BARCELONA, Sepanyol, 11 Mac 2025 /PRNewswire/ -- Di Perbincangan Meja Bulat Kemampanan ICT Huawei yang diadakan di MWC Barcelona 2025, Huawei menyeru penggubal dasar dan pihak berkepentingan industri Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) untuk memperluas inovasi dan kolaborasi terbuka bagi memastikan jurang digital baharu tidak muncul ekoran kemajuan yang pesat dalam AI sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dalam ucapan perasmiannya, Pengerusi Bergilir Huawei Ken Hu menekankan bahawa teknologi digital dan perkongsian membantu memacu perubahan yang mampan untuk orang ramai dan planet ini, memetik contoh daripada program TECH4ALL Huawei. Namun begitu, Hu menegaskan bahawa kerajaan dan industri ICT harus meluaskan platform kolaboratif untuk memastikan tiada siapa yang ketinggalan dalam dunia digital.
"Memandangkan AI menjadikan dunia lebih pintar, kita akan berkemungkinan melihat jurang digital yang baharu. Kita perlu memberi perhatian kepada hal ini dan saling bekerjasama untuk merapatkan jurang ini," kata Ken Hu, Pengerusi Bergilir untuk Huawei. "Kita memerlukan penggubal dasar membina rangka kerja institusi yang lebih inklusif dan lebih banyak syarikat teknologi menerima inovasi terbuka. Kita perlu saling bekerjasama untuk membina lebih banyak platform terbuka untuk kolaborasi."
Bagi meneroka bagaimana hal ini didekati dalam pelaksanaannya, Perbincangan Meja Bulat Kemampanan ICT menghimpunkan pakar global dan rakan kongsi Huawei TECH4ALL untuk menunjukkan bagaimana projek rangkuman digital kolaboratif dapat melengkapkan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan dengan kemahiran yang diperlukan untuk mendepani dunia digital.
Mewakili kerajaan Kenya, Eng. John Tanui CBS menekankan bagaimana bekerjasama dengan rakan kongsi seperti Huawei sejajar dengan Visi Kenya 2030 dengan memacu pembangunan ekonomi digital melalui pelancaran infrastruktur digital, perkhidmatan kerajaan yang didigitalkan dan latihan kemahiran digital untuk komuniti terpencil dan luar bandar.
Sebagai contoh, Huawei TECH4ALL DigiTruck - bilik darjah mudah alih yang dipasang pada bahagian belakang trak - menyediakan latihan untuk hampir 6,000 orang belia Kenya sejak tahun 2019.
"Di Kenya, kami percaya tiada siapa yang harus ketinggalan. Atas sebab inilah Huawei merupakan rakan kongsi strategik dalam meningkatkan kemahiran digital melalui inisiatif seperti TECH4ALL yang kami manfaatkan untuk memacu rangkuman digital," kata Eng John Tanui CBS, Ketua Setiausaha untuk Jabatan ICT dan Ekonomi Digital Negeri untuk Kenya. "Dengan DigiTruck mudah alih, kami telah dapat melatih golongan muda tentang fungsian telefon pintar, risiko dalam talian, penggunaan Internet yang bertanggungjawab dan mendapatkan akaun dan sumber dalam talian untuk belajar."
DigiTruck Digital Literacy Skills Program Evaluation Report (Laporan Penilaian Program Kemahiran Literasi Digital DigiTruck) 2024 yang dikeluarkan oleh kerajaan Kenya menunjukkan bahawa 93% pelatih DigiTruck meningkatkan keupayaan kerja mereka hasil daripada latihan. Laporan ini juga mendedahkan kadar guna tenaga yang lebih tinggi dalam kalangan bekas pelatih, di samping penggunaan Internet yang meningkat dengan ketara untuk aktiviti perniagaan seperti e-dagang. Rakan kongsi projek DigiTruck Kenya GSMA turut menekankan nilai mobiliti DigiTruck dalam menjangkau komuniti yang sangat terpencil.
Universal Service Fund Pakistan (USF) meninjau bagaimana kolaborasi bersama kerajaan Pakistan, Huawei dan ITU-D mentransformasikan kampung luar bandar melalui projek TECH4ALL Smart Village Pakistan yang membawa inisiatif ketersambungan, e-pendidikan dan e-kesihatan kepada masyarakat setempat digandingkan dengan latihan kemahiran digital. UNESCO dan University of Alicante Sepanyol memfokuskan pada pembangunan kemahiran digital global, termasuk kolaborasi bersama Huawei ICT Academy untuk membangunkan bakat ICT generasi seterusnya.
Dalam bidang pemuliharaan alam semula jadi, Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) memperkenalkan bagaimana ICT mentakrifkan semula pemuliharaan alam semula jadi melalui perkongsian global IUCN-Huawei TECH4ALL Tech4Nature yang menyokong 13 projek utama di 11 negara dengan penyelesaian teknologi yang inovatif untuk kawasan terlindung.
Satu persamaan antara semua projek yang diterokai di perbincangan meja bulat ini ialah penekanan ke atas inovasi teknologi dan perkongsian silang sektor, suatu pendekatan yang amat penting untuk memanfaatkan kuasa ICT bagi mendayakan dunia digital yang inklusif dan mampan.
Latar Belakang TECH4ALL
TECH4ALL ialah inisiatif dan pelan tindakan rangkuman digital Huawei dalam tempoh jangka panjang. Didayakan oleh teknologi dan perkongsian inovatif, TECH4ALL direka untuk mengupayakan keterangkuman dan kemampanan dalam dunia digital.
Kunjungi laman web Huawei TECH4ALL di https://www.huawei.com/en/tech4all
Ikuti kami melalui X di https://x.com/HUAWEI_TECH4ALL