omniture

Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) Himpunkan Pakar Antarabangsa, Perkukuh Agenda Pencegahan Jenayah Kewangan Berteraskan AI di Persidangan IFCTF ke-15

The Asian Institute of Chartered Bankers (AICB)
2025-11-05 21:17 28

KUALA LUMPUR, Malaysia, 5 November 2025 /PRNewswire/ -- Di tengah-tengah peningkatan kadar jenayah kewangan, Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan Compliance Officers' Networking Group (CONG), dengan sokongan Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA)  — telah menghimpunkan lebih 50 pakar antarabangsa dan serantau serta lebih 1,200 profesional perbankan semasa 15th International Conference on Financial Crime and Counter Terrorism Financing (IFCTF) 2025 yang berlangsung dari 4 hingga 6 November 2025 bertempat di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.

Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) Himpunkan Pakar Antarabangsa, Perkukuh Agenda Pencegahan Jenayah Kewangan Berteraskan AI di Persidangan IFCTF ke-15
Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) Himpunkan Pakar Antarabangsa, Perkukuh Agenda Pencegahan Jenayah Kewangan Berteraskan AI di Persidangan IFCTF ke-15

Malaysia merekodkan kerugian RM1.12 bilion[1] akibat penipuan dalam talian setakat separuh pertama 2025, dengan jumlah kerugian berkaitan scam mencecah hampir RM1.92 bilion[2] menjelang September 2025. Di peringkat global, aliran kewangan haram dianggarkan bernilai USD3.1 trilion, dengan penipuan dan scam perbankan menyebabkan kerugian hampir USD486 bilion[3], sekali gus menggambarkan keperluan mendesak bagi memperkukuh kerjasama rentas sempadan dan rentas ekosistem dalam memerangi jenayah kewangan. 

Industri perbankan giat menggerakkan kempen nasional #JanganKenaScam bagi meningkatkan kesedaran awam dan memperkukuh ketahanan terhadap jenayah penipuan kewangan. Sejak tahun 2023, bank-bank telah melaksanakan langkah perlindungan lebih kukuh, mencerminkan komitmen menyeluruh industri perbankan dalam melindungi pengguna serta memelihara kepercayaan dan keutuhan sektor kewangan. Berdasarkan tinjauan terkini oleh Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), semakin ramai rakyat Malaysia kini lebih berwaspada, dengan majoritinya melaporkan bahawa mereka secara aktif memantau amaran scam dan bertindak pantas terhadap sebarang aktiviti mencurigakan. Usaha ini mencerminkan tindak balas nasional yang menyeluruh dalam melindungi pengguna serta memperkukuh kepercayaan terhadap sistem kewangan negara.

Semasa ucapan pembukaan, YBhg. Dato' Sri Abdul Rasheed Ghaffour, Gabenor Bank Negara Malaysia berkata: "Seiring kemajuan teknologi dan AI yang mengubah sistem pematuhan dan pencegahan pengubahan wang haram (AML), kita harus ingat bahawa keperibadian diri dan etika kerja tetap menjadi asas yang mengekalkan kepercayaan. Tiada algoritma yang boleh menggantikan pertimbangan, integriti dan akauntabiliti yang diharapkan daripada industri kewangan."

Sewaktu ucapan alu-aluan, YBhg. Tan Sri Azman Hashim, Pengerusi AICB menyebut: "Keseimbangan antara inovasi dan integriti mencerminkan pendekatan Malaysia — kemajuan yang digerakkan oleh teknologi dan berteraskan etika. Namun, walau secanggih mana sekalipun sesuatu sistem, ia tetap tidak dapat menggantikan pertimbangan yang bijak serta asas nilai yang kukuh. Dalam era digital ini, setiap daripada kita memainkan peranan sebagai benteng pertahanan — sikap berwaspada, beretika dan profesional menjadi pelindung kepada sistem kewangan negara. Kekuatan kita terletak pada warga kita — berkemahiran, berprinsip dan berwaspada, yang menjadi barisan pertahanan terpenting kita."

