuk Dr. Heric Corray, Ketua Pegawai Eksekutif MSQH, berkata, "Pensijilan semula oleh ISQua ini melambangkan kepercayaan yang berterusan daripada kemudahan penjagaan kesihatan terhadap proses penilaian MSQH. Ia mengesahkan peranan kami dalam meningkatkan tahap kualiti dan keselamatan penjagaan kesihatan di Malaysia. Kami akan terus komited untuk memperkasakan penyedia perkhidmatan kesihatan melalui program akreditasi MSQH dan berterima kasih kepada para pelanggan atas sokongan mereka yang berterusan."

MSQH akan terus membina reputasi cemerlangnya dan menjadi institusi bertaraf dunia, selaras dengan aspirasi MSQH sebagai Pendidik, Penglibatan, Pemudah cara, Penilai, dan Pemberdayaan dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan. MSQH juga mengambil usaha yang padu untuk memberi keutamaan kepada keselamatan pesakit di semua peringkat perkhidmatan penjagaan kesihatan, daripada penyedia kepada penjaga dan keluarga.

Selain perkhidmatan akreditasi, MSQH turut menawarkan latihan dan advokasi kepada penyedia penjagaan kesihatan di sektor awam dan swasta. Untuk maklumat lanjut tentang MSQH dan inisiatifnya, sila layari https://www.msqh.com.my

Mengenai MSQH
MSQH telah ditubuhkan pada tahun 1997 melalui inisiatif kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA). Sehingga kini, MSQH diiktiraf oleh STANDARDS MALAYSIA dan Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai sebuah organisasi penulisan piawaian dan badan akreditasi untuk kemudahan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan, dimana kedua-dua pihak ini juga merupakan ahli tetap jawatankuasa MSQH, bersama dengan penyertaan Akademi Perubatan Malaysia (AMM) dan Persatuan Jururawat Malaysia (MNA).

Sejak lebih 25 tahun lalu, MSQH telah memainkan peranan penting dalam pembangunan piawaian dan program akreditasi bagi kemudahan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan sebagai sebahagian daripada agenda kesihatan negara. Kini, MSQH mempunyai sejumlah 1,656 keahlian dan berperanan sebagai sekretariat serantau Asia yang dianggotai oleh sebelas (11) ahli lembaga, Asian Society for Quality in Health Care (ASQua) – www.asquaa.org

Segala legasi ini didokumentasikan dan diraikan dalam sebuah buku bertajuk "The Journey of MSQH's 25 Years of Continuous Quality Improvement", yang boleh dilihat dan dimuat turun di www.msqh.com.my

MSQH mengambil peluang ini untuk menggalakkan para pengguna di Malaysia untuk mendapatkan rawatan di kemudahan dan penyedia perkhidmatan yang diakreditasi oleh MSQH. Senarai terkini kemudahan penjagaan kesihatan yang diakreditasi MSQH boleh didapati di laman web MSQH www.msqh.com.my

Ikuti MSQH di Media Sosial:
Facebook: @ OfficialMSQH  |  Instagram: @ OfficialMSQH  |  LinkedIn:  @ OfficialMSQH 

Sebuah Badan Akreditasi Penjagaan Kesihatan Terkemuka di Malaysia, Malaysian Society for Quality in Health (MSQH) Mendapat Pengiktirafan Global bagi Pensijilan Akreditasi Organisasi dan Program Latihan Penilai
Sebuah Badan Akreditasi Penjagaan Kesihatan Terkemuka di Malaysia, Malaysian Society for Quality in Health (MSQH) Mendapat Pengiktirafan Global bagi Pensijilan Akreditasi Organisasi dan Program Latihan Penilai

Source: The Malaysian Society for Quality in Health (MSQH)
Keywords: Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Fitness/Wellness