![]() |
PUTRAJAYA, Malaysia, 16 Jun 2025 /PRNewswire/ -- Education Malaysia Global Services (EMGS) dan All Nippon Airways (ANA), kumpulan syarikat penerbangan terbesar di Jepun, secara rasmi telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuhkan kerjasama dalam mempromosikan mobiliti pendidikan dan pelancongan antara Malaysia dan Jepun, dengan tumpuan utama kepada pelajar antarabangsa yang menuntut di Malaysia.
Akira Tamura (Pengurus Besar, ANA), Novie Tajuddin (Ketua Pegawai Eksekutif EMGS) dan disaksikan oleh Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shafie (Pengerusi EMGS) serta Faradina Kamarudin (Pengurus, Jualan, Tempahan dan Tiket, ANA).
Majlis menandatangani MoU ini menandakan satu langkah penting dalam memperluas peluang mobiliti pelajar dan memudahkan urusan perjalanan untuk pelajar antarabangsa. Perkongsian ini bertujuan untuk menyokong misi EMGS dalam menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan bertaraf dunia, di samping menawarkan pengalaman perjalanan yang lancar kepada pelajar antarabangsa melalui ANA.
Dalam ucapannya, Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, Novie Tajuddin menekankan minat yang semakin meningkat dalam kalangan pelajar Jepun untuk melanjutkan pengajian tinggi di Malaysia. "Kami melihat peningkatan berterusan dalam permohonan dari Jepun, dengan penyertaan dalam program mobiliti meningkat sebanyak 24%, iaitu tertinggi setakat ini," katanya. "Kerjasama ini membuka peluang baharu dalam 'Edutourism' dan keterlibatan antarabangsa, memudahkan pelajar meneroka pengalaman akademik dan budaya di kedua-dua negara, dan memberi manfaat bukan sahaja kepada pelajar Jepun, tetapi juga kepada semua pelajar antarabangsa di Malaysia."
Pengurus Besar ANA, Mr. Akira Tamura turut sependapat dan menekankan komitmen ANA untuk menghubungkan generasi akan datang. "MoU ini bukan sekadar mengenai perjalanan udara, tetapi mengenai merapatkan hubungan antara manusia, ilmu pengetahuan dan budaya. Kami berbesar hati untuk menyokong visi Kementerian Pengajian Tinggi melalui kerjasama bermakna bersama EMGS ini," katanya.
Kerjasama ini adalah susulan daripada beberapa usaha berjaya sebelum ini, termasuk Karnival Mobiliti Pengajian Tinggi pertama yang diadakan semasa Malaysia Fair di Tokyo pada tahun 2024, serta inisiatif terkini seperti Graduate Pass, iaitu visa pasca-pengajian yang membolehkan pelajar antarabangsa tinggal di Malaysia sehingga setahun. Menariknya, penerima pertama Graduate Pass adalah alumni Jepun dari Monash University Malaysia.
ANA merupakan syarikat penerbangan terbesar di Jepun yang menyediakan jaringan penerbangan yang meluas dan perkhidmatan bertaraf tinggi. ANA menawarkan laluan yang mudah ke lebih 50 destinasi domestik di Jepun serta perkhidmatan premium dalam pesawat termasuk pilihan hidangan Halal, manfaat mesra pelajar dan penerbangan dua kali sehari dari Kuala Lumpur ke lapangan terbang Tokyo Haneda dan Narita menggunakan pesawat Boeing 787 Dreamliner. Kerjasama ini dijangka dapat memperkayakan lagi pengalaman perjalanan dan pendidikan para pelajar.
EMGS sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) berperanan untuk mempromosikan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa dan juga menguruskan permohonan pas pelajar antarabangsa untuk belajar di Malaysia. EMGS juga komited akan terus menyokong aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pilihan pelajar antarabangsa seluruh dunia.
Kedua-dua EMGS dan ANA menyatakan harapan agar MoU ini menjadi landasan kepada lebih banyak kerjasama di masa hadapan, memacu pelancongan pendidikan dan mengukuhkan lagi hubungan erat antara Malaysia dan Jepun.