Faradina Ghouse, CB, Pengerusi, CONG; Ketua Pegawai Pematuhan Kumpulan AmBank berkata: "Institusi kewangan ialah barisan hadapan yang memerangi jenayah kewangan. Dengan landskap yang semakin kompleks, keupayaan kita bersama untuk mengesan, mencegah dan bertindak balas bergantung kepada tahap kita berkongsi maklumat, memperkukuh kerjasama rentas sempadan dan membangunkan kemahiran yang relevan.  Pematuhan tidak sekadar soal peraturan — ia mencakupi tahap ketahanan, integriti dan kerjasama merentasi seluruh ekosistem kewangan."

Bertemakan "The Future is Now: Tech-driven Compliance in the Fight Against Financial Crime", persidangan tahun ini mengupas manfaat teknologi AI, pembelajaran mesin dan analitik lanjutan yang mengubah landskap pematuhan serta pengurusan risiko. Antara topik utama yang dibincangkan termasuk pengesanan penipuan berasaskan AI, pematuhan dipacu pembelajaran mesin, perkembangan aset maya, pembiayaan keganasan dan proliferasi, serta rangka kerja antirasuah dan AML — semuanya dalam konteks penguatkuasaan global yang semakin ketat dan ancaman penipuan digital yang kian meningkat.

Mencerminkan komitmen menyeluruh Malaysia terhadap agenda reformasi, Belanjawan 2026 memperuntukkan  RM32 juta[4] bagi memperkukuh rangka kerja perundangan dan membanteras jenayah penipuan, seiring dengan penggubalan Rang Undang-undang Jenayah Siber yang baharu serta pengukuhan keupayaan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).

Memasuki tahun penganjuran ke-15, IFCTF kekal sebagai wadah utama di peringkat ASEAN dalam memacu wacana kepakaran bagi pencegahan jenayah kewangan dan kecemerlangan pematuhan, sekali gus menegaskan komitmen AICB dalam memperkukuh literasi digital, kerjasama global dan kepimpinan beretika dalam sektor perbankan dan kewangan.

Ketahui maklumat lanjut mengenai program AICB akan datang di www.aicb.org.my/events/upcoming.

 – Tamat –

Mengenai Asian Institute of Chartered Bankers

Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) ialah badan profesional tunggal bagi industri perbankan Malaysia, yang ditadbir oleh sebuah majlis dianggotai wakil Bank Negara Malaysia (BNM), Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM), dan Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA). Dengan keahlian lebih 37,000 orang, AICB berperanan memperkukuh tenaga kerja perbankan negara dengan menegakkan standard tertinggi dalam tatakelakuan profesional, ilmu pengetahuan dan kecekapan melalui kelayakan perbankan yang diiktiraf. 

AICB juga merupakan satu-satunya institusi di Asia Tenggara yang diberi kuasa oleh Chartered Banker Institute, United Kingdom, untuk menganugerahkan status Chartered Banker (CB). Institut ini menyokong pembangunan ahlinya melalui pembelajaran daya cipta, pemupukan profesionalisme, penerokaan wacana pemikiran baharu serta peluang jaringan dalam industri.

Sebarang maklumat lanjut mengenai AICB, sila layari www.aicb.org.my 

[1] Bernama. (14 Ogos 2025) RM 1.12 Bln Lost to Online Scams in Six Months, NSRC Steps Up 24/7 Fight - https://bernama.com/en/news.php?id=2456483 

[2] The Star. (16 Oktober 2025) Rise in fraud cases leads to over RM1.9bil losses as of Sept 2025 - https://www.thestar.com.my/news/nation/2025/10/16/rise-in-fraud-cases-leads-to-over-rm19bil-losses-as-of-sept-2025

[3] Nasdaq. (2024). NASDAQ Verafin 2024 global financial crime report. https://www.nasdaq.com/global-financial-crime-report

[4] Fintech News Malaysia. (10 Oktober 2025) New Cyber Crime Bill and RM32 Million Boost to Tackle Scams in Malaysia - https://fintechnews.my/54535/security/malaysia-cybersecurity-budget-2026-cyber-crime-bill-national-scam/?utm_source=chatgpt.com

 

Source: The Asian Institute of Chartered Bankers (AICB)
Keywords: Banking/Financial Service Computer/Electronics High Tech Security Artificial Intelligence