Perlaksanaan platform eReferral merintis usaha penyelarasan perkhidmatan penjagaan kesihatan berperingkat di seluruh rangkaian KPJ
KUALA LUMPUR, Malaysia, 27 November 2026 /PRNewswire/ -- KPJ Healthcare Berhad ("KPJ Healthcare" atau "Kumpulan"), rangkaian hospital swasta terbesar di Malaysia dan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta pertama di negara ini yang membangunkan Sistem Kesihatan Akademik, hari ini melancarkan KPJ Care Network, komponen penting dalam transformasi Kumpulan menerusi KPJ Health System ("KPJHS").

YBhg. Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Pengerusi Majlis Penasihat Integrasi Strategik KPJ Health System, Pengerusi KPJ Healthcare University Sdn Bhd serta Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) (tengah) bersama YBhg. Tan Sri Dato' Sri Dr Ismail Bakar, Pengerusi KPJ Healthcare Berhad (kiri) and Professor Dato’ Dr Hanafiah Harunarashid, Pegawai Pimpinan KPJ Healthcare Berhad (kanan) semasa pelancaran rasmi KPJ Care Network, yang menandakan satu pencapaian penting dalam transformasi KPJ Healthcare ke arah sebuah sistem kesihatan bersepadu.
KPJ Care Network menandakan peralihan KPJ daripada rangkaian hospital ke arah satu sistem kesihatan bersepadu. Menerusi pendekatan ini, pesakit dapat memanfaatkan kepakaran di seluruh Kumpulan tanpa mengira fasiliti KPJ yang pertama mereka mula mendapatkan rawatan.
Di bawah KPJHS, Amalan Klinikal, Pendidikan, Penyelidikan dan Inovasi disepadukan bagi memperkukuh mutu penjagaan Kesihatan di seluruh Kumpulan. KPJ Care Network merealisasikan pendekatan ini melalui penyelarasan kepakaran klinikal, proses penjagaan pesakit dan perkongsian maklumat antara fasiliti bagi meningkatkan pengalaman pesakit.
Prinsipnya mudah: pesakit menerima penjagaan kesihatan yang bersesuaian dengan keperluan mereka di fasiliti berhampiran kediaman, mendapatkan khidmat kepakaran yang lebih khusus apabila diperlukan dan kembali meneruskan penjagaan berhampiran kediaman apabila bersesuaian. Kejayaan pendekatan ini akan diukur berdasarkan sejauh mana pesakit menerima penjagaan yang diperlukan pada masa yang tepat serta menikmati kesinambungan penjagaan yang lancar di seluruh rangkaian KPJ, sekali gus memastikan kecemerlangan penjagaan klinikal dan pengalaman pesakit pada setiap peringkat.
Pelaksanaan KPJ Care Network bermula dengan program KPJ eReferral sebagai inisiatif pertama di bawah rangkaian ini. Platform digital tersebut memudahkan rujukan pesakit antara fasiliti KPJ serta membolehkan pengamal perubatan am ("GP") berdaftar merujuk pesakit kepada perkhidmatan pakar KPJ melalui proses rujukan yang sistematik dan boleh dipantau. Setakat ini, lebih 3,600 GP telah berdaftar dengan platform tersebut. Proses penjagaan pesakit dan perkhidmatan lain akan diperkenalkan secara berperingkat.
Inisiatif ini turut merangkumi usaha memperkukuh model Hub and Spoke yang menghimpuntan kepakaran khusus dan keupayaan klinikal yang maju di Hub bagi mengendalikan kes yang kompleks, manakala Spoke menyediakan penjagaan rutin, rawatan susulan dan penjagaan berterusan. Pesakit boleh dirujuk antara Hub and Spoke ini berdasarkan keperluan perubatan masing-masing bagi mendapatkan khidmat pakar, di samping memastikan kesinambungan penjagaan kesihatan berhampiran kediaman mereka.
YBhg. Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Pengerusi Majlis Penasihat Integrasi Strategik KPJ Health System, Pengerusi KPJ Healthcare University Sdn. Bhd. serta Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation ("JCorp"), berkata, "Jika KPJ Health System menetapkan aspirasi kita sebagai sebuah institusi, KPJ Care Network pula menentukan sejauh mana kecemerlangan tersebut dapat diperluaskan."
Beliau berkata KPJ Care Network mencerminkan perubahan asas dalam pendekatan KPJ terhadap rangkaian fasilitinya di seluruh negara, sekali gus membolehkan pesakit memanfaatkan kepakaran dan keupayaan seluruh Kumpulan tanpa terhad kepada fasiliti pertama yang mereka kunjungi untuk mendapatkan rawatan.
