omniture

Envision Energy Pelopori Aplikasi Berskala Besar Galas Gelangsar Buatan Syarikat dengan Kegagalan Sifar

Envision Energy
2025-03-20 05:58 27

SHANGHAI, 20 Mac 2025 /PRNewswire/ -- Envision Energy, sebuah syarikat teknologi hijau yang terkemuka di dunia, baru-baru ini mengumumkan galas gelangsarnya yang dibangunkan dan dikeluarkan sendiri telah berjaya diaplikasikan secara besar-besaran buat julung kalinya di seluruh dunia, mencapai kegagalan sifar dalam 500 turbin angin. Pencapaian ini menjadikan Envision Energy sebagai OEM turbin angin pertama di dunia yang mencapai penyelidikan bebas, pengeluaran dalam syarikat dan aplikasi berskala besar bagi galas gelangsar, menyaksikan kejayaan teknologi yang besar dalam industri kuasa angin.

"Galas gelangsar telah lama menjadi inovasi yang utama dalam industri kuasa angin, memainkan peranan penting dalam mengurangkan geseran dan meningkatkan kecekapan," kata En. Lou Yimin, Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Produk di Envision Energy. "Selepas lima tahun menjalankan penyelidikan, pembangunan dan ujian lapangan yang meluas, kami berjaya mengintegrasikan teknologi ini ke dalam kotak gear turbin angin kami, mengatasi halangan teknikal yang ditetapkan oleh jenama antarabangsa dan mencapai aplikasi berskala besar. Kejayaan ini merupakan bukti R&D dalam syarikat kami, keupayaan pembuatan serta komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap inovasi teknologi."

Envision Energy's Self-developed and Manufactured Sliding Bearing Product
Envision Energy's Self-developed and Manufactured Sliding Bearing Product

Kejayaan Industri: Mempelopori Masa Depan Kuasa Angin

Inovasi teknologi membawa kepada kegagalan sifar. Envision menubuhkan CoE (Pusat Kecemerlangan) untuk kotak gear rangkaian pemacu di Dortmund, Jerman dan pada tahun 2019, membangunkan sebuah pasukan khusus untuk R&D galas gelangsar dan pengeluaran perintis. Pasukan ini berjaya membangunkan teknologi pemendapan tenaga langsung untuk mengaplikasikan bahan galas terus pada pin planet, meningkatkan prestasi dan ketahanan galas. Galas gelangsar meningkatkan kecekapan turbin dan memanjangkan jangka hayat sekali gus mengurangkan kos penyelenggaraan. Reka bentuknya yang lebih kompak dan lebih ringkas serta prinsip operasinya yang kurang terdedah kepada ralat menjadikannya lebih unggul berbanding galas pengguling sekiranya ia direka dan dilaksanakan dengan betul. Data ujian menunjukkan bahawa kotak gear yang dilengkapi dengan galas gelangsar dapat mengurangkan kehilangan kuasa sebanyak 20% hingga 25%, meningkatkan output tenaga turbin angin sebanyak kira-kira 0.5%. Sepanjang jangka hayat turbin selama 20–25 tahun, ini dapat diterjemahkan kepada faedah kewangan yang ketara.

"Gelas gelangsar bukanlah teknologi baharu—aplikasinya bermula sejak zaman Mesir purba. Industri angin mula menerokainya pada lewat tahun 2000-an dan antara tahun 2018–2020, pengeluar kotak gear yang terkemuka mencapai penggunaan besar-besaran kotak gear galas gelangsar dalam turbin berkapasiti besar untuk OEM global. Hari ini, pengeluar kotak gear dan juga turbin membangunkan teknologi ini sendiri, namun kebanyakannya masih dalam peringkat percubaan dan penambahbaikan, dengan hanya sedikit yang mencapai pembangunan dalam syarikat dan aplikasi berskala besar selain daripada Envision Energy," kata Dr. Ümit Mermertaş, pakar global bagi galas dan rotordinamik serta ketua jurutera galas gelangsar di Envision Energy. "Sebagai OEM turbin, Envision Energy mencapai kegagalan sifar dalam operasi dunia sebenar, dengan galas gelangsar kami terbukti amat berjaya dalam semua peringkat pengesahan bermula daripada ujian terkawal dan kotak gear hinggalah ujian percubaan prototaip dan aplikasi besar-besaran di ladang angin."

Pengujian Teliti Memastikan Keandalan Tinggi

Pencapaian kegagalan sifar bagi galas gelangsar oleh Envision Energy disokong oleh pengujian dan pengesahan yang meluas, dengan lebih $14 juta dilaburkan dalam pengesahan. "Keadaan sempadan galas gelongsor, seperti kelajuan putaran dan beban, dipengaruhi secara langsung oleh logik kawalan turbin angin," jelas En. Owen Yang, pakar kotak gear di Envision Energy, "Kami mengoptimumkan strategi kawalan turbin untuk mengelakkan risiko seperti beban tinggi, kelajuan rendah dan pelinciran yang tidak mencukupi demi memastikan keandalan galas."

Selain daripada ujian komponen kendiri, Envision Energy menjalankan penilaian peringkat sistem yang komprehensif, dengan mengambil kira beban turbin, kelajuan, suhu pelinciran dan faktor persekitaran. Ini dapat memastikan prestasi optimum dan keandalan galas gelangsar di ladang angin. Dengan R&D dan pembuatan dalam syarikat, syarikat ini mengintegrasikan komponen utama dengan lancar dalam turbin anginnya, lalu meningkatkan keandalan keseluruhan sistem turbinnya dengan ketara.

Envision Energy memperluas penggunaan teknologi galas gelangsar dalam model turbin baharu dan penggunaan secara berskala besar, dengan penggunaan dijangka melebihi 90%, sejajar dengan standard global. "Kami meninjau cara untuk meluaskan kepakaran kami dalam komponen utama yang lain, termasuk galas gelangsar kotak gear, galas aci utama dan galas penjana sekali gus memajukan beberapa projek berpandangan jauh yang berkaitan dengan galas gelangsar," kata En. Lou Yimin, "Inovasi berterusan kami memacu kejayaan dalam teknologi kuasa angin teras, memberikan penyelesaian yang lebih cekap dan andal untuk peralihan tenaga bersih global."

Source: Envision Energy
Keywords: Alternative Energies Environmental Products & Services Green Technology Mining/Metals Oil/Energy Utilities General Manufacturing