omniture

Didi Chuxing bakal Ambil Alih Uber China

Gabungan usaha ini akan membantu menggalakkan pembangunan industri perkongsian kenderaan yang mantap di China
Didi Chuxing
2016-08-02 12:03 855

BEIJING, 2 Ogos, 2016 /PRNewswire/ -- Hari ini, Didi Chuxing mengumumkan satu perjanjian strategik bersama Uber yang membolehkan Didi Chuxing memperoleh kesemua aset Uber China termasuk jenama, operasi perniagaan dan juga data miliknya, bagi tujuan operasi di tanah besar China. Urus niaga penting ini menandakan peringkat kemajuan baharu dalam industri perkongsian kenderaan di China.

Sebagai pertukaran terhadap aset Uber China, Uber akan menerima 5.89% kepentingan ekuiti pilihan daripada gabungan syarikat itu yang bersamaan dengan 17.7% kepentingan ekonomi dalam Didi Chuxing. Selain itu, Baidu serta pemegang saham Cina yang lain akan menerima 2.3% kepentingan ekonomi dalam Didi Chuxing. Mengikut perjanjian tersebut, Didi Chuxing akan turut memperoleh kepentingan ekuiti minoriti dalam Uber. Cheng Wei, pengasas dan pengerusi Didi Chuxing, akan menyertai lembaga Uber. Travis Kalanick, iaitu pengasas Uber, bakal menyertai lembaga Didi Chuxing. Terma-terma tambahan tidak didedahkan. Menerusi urus niaga ini, Didi Chuxing menjadi satu-satunya syarikat yang mempunyai pelaburan yang sama daripada Tencent, Alibaba serta Baidu. 

Mengikut perjanjian tersebut:

  • Uber China akan mengekalkan operasi penjenamaan dan perniagaan bebasnya demi memastikan kestabilan dan kesinambungan perkhidmatan untuk penumpang dan pemandu;
  • Didi Chuxing akan menggabungkan pengalaman dan kepakaran berkaitan pengurusan serta teknologi daripada kedua-dua syarikat, bagi memenuhi peningkatan permintaan terhadap pengangkutan di China menerusi penyelesaian bernilai tambah;
  • Didi Chuxing akan bekerjasama dengan pengawal selia, rakan kerjasama dan pihak berkepentingan agar dapat terus mendidik pasaran demi membangunkan persekitaran yang sesuai bagi menyokong perkembangan industri internet mudah alih China dan program pembangunan ekonomi negara tersebut; dan
  • Didi Chuxing akan terus berganding bahu dengan rakan kerjasama global bagi menghubungkan sumber tempatan demi mewujudkan pengalaman perkongsian kenderaan rentas sempadan terbaik buat pengguna mereka.

Cheng Wei, pengasas dan CEO Didi Chuxing, berkata, "Didi Chuxing dan Uber telah banyak menimba pengetahuan daripada satu sama lain sejak dua tahun lalu dalam ekonomi baharu China yang kian berkembang. Sebagai peneraju teknologi yang telah lama bertapak di China, Didi Chuxing terus meningkatkan tahap inovasi sebagai usaha menentukan semula masa depan berkaitan pergerakan manusia. Perjanjian bersama Uber ini akan membolehkan industri pengangkutan mudah alih terus berkembang dengan lebih baik dan berterusan pada tahap yang lebih tinggi. Didi Chuxing menggembleng seluruh tenaga kami untuk bekerjasama dengan pihak pengawal selia, pengguna dan rakan kongsi bagi menangani segala cabaran berkaitan pengangkutan, persekitaran dan pekerjaan di bandar-bandar kami."

Jean Liu, Presiden Didi Chuxing berkata, "Lebih 15 juta pemandu dan 300 juta pengguna berdaftar telah menyertai ekosistem DiDi yang terbuka dan berasaskan perkongsian, yang menghubungkan orang ramai, kereta dan juga gaya hidup. Melalui penambahan bakat dan pengalaman yang hebat daripada pasukan Uber China, Didi Chuxing dapat berusaha memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada warga Cina. Didi Chuxing juga akan terus mengembangkan strategi peringkat antarabangsanya. Kami berharap dapat bekerjasama dengan rakan kerjasama kami dari dalam dan luar negara demi mencipta lebih nilai buat pemandu, penumpang dan juga masyarakat."

Memandangkan China terus melalui proses pembandaran yang paling hebat di dunia, inisiatif perkongsian ekonomi menyaksikan pertumbuhan yang memberangsangkan menerusi sokongan strategi Internet Plus negara ini yang mesra inovasi. Pasaran perkongsian kenderaan yang masih baharu untuk 1.3 bilion penduduk memperlihatkan momentum yang luar biasa. Pada 28 Julai, Kementerian Pengangkutan China mengumumkan Peraturan Awal berkaitan Pengurusan Tempahan Kereta Dalam Talian, iaitu undang-undang negara pertama di dunia yang membenarkan perkongsian kenderaan. Kami berharap dapat mencapai kemungkinan yang besar untuk pemandu, penunggang dan juga bandar-bandar menerusi peluang serba baharu ini.

Latar Belakang Didi Chuxing

Didi Chuxing ialah platform pengangkutan mudah alih sehenti, komprehensif dan terbesar di dunia. Syarikat ini menawarkan pilihan pengangkutan berasaskan teknologi mudah alih yang lengkap untuk hampir 300 juta pengguna menerusi lebih 400 buah bandar Cina, termasuk perkhidmatan memanggil teksi, memanggil kereta persendirian, Hitch (perkongsian kenderaan sosial), Chauffeur, Didi Bus, Didi Test Drive, dan Didi Enterprise Solutions. Statistik menunjukkan Didi memegang lebih 87% daripada bahagian pasaran perkhidmatan kereta persendirian dan lebih 99% bagi pasaran perkhidmatan memanggil teksi di China. Sejumlah 1.43 bilion tunggangan telah dibuat menerusi platform Didi pada tahun 2015. Sebagai pengusaha bagi inisiatif perkongsian ekonomi, kami komited untuk bekerjasama dengan masyarakat dan rakan kongsi demi menangani cabaran berkaitan pengangkutan dan persekitaran di China menggunakan algoritma ketepatan berpandukan data yang mengoptimumkan pengagihan sumber. Dengan terus meningkatkan pengalaman pengguna dan mencipa nilai sosial, kami turut komited untuk membangunkan ekosistem pengangkutan yang berkesan, kolaboratif dan berterusan. Didi dipilih sebagai salah satu daripada 50 Syarikat Paling Pintar di Dunia 2016 oleh MIT Technology Review bagi tahun 2016, dan juga Syarikat Pertumbuhan Global Davos bagi tahun 2015.

Sebarang pertanyaan media

Tanah Besar China/Hong Kong
Brunswick Group
didichuxing@brunswickgroup.com
+86 10 59608600 / +852 3512 5000

A.S.
Sard Verbinnen & Co
didichuxing@sardverb.com
+1 415 618 8750

Source: Didi Chuxing
Keywords: Computer Software Computer/Electronics Electronic Commerce Internet Technology Transportation Acquisitions, mergers, takeovers