Datuk Syed turut menambah, "Akses pesakit kepada khidmat kepakaran dalam rangkaian KPJ tidak seharusnya terbatas kepada fasiliti pertama yang mereka kunjungi untuk mendapatkan rawatan. Melalui KPJ Health System dan KPJ Care Network, kami berhasrat untuk memperluas akses kepada penjagaan klinikal berkualit tinggi serta membangunkan sebuah institusi yang terus berkhidmat kepada generasi akan datang."
KPJ Healthcare mempunyai kira-kira 1,500 perunding pakar perubatan dan kini mengendalikan 29 hospital, tiga pusat Ambulatory Care Centre, empat premis runcit penjagaan kesihatan KPJ Healthshoppe serta lebih 30 cawangan makmal diagnostik Lablink di seluruh negara. Skop KPJ Care Network akan diperluas secara berperingkat bagi merangkumi keseluruhan proses penjagaan pesakit, daripada Mencegah (Prevent), Mengesan (Detect), Akses (Access), Merawat (Treat), Rehabilitasi (Rehabilitate), Susulan (Follow) dan Pemulihan (Renew).
Profesor Dato' Dr Hanafiah Harunarashid, Pegawai Pimpinan KPJ Healthcare, berkata KPJ Care Network akan membolehkan para doktor KPJ dan rakan penyedia perkhidmatan kesihatan menjalin kerjasama yang lebih sistematik merentasi sempadan organisasi.
"Hasil klinikal yang baik bukan hanya bergantung pada rawatan yang diterima oleh seseorang pesakit di sesebuah hospital. Akses kepada kepakaran yang bersesuaian pada waktu yang tepat, komunikasi yang jelas antara doktor serta peralihan tanggungjawab penjagaan pesakit yang teratur pada setiap peringkat juga memainkan peranan penting. KPJ Care Network menyediakan mekanisme kerjasama yang sistematik antara pakar perunding perubatan kami dan pengamal perubatan am, dengan keselamatan pesakit dan pertimbangan klinikal menjadi asas panduan dalam setiap keputusan," katanya.
Seiring dengan perkembangan KPJ Care Network, platform penjagaan kesihatan digital KPJ menerusi KPJ Cares akan memainkan peranan yang lebih luas sebagai gerbang digital kepada keseluruhan ekosistem KPJ. Selain perkhidmatan sedia ada seperti tempahan janji temu dan akses kepada perkhidmatan farmasi elektronik melalui EZpilZ, platform ini akan dipertingkatkan secara berperingkat dengan ciri tambahan yang berfokuskan kepada pesakit, termasuk bahan maklumat berkaitan kesihatan dan pendidikan kesihatan yang relevan. Ini bagi membantu pesakit menguruskan penjagaan kesihatan mereka serta terus berhubung dengan KPJ pada setiap peringkat rawatan.
Melalui KPJ Care Network, kepakaran keupayaan seluruh KPJ, daripada Pusat Kecemerlangan dan KPJ Healthcare University hingga Future Health Institute serta teknologi digital, akan digembleng dalam satu sistem kesihatan bersepadu. Seiring dengan peluasan rangkaian ini secara berperingkat, lebih banyak proses penjagaan pesakit dan keupayaan Kumpulan akan diselaraskan bagi membolehkan setiap pesakit memanfaatkan kekuatan kolektif KPJ, sekali gus mencapai kecemerlangan klinikal dan pengalaman pesakit yang berkualiti pada setiap peringkat penjagaan.
Mengenai KPJ Healthcare Berhad
KPJ Healthcare sedang membangunkan sistem kesihatan bersepadu yang diyakini di Malaysia, berteraskan komitmen Care for Life menerusi rangkaian hospital dan pusat akses penjagaan Kesihatan yang saling berhubung. KPJ Healthcare mengendalikan 29 hospital di seluruh Malaysia dan tiga Ambulatory Care Centre, yang menerima lebih 3.3 juta pesakit setiap tahun dengan sokongan 1,491 perunding perubatan. Sembilan belas hospital diiktiraf oleh Malaysian Society for Quality in Health ("MSQH") dan empat oleh Joint Commission International ("JCI"). Sebagai penyedia penjagaan kesihatan swasta pertama di Malaysia yang membangunkan Academic Health System, KPJHS menggabungkan amalan klinikal, pendidikan serta penyelidikan dan inovasi bagi memacu kecemerlangan klinikal dan meningkatkan pengalaman pesakit. Selain rangkaian hospitalnya, KPJ Healthcare turut mengendalikan Klinik Waqaf An-Nur ("KWAN"), pusat dialisis dan klinik bergerak di seluruh negara, serta menawarkan lebih 40 program akademik melalui KPJ Healthcare University ("KPJU"). KPJ Healthcare juga merupakan konstituen Indeks Bursa Malaysia FTSE4Good sejak 2016.