![]() |
Dana menyediakan pendapatan dan peningkatan modal jangka panjang kepada pelabur sofistikated
KUALA LUMPUR, Malaysia, 11 November 2025 /PRNewswire/ -- UOB Asset Management (Malaysia) Berhad (UOBAM (Malaysia)) telah melancarkan United Global Premium Opportunity Fund (UGPROF atau Dana), dana pembekal (feeder fund) borong ekuiti global pertama di Malaysia yang menggabungkan saham dividen berkualiti tinggi dengan strategi terlebih terbit (overwriting) saham tunggal dengan opsyen beli terlindung (covered call).
Strategi terlebih terbit saham tunggal dengan opsyen beli terlindung ini menyasar untuk meningkatkan pendapatan dengan menjual opsyen beli pada sahamnya sendiri, justeru memperoleh premium sambil mengekalkan pendedahan kepada syarikat-syarikat kukuh. Langkah ini bertujuan mengimbangi penjanaan pendapatan dengan potensi pertumbuhan. Ini menjadikannya sesuai untuk pelabur yang bersedia menerima ketidaktentuan dan risiko melabur dalam ekuiti global.

Ms Lim Suet Ling, Chief Executive Officer of UOBAM (Malaysia), announces the launch of the United Global Premium Opportunity Fund aims to balance income generation with growth potential for investors.
Puan Lim Suet Ling, Ketua Pegawai Eksekutif UOBAM (Malaysia) berkata, "Pelabur kini menghadapi risiko penumpuan yang semakin meningkat, ketidaktentuan makroekonomi, tekanan inflasi, dan ketegangan dagangan seperti tarif Amerika Syarikat (AS), oleh itu, kepelbagaian global adalah lebih kritikal berbanding sebelum ini. Menggabungkan ini dengan strategi pendapatan dan pertumbuhan akan membantu pelabur menangkap peluang di samping menjana pulangan. UGPROF memberi pendedahan merentasi pasaran utama termasuk AS, Eropah dan Asia, memanfaatkan inovasi teknologi, sektor bernilai, dan pemulihan serantau sambil mengimbangi penjanaan pendapatan dengan potensi pertumbuhan jangka panjang."
UGPROF melabur terutamanya dalam Fidelity Funds – Global Dividend Plus Fund (Dana Sasaran), yang diuruskan oleh Fidelity International. Dana akan melabur sekurang-kurangnya 90 peratus daripada nilai aset bersih (NAB) dalam Dana Sasaran manakala bakinya pula dalam aset cair yang termasuk instrumen pasaran wang dan deposit.
Dana Sasaran mengamalkan proses pelaburan bawah ke atas (bottom-up), dengan memberi tumpuan pada syarikat yang mempunyai asas kukuh dan model perniagaan berdaya tahan. Ia memberi keutamaan pada pertumbuhan dividen secara konsisten berbanding mengikuti aliran pasaran yang lebih luas, dengan penekanan terhadap sektor keperluan pengguna, penjagaan kesihatan, kewangan, dan perindustrian.
Mata wang asas Dana adalah dalam Dolar AS (USD), dan ia tersedia dalam lima kelas iaitu, Kelas Pengagihan USD, Kelas Pengagihan Ringgit, Kelas Pengagihan Lindung Nilai Ringgit, Kelas Pengagihan Lindung Nilai Dolar Singapura (SGD) dan Kelas Pengagihan Lindung Nilai Dolar Australia (AUD). Jumlah pelaburan minimum ialah US$1,000 untuk Kelas Pengagihan USD, RM1,000 untuk Kelas Pengagihan Ringgit dan Kelas Pengagihan Lindung Nilai Ringgit, S$1,000 untuk Kelas Lindung Nilai SGD, dan A$1,000 untuk Kelas Lindung Nilai AUD.
Para pelabur dinasihatkan untuk membaca dan memahami kandungan Helaian Sorotan Produk Dana dan Memorandum Maklumat bertarikh 11 November 2025 sebelum melabur.
Dana kini tersedia untuk dilanggan melalui pengedar terpilih. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Dana, sila layari www.uobam.com.my
Mengenai UOB Asset Management (Malaysia) Berhad
UOB Asset Management (Malaysia) Berhad (UOBAM (M)) ialah anak syarikat UOB Asset Management Ltd (UOBAM) yang beribu pejabat di Singapura, dan merupakan sebahagian daripada United Overseas Bank Limited (UOB). UOBAM (M) memegang Lesen Pasaran Modal dan Perkhidmatan bagi pengurusan dana di Malaysia di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan semenjak Januari 1997. Pada Januari 2014, UOBAM (M) telah memperoleh kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk berurusan dalam sekuriti, terhad kepada produk unit amanah.
UOBAM mempunyai pengalaman melebihi 35 tahun dalam menguruskan skim pelaburan kolektif dan dana budi bicara. Beribu pejabat di Singapura, UOBAM mempunyai kehadiran luas di Asia dengan pejabat perniagaan dan pelaburan serantau di Malaysia, Thailand, Brunei, Indonesia, Taiwan, Jepun, dan Vietnam. UOBAM juga mempunyai usaha sama dengan Ping An Fund Management Company Limited. UOBAM dan anak syarikatnya menguruskan aset pelanggan berjumlah S$39.9 bilion sehingga 30 Seeptember 2025.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.uobam.com.my