KUALA LUMPUR, Malaysia, 26 November 2026 /PRNewswire/ -- Malaysia International IP Expo (MYIP EXPO 2027) dilancarkan secara rasmi di Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU). Pelancaran disempurnakan oleh YB Puan Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi Malaysia, selaku tetamu kehormat.

Dari kiri, wakil NX Events Asia, wakil MyCreative Ventures, YB Puan Teo Nie Ching dan wakil MYCIP pada majlis pelancaran rasmi MYIP EXPO 2027
Dibawakan oleh Malaysia Creative Intellectual Property Association (MYCIP) dan NX Events Asia, ekspo sulung ini bertujuan menghubungkan pengkarya tempatan dan antarabangsa, pemilik IP, jenama serta rakan pelesenan bagi membuka peluang dalam pembangunan produk, pelesenan watak dan kerjasama jenama.
YB Teo menyambut baik MYIP EXPO sebagai platform penting untuk industri kreatif Malaysia yang menghubungkan idea asli dengan peluang perniagaan. Beliau menyokong tumpuan ekspo terhadap pelesenan, kerjasama jenama dan hubungan antarabangsa, serta potensinya membantu pengkarya muda membina hubungan perniagaan dan menembusi pasaran yang lebih luas.
"Kementerian Komunikasi mengiktiraf peranan penting industri kandungan kreatif dalam perkembangan ekonomi digital dan kreatif Malaysia," katanya.
Beliau menekankan keperluan memperkukuh pembangunan bakat, kesedaran tentang harta intelek, peluang pelesenan profesional dan akses ke pasaran antarabangsa. Beliau turut mengalu-alukan kerjasama antara pengkarya, syarikat, pengilang dan institusi pendidikan untuk mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan bagi IP asli Malaysia.
Presiden MYCIP, Encik Lau Shaw Ming, berkata Malaysia mempunyai ramai pengkarya berbakat dan IP asli yang berpotensi. Namun, menghasilkan produk daripada karya, mencari rakan perniagaan dan menembusi pasaran luar negara masih menjadi cabaran bagi pengkarya yang bergerak secara sendiri.
"Kami mahu menghubungkan pengkarya dengan jenama, syarikat dan rakan perniagaan. Paling utama, kami mahu mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan untuk IP Malaysia," katanya.
Menurut beliau, penyertaan antarabangsa dapat membantu memperkenalkan IP Malaysia kepada lebih ramai orang. Kekuatan budaya, kreativiti dan pasaran tempatan juga membuka ruang untuk membangunkan pasaran IP mengikut acuan Malaysia sendiri.
Ketua Pegawai Eksekutif NX Events Asia, Encik Deric Leau, berkata idea penganjuran ekspo tercetus daripada pengalaman pasukannya bekerjasama dengan pengkarya Malaysia yang berpotensi tetapi memerlukan lebih banyak pendedahan dan akses kepada rakan komersial. Kesamaan visi dengan MYCIP membawa kedua-dua pihak bersama untuk membangunkan platform ini.
"Harapan kami mudah sahaja, agar lebih ramai pengkarya dapat membina perniagaan yang mampan berasaskan idea sendiri, sekali gus memajukan industri kreatif Malaysia," katanya.
MYIP EXPO 2027 akan menampilkan watak asli, komik, animasi, permainan dan barangan kreatif dari Malaysia dan luar negara. Antara pengisian yang dirancang ialah pameran IP, sesi padanan perniagaan, perbincangan pelesenan, forum industri dan sesi jaringan perniagaan.
Ekspo ini turut mengalu-alukan peminat dan pengumpul untuk meneroka karya asli, bertemu pengkarya dan mendapatkan barangan berasaskan IP. Pempamer Malaysia pula berpeluang bertukar pandangan dan menjalin hubungan dengan pemilik IP serta syarikat pelesenan dari luar negara.
Majlis pelancaran turut menyaksikan tiga sesi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MYCIP dengan Malaysian Gifts & Premium Association (MGPA), Malaysia Comicker Union (MCU) dan Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU).
MYIP EXPO 2027 akan berlangsung pada 9 hingga 12 September 2027 di Event Hall 1 & 2, Aras 5, The Starling Mall, Petaling Jaya.
Sila melayari laman https://myipexpo.com untuk maklumat lanjut.